RAHSIA KEMAJUAN EMPAYAR SABA’
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (Saba’ [34:18]) pada 19 Disember 2014. Antara isunya adalah rahsia kemajuan empayar Saba’.
Silap! Ternyata sudah sekian lama saya silap memahami rahsia kemakmuran empayar Saba’ yang pernah berdiri Megah di Yaman. Rupanya kewujudan empangan Ma’rab yang mengurung air dari 2 gunung berhampiran Saba’ bukanlah satu-satunya faktor pengundang kemajuan Saba’, tetapi lebih dari itu.
Misalannya mudah sahaja, Kuala Lumpur yang letaknya di tengah Wilayah Persekutuan tidak mungkin berdiri maju tanpa dihubung dengan mana-mana lebuh raya yang menghubungkannya dengan dunia luar. Begitulah juga perihalnya dengan empayar Saba’ yang memiliki hubungan infrastruktur yang sangat baik dengan dunia luar. Hebat sekali firman Allah ini:
وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آَمِنِينَ
Ertinya: Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - KAMI ADAKAN BEBERAPA BUAH BANDAR YANG JELAS KELIHATAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG MELALUI JALAN ITU), DAN KAMI TENTUKAN JARAK PERJALANAN DI ANTARANYA (SEKADAR YANG DAPAT DIJADIKAN TEMPAT-TEMPAT PERSINGGAHAN), (SERTA DIKATAKAN KEPADA MEREKA): " BERJALANLAH KAMU DI BANDAR-BANDAR ITU PADA BILA-BILA MASA YANG KAMU SUKA, MALAM DAN SIANG, DALAM KEADAAN YANG AMAN" (Saba’[34:18]).
Allah mengatur kedudukan Saba’ yang sangat strategic dengan dunia luar seperti Syam. Saba’ terletak berhampiran dengan banyak bandar besar yang menghubungnya terus ke Syam. Orang Saba’ boleh bertolak pada awal pagi kemudian singgah berehat di salah satu bandar dan meneruskan perjalanan tanpa risaukan bekalan makanan atau tempat berehat. Penduduk Saba’ juga mampu bermusafir pada bila-bila masa baik siang atau malam secara aman (Tafsir Ibn Kathir), tanpa risaukan serangan lanun jalanan yang mengelak dari beraktiviti di kawasan berhampiran bandar.
Lihat sahaja kemajuan mana-mana Negara di dunia sekarang, factor kestabilan serta kemajuan dalaman tak mungkin berpisah dengan elemen kemajuan infrastuktur serta keamanan. Inilah resepi utama yang menjadikan sesebuah Negara bertambah makmur dan maju.
Subhanallah! Sekali lagi al-Quran mempesonakan saya dengan isinya yang sungguh ajaib. Sungguh ia bukan sekadar pembimbing manusia untuk alam akhirat, tetapi juga membimbing manusia untuk maju bahagia di dunia. Patutkah kita mencari panduan lain selain al-Quran?
No comments:
Post a Comment