Wednesday, December 31, 2014

FIR'AWN TERJERUMUS KE DALAM JERATNYA SENDIRI

FIR’AWN TERJERUMUS KE DALAM JERATNYA SENDIRI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Syu’ara’ [26:34-40]) pada 23 Disember 2014. Antara isunya adalah kekalahan yang menimpa Fir’awn dalam sayembara sihir kerana keangkuhannya sendiri.

“JANGAN TERLEBIH YAKIN (OVER-CONFIDENT)”, itulah resepi penting dalam apa sahaja pertandingan yang disertai. Jangan juga pandang rendah kemampuan lawan kerana kita akan jadi tidak teliti dan kurang bersedia.

Itulah kesilapan tanpa sedar yang dilakukan Fir’awn ketika berhadapan dengan nabi Musa AS. Pada Fir’awn, siapalah sangat Musa jika mahu dibandingkan kerajaan dan kepakaran yang dimilikinya. “Musa mesti dan pasti dimalukan di hadapan khalayak rakyat Mesir apabila beliau dikalahkan kelak oleh pakar sihir seluruh tanah jajahanku.” Itulah fikir Fir’awn:

قَالَ لِلْمَلَإِ حَوْلَهُ إِنَّ هَذَا لَسَاحِرٌ عَلِيمٌ (34) يُرِيدُ أَنْ يُخْرِجَكُمْ مِنْ أَرْضِكُمْ بِسِحْرِهِ فَمَاذَا تَأْمُرُونَ (35) قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ (36) يَأْتُوكَ بِكُلِّ سَحَّارٍ عَلِيمٍ (37) فَجُمِعَ السَّحَرَةُ لِمِيقَاتِ يَوْمٍ مَعْلُومٍ (38) وَقِيلَ لِلنَّاسِ هَلْ أَنْتُمْ مُجْتَمِعُونَ (39)  لَعَلَّنَا نَتَّبِعُ السَّحَرَةَ إِنْ كَانُوا هُمُ الْغَالِبِينَ (40)

Ertinya: Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada dikelilingnya: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. "Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan?" Mereka berkata: "Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir), "Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir". Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum. Dan dikatakan kepada orang ramai: "Berkumpulah kamu semuanya;. "Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu kiranya merekalah orang-orang yang menang"(al-Syu’ara’[26:34-40]).

Tidak cukup dengan memandang lekeh Musa, Fir’awn dengan angkuh memberi peluang penentuan masa, tarikh dan tempat sayembara sihir kepada Musa. Disangkanya Musa cuma budak hingusan yang baru naik dalam arena politik negeri Mesir, namun dia tak sedar bahawa Musa bukan sebarang manusia. Dia adalah Rasulullah yang dibimbing Tuhan semesta alam. Musa sudah merencana dengan bijaksana. Fir’awn pasti akan tersungkur bersama keangkuhannya dengan penentuan waktu yang diberikan Musa:

فَلَنَأْتِيَنَّكَ بِسِحْرٍ مِثْلِهِ فَاجْعَلْ بَيْنَنَا وَبَيْنَكَ مَوْعِدًا لَا نُخْلِفُهُ نَحْنُ وَلَا أَنْتَ مَكَانًا سُوًى (58) قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ الزِّينَةِ وَأَنْ يُحْشَرَ النَّاسُ ضُحًى (59)

Ertinya: "Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak". Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha" (Taha[20:58-59]).

Bijak sekali tindakan Musa AS. Baginda sengaja memilih hari raya dan waktu Dhuha kerana hari raya adalah hari besar dan semua rakyat Mesir tampil hadir. Waktu Dhuha pula waktu minda bergiat cerdas. Banyak perkara dihadam sempurna pada waktu ini. Musa mahu rakyat Mesir sedar sepenuh jiwa bahawa ketuhanan Fir’awn adalah ketuhanan palsu. Tuhan mereka yang sebenar adalah Tuhan Musa, Tuhan Fir’awn, Tuhan rakyat Mesir dan Tuhan semesta alam yang wajib diimani. Bukan setakat Musa menang dengan gemilang pada hari raya itu, Ahli sihir kebanggan Fir’awn juga turut segera menukar parti selepas mereka melihat keagungan Allah melalui mukjizat tongkat nabi Musa AS.

Maha Suci Allah yang menjatuhkan Fir’awn dengan hina. Kisah ini bukan hanya hikayat al-Quran yang perlu didendang secara kosong, sebaliknya mengajar kita betapa Allah adalah Zat yang Maha Bijaksana dan Maha hebat. Dengan mudah sahaja Allah mengurniakan kebijaksanaan kepada nabi Musa AS dan menjerumuskan Fir’awn dengan penuh hina ke dalam jerangkap samar yang dibinanya sendiri. Ya Allah! Bimbinglah kami dengan kebijaksanaan dariMu dan jauhkan kami dari keangkuhan dan kebodohan Fir’awn.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...