BURUK BERTUKAR BAIK? DOSA BERTUKAR PAHALA? MUDAHNYA?
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Furqan [25:70]) pada 2 Disember 2014. Antara isunya keajaiban taubat yang nakal menukar kejahatan menjadi kebaikan.
“Takkanlah sebegitu mudah Allah menukarkan kejahatan atau dosa si pendosa menjadi kebaikan?” Itulah soalan yang bermain dalam minda saya sejurus membaca ayat ini:
إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Ertinya: Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, MAKA ORANG-ORANG ITU, ALLAH AKAN MENGGANTIKAN (PADA TEMPAT) KEJAHATAN MEREKA DENGAN KEBAIKAN; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Furqan[25:70]).
Alhamdulillah para ulama kita tidak meninggalkan yang kabur atau keliru melainkan dihurai, diperinci dan dijelaskan dengan segera. Ringkasnya para ulama mempunyai beberapa pendapat tentang maksud “PENUKARAN MUDAH” yang dimaksudkan Allah dalam ayat tersebut.
1) Hati orang yang tulus bertaubat DIGERAKKAN ALLAH agar senantiasa memandang jijik dosa lampau yang pernah dilakukan. Kebencian melampau dan penyesalan mendalam terhadap sejarah hitam silam menjadikan mereka senantiasa insaf dan menjauhi segala kejahatan seakan dikatakan segala KEBIASAAN MEREKA MELAKUKAN KEJAHATAN PADA MASA LAMPAU BERTUKAR MENJADI AMAL KEBAIKAN SETELAH DIGERAKKAN ALLAH.
2) Penukaran dari kejahatan kepada kebaikan adalah kiasan kepada pengampunan dari Allah (Tafsir al-Qurtubi). Orang yang diampunkan Allah biasanya akan senantiasa berada dalam kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan.
3) Penukaran dosa lampau menjadi pahala secara hakiki atas RAHMAT ALLAH disebabkan Taubat Nasuha. Setiap kali si pendosa mengingati dosanya yang lampau dia akan menyesal, bersedih dan memohon ampunan dari Allah. Sekiranya dosanya itu masih tertulis ia tidak akan memberi mudarat kepadanya pada hari kiamat bahkan bertukar menjadi amal kebaikan pada buku amalannya (Tafsir Ibn Kathir). Pendapat ini disokong sebuah hadith:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْرِفُ آخِرَ أَهْلِ النَّارِ خُرُوجًا مِنْ النَّارِ وَآخِرَ أَهْلِ الْجَنَّةِ دُخُولًا الْجَنَّةَ يُؤْتَى بِرَجُلٍ فَيَقُولُ سَلُوا عَنْ صِغَارِ ذُنُوبِهِ وَاخْبَئُوا كِبَارَهَا فَيُقَالُ لَهُ عَمِلْتَ كَذَا وَكَذَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا عَمِلْتَ كَذَا وَكَذَا فِي يَوْمِ كَذَا وَكَذَا قَالَ فَيُقَالُ لَهُ فَإِنَّ لَكَ مَكَانَ كُلِّ سَيِّئَةٍ حَسَنَةً قَالَ فَيَقُولُ يَا رَبِّ لَقَدْ عَمِلْتُ أَشْيَاءَ مَا أَرَاهَا هَا هُنَا قَالَ فَلَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَحِكَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ
Ertinya: Abu Dhar meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya aku benar-benar tahu siapakah penghuni terakhir yang keluar dari neraka dan yang terakhir masuk ke syurga. Dia dibawa lalu dikatakan tanya kepadanya tentang dosanya yang kecil dan sembunyikan dosanya yang besar. Kemudian dikatakan kepadanya: Kamu telah melakukan perkara ini dan perkara ini, pada hari ini dan ini (berulang kali). KEMUDIAN DIKATAKAN PADANYA: SESUNGGUHNYA BAGIMU PADA SETIAP KEJAHATAN DIGANTI KEBAIKAN. Si fulan itu lalu berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan banyak perkara (jahat) yang aku tidak lihat di sini. Abu Dhar berkata: Aku kemudiannya melihat Rasulullah SAW ketawa sehingga ternampak gerahamnya (Sunan al-Tirmidhi).
Prof. Dr. Wahbah ketika mengulas ayat ini menyokong pendapat pertama dengan katanya apabila seseorang itu bersungguh bertaubat kepada Allah, maka dia sudah membuka lembaran hidup yang baru dipenuhi ketaatan dan dia mencuba sedaya upaya untuk mengelakkan kejahatan seakan segala kejahatan dan dosa diganti dengan amal soleh (Tafsir al-Munir).
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Laut mana yang tidak bergelora. Pintu taubat dan kasih sayang Allah senantiasa luas terbuka bagi hambaNya yang khilaf. Inilah bukti bagaimana Allah itu sungguh Pemurah dan Penyayang kepada hambaNya yang tulus kembali kepadanya setelah terlanjur. Bodoh! Sungguh sangat bodohlah manusia yang semakin jauh dari rahmat Allah dengan longgokan dosa yang sayang nak ditinggalkannya ketika RahmatNya datang mencurah dari segenap penjuru. Dungu dan bodoh kerana menolak rahmat Allah yang bakal menyelamatkannya dari sambaran api neraka.
No comments:
Post a Comment