SETITIS “AIR” YANG MENJADI SEBAB PENASABAN DAN PERSEMENDAAN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Furqan [25:54]) pada 18 November 2014. Antara isunya adalah keajaiban ciptaan Allah pada “AIR MANI.”
Sesetengah manusia sombong mendakwa diri mereka lebih pandai dari Allah apabila berani mencabar atau mempertikaikan hukum Allah. Mereka sebenarnya tidaklah cerdik mana pun. Usahkan mencipta manusia, nak mencipta setitis air mani pun tak mampu. Setitis air mani memang nampak sangat kecil dan remeh, namun kuasanya sangat hebat. Dari air hina itulah penasaban dan persemendaan manusia bermula. Setitik air hina itu jugalah menjadi sebab bumi ini dipenuhi generasi manusia:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا
Ertinya: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikanya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya) (al-Furqan [25:54]).
Ayat ini sangat releven dengan Rasulullah SAW dan Sayyidina Ali RA kerana mereka berdua dikumpulkan dalam kedua aspek penasaban dan persemendaan (Tafsir al-Qurtubi). Ali adalah sepupu baginda dalam penasaban dan beliau juga menantu Rasulullah SAW dalam persemendaan. Perincian antara nasab dan persemendaan disebut oleh ayat lain:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا
Ertinya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (1-PENASABAN) (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, (2-SEBAB SUSUAN) dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, (3 – PERSEMENDAAN) dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Nisa’ [4:23]).
Ayat ini bukan sahaja menyatakan kehebatan Allah mencipta makhluk, tetapi turut berperanan menyedarkan manusia yang engkar bahawa mereka sebenar sangat lemah. Selemah air hina yang memancar keluar ketika syahwat memuncak. Tanpa syahwat memuncak air ini akan terus terkurung dalam tubuh manusia. Itulah bukti lemahnya manusia. Akan tetapi atas ihsan Allah, Dia menempatkan air hina itu ke dalam rahim ibu, lalu lahirlah sang manusia yang engkar itu. Oleh itu, sedarlah diri wahai manusia dan berterima kasihlah kepada Allah dengan benar-benar menjadi hambaNya.
No comments:
Post a Comment