Wednesday, December 31, 2014

JIHAD ADALAH NYAWA ISLAM

JIHAD ADALAH NYAWA ISLAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:69]) pada 23 Disember 2014. Antara isunya adalah kepentingan JIHAD dalam mencapai kejayaan sebenar di dunia dan di akhirat.

Mengapalah sesetengah orang begitu fobia dengan perkataan JIHAD? Usahlah disempitkan skop jihad hanya pada hunusan pedang atau ledakan senapang di medan perang. Ya! Jihad di medan perang adalah salah satu dari cabangnya, namun masih banyak lagi cabang jihad yang meneguhkan Islam seperti jihad ilmu, jihad ekonomi, jihad iman dan sebagainya.

Para ulama dan saintis yang mengkaji dan BERIJTIHAD dalam masalah hukum atau teori saintifik yang baru muncul juga sedang berjihad. Apa tidaknya, kepayahan mereka memerah otak, bersekang mata, mengerah keringat mengkaji tak mungkin berlaku tanpa semangat jihad yang tinggi. Tanpa semangat jihad, lesulah agama. Akibatnya agama yang suci ini akan hanya dilihat releven bagi upacara ritual kosong atau candu agama pengubat jiwa manusia ditimpa masalah. Tidak! Islam bukan semata agama ritual tetapi jauh lebih mulia dari itu.  Oleh itu Allah menegaskan keluasan skop jihad dengan firmanNya:


وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya (al-‘Ankabut [29:69]).

Jihad dalam ayat ini merujuk kepada semua usaha hamba memenuhi kehendak Allah dan Rasulullah, biar sepahit manapun suruhan dan larangan tersebut. Orang yang mampu memenuhi tuntutan jihad sedemikian akan dipandu ke jalan syurga.

Ayat ini adalah ayat terakhir dalam surah al-‘Ankabut. Cantik dan sungguh tepat surah ini disimpulkan oleh Allah dengan isu JIHAD. Jihad? Mengapa jihad? Tidak lain kerana surah al-‘Ankabut ini seakan digerakkan oleh ROH JIHAD sejak dari awalnya. Lihat isinya ini:

1) UJIAN SEBAGAI RESAM DALAM DAKWAH (ayat 1-11),

2) DUGAAN DAKWAH PARA RASUL SEHINGGA NUH AS TERPAKSA BERDAKWAH SELAMA 950 TAHUN (ayat 14-40),

3) DEBAT ILMU DALAM DAKWAH ANTARA RASULULLAH DENGAN MUSYRIKIN QURAYSH YANG DEGIL (ayat 46-55),

4) UJIAN BERAT DALAM MENUNAIKAN ARAHAN HIJRAH SETELAH DAKWAH ISLAM DIHALANG DI MEKAH (ayat 56-62).

5) MENERIMA KEBENARAN ISLAM YANG DIBAWA OLEH RASULULLAH MEMERLUKAN SEMANGAT JIHAD MENTAL YANG TINGGI (ayat 63-69).

Ya Allah! Kurniakan kami semangat jihad sebenar agar dapat kami segarkan roh agama yang sepatutnya subur menjadi antibody iman kami.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...