JANGAN SOLAT ATAU BERDIRI DI KUBUR MEREKA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:84]) pada 19 November 2014. Antara isunya adalah larangan mendirikan solat jenazah atau berdoa kepada kepala munafiq Abdullah bin Ubayy sejurus kematiannya.
Besar sekali dosa orang munafiq yang berterusan mengkhianati Islam dan menyakiti Rasulullah SAW. Jika bersifat munafiq sudah berdosa besar, bayangkan pula bagaimana menggunungnya dosa Abdullah bin Ubayy yang menjadi “PRESIDEN SEUMUR HIDUP PERSATUAN ORANG MUNAFIQ MADINAH”? Tak terkira sabotaj dan makian Abdullah bin Ubayy terhadap Rasulullah SAW. Seakan dikata, apabila tersedar sahaja dari tidur pada waktu paginya, otak kejinya terus meratibkan zikir “CELAKA MUHAMMAD, APA SABOTAJKU UNTUK MUHAMMAD HARI INI.” Kekufurannya dipasak teguh sehinggalah saat akhir nyawanya direnggus kasar oleh Malaikat Maut.
Setelah sakit selama 20 hari, akhirnya si kepala munafiq ini direnggut nyawanya (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari). Rasulullah SAW kemudiannya didatangi oleh anaknya (yang beriman penuh kepada Islam) meminta Rasulullah SAW agar memberikan baju baginda untuk digunakan sebagai kafan ayahnya dan beliau juga meminta agar Rasulullah SAW mendirikan solat jenazah untuk ayahnya. Rasulullah SAW dengan sikap kasihan belasnya mahu mendirikan solat tetapi dihalang oleh ‘Umar bin al-Khattab. ‘Umar bertegas bahawa Ibn Ubayy tidak selayaknya disolatkan kerana jenayahnya yang menggunung. Berikutan peristiwa ini Allah menurunkan ayat ini (Sahih al-Bukhari):
وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ
Ertinya: Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka) (al-Tawbah [9:84]).
Maksud berdiri di tepi kubur itu adalah jangan kamu terlibat dengan pengurusan mengkebumikan mayatnya seperti menggali kubur, menurunkan jenazah ke dalam lahad dan mendoakan keampunan kepada si mati selepas pengkebumiannya.
Walau bagaimanapun, perlu diingat sifat munafiq adalah rahsia hati yang hanya diketahui oleh Allah. Kisah larangan bersolat kepada Ibn Ubayy adalah khusus untuk baginda SAW yang datang dalam bentuk wahyu.
Janganlah pula kiranya ada yang bertegas tidak mahu mendirikan solat untuk temannya yang tidak sefahaman dengan menggunakan ayat di atas. Kita tidak mengetahui soal hati manusia. Untuk orang awam seperti kita, tegakkan keadilan penilaian dengan kaedah (نحن نحكم بالظواهر والله يتولى السرائر) “KITA MENGHUKUM BERDASARKAN YANG ZAHIR, SEDANG ALLAH MENGURUSKAN SOAL RAHSIA (DALAM HATI),
No comments:
Post a Comment