BERLINDUNGLAH PADA YANG HIDUP DAN TAK AKAN MATI
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Furqan [25:58]) pada 18 November 2014. Antara isunya adalah arahan agar berserah dan bersandar kepada Allah yang HIDUP KEKAL dan TIDAK MATI.
Selalu didengar dialog murahan seperti ini:
“ Tuanku raja negeri Pasir Berdengung tu tak jauh hubungannya dengan saya. Kira-kira baru 15 pupu je.”
“Hartawan Qarun sepupu nabi Musa tu, masa mula belajar berniaga pernah jadi kerani akaun di pejabat saya. Banyak juga dia belajar berniaga dari saya. Kami juga selalu lepak minum teh Tarik bersama di restoran tepi Piramid di Giza Mesir.”
Manusia memang suka menyandarkan dirinya kepada orang yang berpengaruh atau orang kaya. Persoalannya, berapa ramai pula yang sanggup berbangga dan bersandarkan kepada Allah selaku Tuhan alam semesta?
“Saya tak hairan dengan kekuasaan milik sang Raja negeri Pasir Berdengung atau kekayaan milik hartawan Qarun kerana saya adalah hamba kepada Tuhan alam semesta yang Paling Berkuasa, yang Paling Kaya dan yang Tidak Akan Mati.”
Allah selaku Tuhan sebenar mengajarkan kita agar berserah dan bersandar hanya padaNya:
وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ وَسَبِّحْ بِحَمْدِهِ وَكَفَى بِهِ بِذُنُوبِ عِبَادِهِ خَبِيرًا
Ertinya: Dan berserahlah engkau kepada ALLAH TUHAN YANG HIDUP, YANG TIDAK MATI; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya; (al-Furqan [25:58]).
Soalan yang perlu difikir adalah, mengapakah Allah menyebut namaNya secara berganda pada YANG MAHA HIDUP dan TIDAK MATI. Sedangkan ALLAH YANG MAHA HIDUP PASTINYA TAK AKAN MATI. Ini sebenarnya suatu penegasan bahawa bersandar pada Allah memang bersifat abadi kerana Allah senantiasa Hidup dan tak akan mati. Jika bersandar kepada makhluk yang fana, kematian penjaganya akan menghilangkan jagaan yang diharap (Tafsir al-Razi). Sedangkan bersandar pada makhluk tidak kekal. Ada sang raja yang akan jatuh takhta atau mati. Ada sahaja hartawan yang jatuh muflis dan ada sahaja pahlawan perkasa yang tua dan lemah dimakan usia.
Banyak contoh boleh dilihat dalam kehidupan manusia tentang perkara ini. Ada sesetengah orang yang lemah bersandarkan kepada ketuanya yang perkasa fizikal. Ketika ketua masih kuat dan muda belia segala serangan musuh mampu ditangkis, namun apabila kekuatan fizikal sudah pudar dimakan usia takhtanya akan dirampas oleh si perkasa lain.
Dalam sesetengah organisasi pula ada pekerja yang bersungguh mengampu ketuanya dengan “budi dan body” untuk naik ke atas. Selagi ketua “ampuan”nya masih bertakhta maka kedudukannya turut bertahan, namun apabila kontrak si ketua sudah berakhir maka kedudukannya juga turut gugur bersama berakhirnya era si ketua.
Malang sekali manusia yang berasa kuat, berkuasa dan berpangkat hanya kerana bersandar kepada makhluk yang bersifat sementara. Allah jualah yang kekal dan tidak mati. Ayuh apa ditunggu lagi, BERSERAHLAH HANYA PADA ALLAH KERANA DIALAH YANG SENANTIASA KEKAL PADA KUASANYA bukan berkontrak dan bertempoh seperti manusia.
No comments:
Post a Comment