PERUMPAMAAN SARANG LELABAH YANG SUNGGUH “JELIRA”
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:41 & 43]) pada 2 Disember 2014. Antara isunya kegunaan dan kesesuaian perumpamaan yang Allah gunakan dalam al-Quran menurut sasaran dakwah.
Bayangkan jika rumah anda hanya terbentuk dari sarang lelabah? Sangat rapuh sehingga tarikh runtuhnya boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Itulah perumpamaan manusia yang bergantung harap kepada Kuasa Tuhan selain Allah. Nampak mudah tetapi perumpamaan ini sungguh “jelira” (sedap dan kena rasanya) kata orang pantai timur:
مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنْكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Ertinya: Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan (al-‘Ankabut [29:41]).
“KEJELIRAAN” perumpamaan al-Quran kurang dirasa oleh orang yang kurang daya intelek atau orang yang tertutup mindanya dengan kekufuran. Lalu kebingunganlah mereka tertanya-tanya:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آَمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلًا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ
Ertinya: Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "APAKAH MAKSUD ALLAH MEMBUAT PERBANDINGAN DENGAN INI?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik; (al-Baqarah[2:26]).
Oleh itu, Allah memuji manusia yang cerdik kerana mampu mengutip permata dari perumpamaan al-Quran:
وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلَّا الْعَالِمُونَ
Ertinya: Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya (al-‘Ankabut[29:43]).
Walau bagaimanapun, ada pendapat berbeza tentang kerapuhan sarang lelabah kerana kajian moden menunjukkan sarang lelabah sebenarnya sangat kuat sehingga menjadi bahan gunaan dalam pembuatan baju kalis peluru. Lalu bagaimana dikatakan lemah sedang ia sebenarnya sangat kuat? Adakah al-Quran tersilap?
Mudah sahaja jawabnya, al-Quran menyebut zahir sarang lelabah yang mudah dirosakkan dalam ayat tersebut sebagai bandingan yang sesuai dengan zaman nabi. Apabila zaman sudah berubah penemuan baru memanjangkan huraian sarang lelabah bersesuaian pula dengan zaman moden. Lanjutan huraian kekuatan sarang atau RUMAH TANGGA LELABAH boleh dirujuk pada blog sahabat saya:
http://www.ustazshauqi.com/2010/07/rumahtangga-labah-labah.html
No comments:
Post a Comment