TANGAN JAHAT IBLIS DALAM KEMUSNAHAN EMPAYAR SABA’ DAN CAMERON HIGHLAND
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (Saba’ [34:30]) pada 19 Disember 2014. Antara isunya adalah hasutan Iblis menjadi punca runtuhnya empayar Saba’.
Iblis bertepuk tangan gembira. Kesabarannya bersama bala tenteranya “SELAMA BERKURUN” menghasut penduduk Saba’ agar kufur kepada Allah akhirnya mendatangkan hasil. Kemurkaan Allah akibat kesombongan dan keingkaran penduduk Saba’ datang dengan serangan banjir besar yang memecahkan empangan Ma’rab dan menenggelamkan negeri Saba’.
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آَيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ (15) فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِنْ سِدْرٍ قَلِيلٍ (16)
Ertinya: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun! MAKA MEREKA BERPALING INGKAR, LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA BANJIR YANG MEMBINASAKAN, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara (Saba’[34:15-16]).
“Apa punca sakit kamu? Ini semua syaitan punya pasal!”
Apabila si sakit menyatakan alasan sebegitu, bunyinya seakan khurafat yang dibawa oleh para bomoh atau pawang. Sebenarnya kemusnahan Saba’ memang berpunca dari hasutan Iblis. Jika tidak, masakan Allah dengan jelas menyatakan namanya sebagai “KONSPIRATOR” di hujung kisah gelap kejatuhan empayar Saba’:
وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ إِبْلِيسُ ظَنَّهُ فَاتَّبَعُوهُ إِلَّا فَرِيقًا مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (20) وَمَا كَانَ لَهُ عَلَيْهِمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يُؤْمِنُ بِالْآَخِرَةِ مِمَّنْ هُوَ مِنْهَا فِي شَكٍّ وَرَبُّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَفِيظٌ (21)
Ertinya: Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka (penduduk Saba’), iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya). Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap sesuatu (Saba’[34:20-21]).
Kejatuhan sesebuah empayar atau tamadun bukan memakan masa sehari dua, tapi berkurun lamanya. Hasutan Iblis dan tenteranya kepada penduduk Saba’ agar menentang Allah berlaku secara halus dalam tempoh yang panjang. Tiada peliknya kerana Iblis adalah makhluk yang dikurniai usia kekal sehingga kiamat. “BALA KELEBIHAN UMUR PANJANG” Iblis ini adalah suatu ujian yang sangat besar kepada bangsa manusia. Iblis dan bangsanya akan melakukan apa sahaja demi dendam mereka kepada anak keturunan Adam:
قَالَ أَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (14) قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ (15) قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآَتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)
Ertinya: Iblis berkata (kepada Allah): Berilah tempoh kepadaku (tidak mati) sehingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (tidak mati ke suatu masa yang tertentu)". Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (al-A’raf [7:14-17]).
Setiap kali membaca kisah keruntuhan empayar Saba’ hati saya terus memikirkan nasib makhluk Allah si “Cameron Highland” yang beransur musnah dek kerakusan manusia yang dihasut Iblis dan kuncunya. Rasuah dan sedikit habuan dunia yang diterima oleh sesetengah pihak yang diamanahkan kuasa menjaga Cameron Highland telah menjadi sebab mutiara Malaysia ini semakin pudar.
Inilah buktinya betapa Iblis dan syaitan memang mampu bertapak dalam diri dan minda manusia sebagaimana firman Allah dalam kisah Saba’ di atas. Umpan kebendaan selalu digunakan oleh Iblis bagi menjerumuskan manusia ke dalam kesusahan. Usahlah kerana sedikit habuan kebendaan yang kotor, nasib bumi Allah ini menjadi mangsa. Ayuh lawan hasutan si Iblis dan kuncunya dengan iman dan taqwa. Jika tidak, nama Cameron Highland sebagai suatu tempat indah kebanggaan Malaysia hanya tinggal sejarah tatapan anak cucu kita kelak.
No comments:
Post a Comment