Wednesday, December 31, 2014

FIR'AWN ADALAH AHLI POLITIK YANG LICIK

FIR’AWN ADALAH AHLI POLITIK YANG LICIK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:34-35]) pada 23 Disember 2014. Antara isunya adalah beberapa strategi gunaan Fir’awn bagi memastikannya terus berkuasa.

Si Fir’awn bukan hanya raja yang zalim, tapi juga seorang ahli politik yang licik. Mimpi ngeri sesetengah ahli politik yang licik adalah jatuh tersungkur dari puncak kuasanya. Kalau boleh mereka mahu terus berkuasa sehingga ke lubang kubur. Demi untuk kekal di puncak kuasa, berbagai strategi dilakukan. Dosa pahala bukan lagi penghalang atau pendorong gerak mereka. Nyawa dan nasib rakyat hanyalah buah catur yang dikorbankan semudah menjentik dengan jari. Inilah mazhab sesetengah ahli politik yang tidak beriman kepada Allah dan balasan kiamat.

Antara 2 strategi popular sesetengah ahli politik licik yang agak konsisten dalam lipatan sejarah adalah:

1) Memainkan isu patriotism dan kepentingan menjaga kedaulatan Negara.

Sering didengar dialog ini: “Jangan gadai nasib bangsa, negara dan anak cucu dengan menyokong pembangkang. Pemimpinnya adalah AGEN ASING YANG MAHU MENGGADAI NEGARA.”

Di kala itu, pihak pembangkang pula menjawab serangan lawan dengan dialog yang sejenis: “Hutang Negara sudah mencecah RM 500 billion akibat salah urus pemimpin sedia ada. Jika kita masih menyokong mereka sebagai kerajaan, NEGARA KITA AKAN BANGKRAP DAN NASIB BANGSA AKAN TERGADAI.”

Bandingkan pula kata-kata Fir’awn ini:

قَالَ لِلْمَلَإِ حَوْلَهُ إِنَّ هَذَا لَسَاحِرٌ عَلِيمٌ (34) يُرِيدُ أَنْ يُخْرِجَكُمْ مِنْ أَرْضِكُمْ بِسِحْرِهِ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ (35)

Ertinya: Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. "DIA BERTUJUAN HENDAK MENGELUARKAN KAMU DARI NEGERI KAMU DENGAN SIHIRNYA, maka apa yang kamu syorkan?" (al-Syu’ara’[26:34-35]).

2) Memutar belit fakta, yang “TIADA DIWUJUDKAN”, yang “WUJUD DITIADAKAN”, yang “BENAR DISALAHKAN”, yang “SALAH DIBENARKAN”, yang “WIRA DIKATAKAN PENYANGAK” dan yang “JAHAT DINOBAT SEBAGAI WIRA”. Kemampuan menukar fakta dalam pusingan 360 darjah ini biasanya dimiliki oleh pemegang kuasa. Lihat sahaja nasib Islam yang suci dipandang kotor lagi hina dengan label pengganas oleh media Barat yang dipegang oleh pembenci Islam. Ini juga strategi Fir’awn di kala pakar sihirnya tersungkur kalah pada mukjizat nabi Musa AS:

قَالَ آَمَنْتُمْ لَهُ قَبْلَ أَنْ آَذَنَ لَكُمْ إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ فَلَسَوْفَ تَعْلَمُونَ لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ مِنْ خِلَافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ

Ertinya: Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? SESUNGGUHNYA DIA LAH (MUSA) KETUA KAMU YANG MENGAJAR KAMU ILMU SIHIR; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya" (al-Syu’ara’[26:49]).

Tuduhan palsu ke“KETUA”an nabi Musa AS ke atas para ahli sihir turut disebut dalam surah lain:

قَالَ فِرْعَوْنُ آَمَنْتُمْ بِهِ قَبْلَ أَنْ آَذَنَ لَكُمْ إِنَّ هَذَا لَمَكْرٌ مَكَرْتُمُوهُ فِي الْمَدِينَةِ لِتُخْرِجُوا مِنْهَا أَهْلَهَا فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ

Ertinya: Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? SESUNGGUHNYA INI ADALAH PERBUATAN TIPU DAYA YANG KAMU (WAHAI MUSA DAN AHLI SIHIR) LAKUKAN DALAM BANDAR INI KERANA KAMU HENDAK MENGELUARKAN PENDUDUKNYA DARI PADANYA. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya) (al-A’raf[7:123]).

Tuduhan Fir’awn sebenarnya sangat mengarut kerana Musa AS belum pernah bertemu dengan seluruh pakar dan johan sihir dalam empayar Mesir, namun kenyataan tersebut tetap dikeluarkan Fir’awn sejurus kekalahannya. Mengapa? Tidak lain, ini antara strategi Fir’awn bagi mengelirukan sesetengah rakyatnya yang bodoh bertuhankan Fir’awn. Strategi inilah yang banyak digunakan oleh sesetengah ahli politik sepanjang zaman bagi mengekalkan kuasanya.

Dunia ini berputar dengan putaran yang sama dari dahulu sehingga kiamat. Kisah lampau dinamakan sejarah, namun paparannya tetap sama. Yang berbeza hanya masa, lokasi dan watak yang memainkan peranan dalam sejarah. Jika mahu berpolitik, jadilah ahli politik yang agung seperti Rasulullah SAW yang dipandu wahyu. Matlamat politik Islam pula bukan semata mendapat “KUASA” tetapi mahu menegakkan keadilan sebenar dalam kehendak Allah sebagai PEMILIK SEBENAR KUASA di alam ini sebagaimana firmanNya:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Ertinya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (al-Hajj [22:41]).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...