Monday, November 24, 2014

UMPAMA BERSELIPAR JEPUN UNTUK MEREDAH PERJALANAN DARI JOHOR KE PERLIS

UMPAMA BERSELIPAR JEPUN UNTUK MEREDAH PERJALANAN DARI JOHOR KE PERLIS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:92]) pada 19 November 2014. Antara isunya adalah kepentingan harta bagi menjayakan usaha dakwah dan jihad dalam Islam.

Sungguh beruntung orang kaya yang mengurus hartanya dengan iman dan taqwa. Pengurusan harta dalam syukur akan membuahkan hasil lumayan dalam “MATA WANG AKHIRAT”. Orang soleh berharta yang dermawan mendapat perhatian Rasulullah SAW sehingga baginda menyarankan kita agar berasa “IRI HATI” dengan mereka melalui persaingan sihat:

لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَقُومُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَهُوَ يُنْفِقُهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ

Ertinya: Tidak boleh berhasad dengki, KECUALI IRI HATI PADA DUA KEADAAN, iaitu; seorang lelaki yang dikurniai Allah (kemahiran & kefahaman) al-Quran, lalu dia menegakkannya (mengamal, mengajar, menghayati) sepanjang malam dan sepanjang siang, JUGA SEORANG LELAKI YANG DIKURNIAI ALLAH HARTA KEKAYAAN LALU DIA MEMBELANJAKANNYA (PADA JALAN KENAIKAN) SEPANJANG SIANG DAN MALAM (Sahih al-Bukhari & Muslim)

Allah memang Maha Bijaksana apabila senantiasa mendahulukan sebutan harta
dalam arahan jihad pada jalanNya. Lihat sahaja (al-Nisa’[4:95], al-Anfal[8:72], al-Tawbah[9:20,44,81,88], al-Hujurat[49:15]). Sebutan harta didahulukan sebelum jiwa kerana tanpa harta, banyak sekali insan yang “MISKIN BERJIWA KENTAL” gagal melaksanakan urusan agama. Lihatlah kisah sedih para sahabat Rasulullah SAW yang terpaksa ditinggalkan kerana kekurangan kelengkapan untuk berangkat ke medan perang Tabuk pada tahun ke 9 Hijri dek kemiskinan mereka:

وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوْا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنْفِقُونَ (92)

Ertinya: Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah) (al-Tawbah[9:91-92]).

Memang patut Rasulullah SAW tidak mengizinkan mereka berangkat bersama. Jika mereka turut serta, dibimbangi mereka akan menjadi beban tambahan kepada tentera Islam yang bakal menempuh perjalan ke Tabuk yang berjarak lebih 600 km. Umpamanya mereka berangkat dengan alas kaki ala-ala selipar jepun, tiada pula unta atau kuda tunggangan yang akan memikul kelengkapan mereka. Sampai sahaja di tengah jalan, alas kaki ala-ala selipar jepun mereka akan terputus atau terkoyak dan melukakan kaki mereka. Tanpa tunggangan juga mereka pasti akan mengalami keletihan melampau. Inilah antara hikmah mengapa mereka ditinggalkan Rasulullah.

Ayuh tingkatkan usaha mencari harta halal yang berkat demi untuk menyempurnakan tuntutan agama kita. Ya Allah berikan kami rezeki halal lagi berkat agar dengannya kami dapat meneguhkan agamaMU. Amin!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...