Sunday, November 23, 2014

KISAH 7 LELAKI YANG BERSUNGUH-SUNGUH MENANGIS

Ģ[22/11 7:40 AM] Uia ustz abdullah bukhairi: KISAH 7 LELAKI YANG BERSUNGUH-SUNGUH MENANGIS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Tawbah [9:91-92]) pada 19 November 2014. Antara isunya adalah kisah kesedihan 7 sahabat Rasulullah SAW yang mahu ikut serta dalam perang Tabuk tapi terhalang kerana ketiadaan kemudahan.

Mereka pulang dengan kesedihan yang amat sangat seraya menangis keseduan kerana gagal bersama Rasulullah SAW ke medan Tabuk. Bukan  Rasulullah tak mahu membawa mereka tetapi keadaan sangat tidak mengizinkan. Inilah tangisan manusia yang kenal erti jihad dan ganjaran mentaati Rasulullah SAW. Impaknya sungguh dahsyat, “TANGISAN KERAMAT” itu mereka menjadi pujian berkekalan dibaca oleh semua manusia melalui al-Quran sehingga kiamat:

وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوْا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنْفِقُونَ (92)

Ertinya: Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", MEREKA KEMBALI SEDANG MATA MEREKA MENGALIRKAN AIRMATA YANG BERCUCURAN, KERANA SEDIH bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah) (al-Tawbah[9:91-92]).

Siapakah manusia mulia yang menangis dalam ayat ini? Menurut para ulama’ mereka digelar sebagai  البكّائين   iaitu orang yang sangat KUAT MENANGIS kerana sedih tidak dapat memenuhi seruan Allah. Mereka terhalang kerana keperluan musafir dan jihad yang bakal menempoh perjalanan sejauh 600km tidak lengkap. Tambahan pula tiada kenderaan kosong yang boleh membawa mereka. Mereka adalah sekumpulan (7 orang sahabat nabi yang bergegas menyahut seruan jihad ke Tabuk pada tahun ke 9 Hijri (Tafsir Ibn Kathir, Sirah Ibn Hisyam, al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah).

Bukan sekali Allah memuji tangisan hambaNya dalam al-Quran. Allah pernah memuji pendeta Nasrani yang berdamping dengan al-Najasyi kerana mereka menangis keseduan mendengar al-Quran dibacakan kepada mereka:

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آَمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ (83) وَمَا لَنَا لَا نُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا جَاءَنَا مِنَ الْحَقِّ وَنَطْمَعُ أَنْ يُدْخِلَنَا رَبُّنَا مَعَ الْقَوْمِ الصَّالِحِينَ (84)

Ertinya: Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), ENGKAU MELIHAT MATA MEREKA MENCUCURKAN AIR MATA DISEBABKAN APA YANG MEREKA KETAHUI (MELALUI KITAB MEREKA) DARI KEBENARAN (AL-QURAN), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w). "Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh" (al-Ma’idah[5:83-84]).

Inilah kisah tangisan yang berkualiti dalam al-Quran. Tangisan ini tidak dibuat-buat tetapi terbit dari hati yang murni halus diselaputi iman yang tebal. Hati yang “SENSITIF IMAN” sebegini diperolehi dari siraman ilmu dan mujahadah melawan nafsu yang berpanjangan. Jika ianya pernah dimiliki oleh manusia pilihan yang lain, ia juga mampu kita miliki kerana kita dan mereka sama-sama manusia yang memiliki potensi yang sama. Marilah kita sama-sama menambah dan menghayati ilmu agar hati kita juga mudah menangis kerana Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...