Tuesday, December 9, 2014

ALANGKAH HEBATNYA JIKA MAMPU MENJADI KETUA ORANG BERTAQWA

ALANGKAH HEBATNYA JIKA MAMPU MENJADI KETUA ORANG BERTAQWA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Furqan [25:74]) pada 2 Disember 2014. Antara isunya adalah doa manusia pilihan yang mendoakan keluarga yang soleh dan mendapat kepimpinan agama.
Sejuk mata dan hati apabila dikurniai isteri dan anak yang soleh. Hubungan dengan mereka yang soleh bukan hanya wujud di dunia tetapi berpanjangan sehingga ke alam barzakh dan alam akhirat. Pun begitu, “ISTERI & ANAK SOLEH” bukanlah 2 kerusi yang boleh diwarisi dari sesiapa atau dicapai hanya dengan memakan sejenis “VITAMIN SOLEH 30 JUZUK” ciptaan mana-mana kapitalis agama di zaman moden.
Tiada jaminan kita akan mendapat isteri dan zuriat yang soleh walau diusahakan sepenuh hati jika tidak diizinkan Allah. Lihat sahaja nabi Nuh dan nabi Lut AS yang diuji dengan isteri dan anak yang fasiq. Bukan calang-calang orangnya kedua Rasul agung ini, namun apakan daya hidayah adalah hak mutlak Allah yang terkunci kemas dalam ilmuNya semenjak azali. Untuk itu, sebaiknya adalah memohon kepada Allah agar dikurniai ni’mat ini setelah proses pendidikan dilakukan sewajarnya:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Ertinya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa (al-Furqan[25:74]).
Menjadi orang bertaqwa sudah hebat, namun menjadi pemimpin kepada orang bertaqwa jauh lebih hebat. Hujung ayat ini tampak begitu tinggi permintaannya seakan cubaan menggapai langit yang tinggi sedang diri hanya bertongkat tangga yang rendah. Tampak mustahil, namun apabila disaran Allah dalam firmanNya maka ia pasti mampu digenggam tangan. Ia adalah suatu permintaan agar dikurniakan anugerah ilmu dan ibadah yang terbaik sehingga menjadi ikutan orang yang soleh. Darjat  ini sudah dicapai oleh para nabi terdahulu:
وَجَعَلْنَاهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا وَأَوْحَيْنَا إِلَيْهِمْ فِعْلَ الْخَيْرَاتِ وَإِقَامَ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءَ الزَّكَاةِ وَكَانُوا لَنَا عَابِدِينَ
Ertinya: Dan KAMI JADIKAN MEREKA KETUA-KETUA IKUTAN, YANG MEMIMPIN (MANUSIA KE JALAN YANG BENAR) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami (al-Anbiya’ [21:73]).
Secara psikologi, doa di atas seolah mengajarkan kita agar jangan ber“ALA KADAR” dalam “MENGENYANGKAN” rohani, tetapi memohon kepada Allah agar mencapai tahap tertinggi mengatasi orang bertaqwa.
Selain itu, doa ini sebenarnya bertimbal balik. Bagaimana? Jika diizin Allah seiring dengan usaha keras, bapa yang soleh pasti mampu mendidik isteri dan anaknya menjadi orang yang soleh yang menyejukkan hati dan jiwanya. Ini pasti mampu dilakukan oleh individu yang mempunyai kualiti KETUA ORANG BERTAQWA.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...