Monday, November 24, 2014

ALLAH MENARIK KUASA SANG API DEMI IBRAHIM

ALLAH MENARIK KUASA SANG API DEMI IBRAHIM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-‘Ankabut [29:24-25]) pada 18 November 2014. Antara isunya adalah teguran Nabi Ibrahim AS kepada kaumnya selepas baginda keluar dari api.

Mana ada Rasul yang disanggah sehingga dibakar? Bukan setakat dibakar, diberkas kasar lalu dilempar masuk ke dalam api. Walaupun ngeri bunyinya, itulah hakikat ujian yang dihadapi oleh nabi Ibrahim AS.

قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ

Ertinya: (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu"(al-Saffat [37:97]).

Allah selaku Penguasa sebenar alam ini langsung menarik “KUASA MEMBAKAR” yang selama ini dipinjamkan kepada api demi menjaga hambaNya yang sangat istimewa ini. Api tiada pilihan lain melainkan patuh tunduk pada kehendak “TUANNYA” ini:

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Ertinya: Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau SEJUK SERTA SELAMAT sejahtera kepada Ibrahim! " (al-Anbiya’[21:69]). 

Hebat dan lengkap arahan Allah, tiada kecacatan padanya kerana diarahnya sang api agar menjadi SEJUK ala-ala SELAMAT kepada Ibrahim. Jika api hanya menerima arahan sejuk, pasti akan sejuk membeku dalam api itu. Inilah yang difaham oleh pakar Tafsir sahabat Abdullah Ibn ‘Abbas (Tafsir Ibn Kathir).

Selepas bebas dari api, Ibrahim AS diarahkan meninggalkan kaumnya yang tak sedar diuntung. Sebelum melangkah pergi, baginda AS menyatakan hakikat nasib kaumnya di akhirat kelak. Tidak lain, nasihatnya itu terkandung harapan agar mereka bertaubat:

فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا اقْتُلُوهُ أَوْ حَرِّقُوهُ فَأَنْجَاهُ اللَّهُ مِنَ النَّارِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (24) وَقَالَ إِنَّمَا اتَّخَذْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا مَوَدَّةَ بَيْنِكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ثُمَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُ بَعْضُكُمْ بِبَعْضٍ وَيَلْعَنُ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَمَأْوَاكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (25)

Ertinya: Kemudian, seruan Nabi Ibrahim tidak dijawab oleh kaumnya melainkan dengan kata-kata (tentangan yang keras): "Bunuhlah dia atau bakarlah dia". Maka Allah selamatkan Nabi Ibrahim dari api (yang disediakan oleh kaumnya). Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang (mahu) beriman. Dan Nabi Ibrahim berkata pula (kepada kaumnya): "Perbuatan kamu menyembah berbagai berhala, tidak menyembah Allah itu, hanyalah kerana menjaga hubungan kasih mesra di antara kamu masing-masing dalam kehidupan dunia ini; kemudian pada hari kiamat kelak setengah kamu akan membantah setengahnya yang lain, dan setengah kamu pula akan melaknatkan setengahnya yang lain; dan (kesudahannya) tempat kembali kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan" (al-‘Ankabut [29:24-25]).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...