Monday, November 24, 2014

TINGGALKAN ISLAM SEPERTI PENGEMBARA DISESATKAN HANTU

TINGGALKAN ISLAM SEPERTI PENGEMBARA DISESATKAN HANTU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:71]) pada 15 November 2014. Antara isunya adalah perumpamaan orang yang meninggalkan Islam seperti si musafir sesat di padang pasir.

Seram dan meremang bulu roma apabila terdengar suara gemulah datuk atau gemulah ayah kita yang sudah lama meninggal memanggil-manggil nama kita dikala kita tersesat dalam hutan. Jika dilayan panggilan tersebut kita mungkin akan semakin sesat jauh ke dalam hutan atau jatuh ke dalam gaung. Hendak dibiarkan, kasihan pula timbul kepada gemulah datuk yang mungkin ikhlas membantu kita keluar dari hutan itu. Memang keliru!

Suara panggilan menggoda sebegini menjadi igauan ngeri para pengembara Arab di padang pasir pada zaman jahiliah. Mereka percaya ia datang dari jembalang atau jin jahat padang pasir yang digelar  الغُول  atau السعلاة .  Perihal dua jenis jembalang ini memang direkod dalam syair Arab jahiliah (Raji al-Asmar, al-Jinn Haqiqatuhum). Mangsa yang diganggu jembalang ini akan tersesat jauh dan akhirnya menemui ajal kekeringan di padang pasir.

Bahkan kewujudan sejenis syaitan bernama Ghul atau al-Ghilan seakan disokong oleh hadith Rasulullah SAW:

وَإِذَا تَغَوَّلَتْ لَكُمْ الْغِيلَانُ فَنَادُوا بِالْأَذَانِ

Ertinya: Apabila jin jahat si penyesat cuba menggangu (menyesatkan perjalananmu), maka segeralah laungkan azan (Musnad Ahmad). (Dinilai Dha’if/lemah oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Da’ifah, hadith no: 1140).

Persoalannya, mengapakah kita berbicara perihal jembalang penyesat pengembara ketika membicarakan tentang Tafsir al-Quran? Perlu difaham bahawa al-Quran diturunkan pada zaman Rasulullah SAW ketika masyarakat Arab masih dibelenggu khurafat zaman jahiliah. Oleh itu, bagi memudahkan mereka memahami isi al-Quran, Allah menggunakan budaya mereka bagi menyerlahkan kebenaran al-Quran. Firman Allah:

قُلْ أَنَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَى أَعْقَابِنَا بَعْدَ إِذْ هَدَانَا اللَّهُ كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيَاطِينُ فِي الْأَرْضِ حَيْرَانَ لَهُ أَصْحَابٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى ائْتِنَا قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

Ertinya: Katakanlah: "Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; DAN (PATUTKAH) KITA DIKEMBALIKAN UNDUR KE BELAKANG (MENJADI KAFIR MUSYRIK) SETELAH KITA DIBERI HIDAYAH PETUNJUK OLEH ALLAH (DENGAN UGAMA ISLAM), SEPERTI ORANG YANG TELAH DISESATKAN OLEH SYAITAN-SYAITAN DI BUMI (DI TEMPAT YANG LENGANG) DALAM KEADAAN BINGUNG, SEDANG IA PULA MEMPUNYAI SAHABAT-SAHABAT YANG MENGAJAKNYA KE JALAN YANG LURUS (DENGAN BERKATA KEPADANYA): "MARILAH BERSAMA-SAMA KAMI. "Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam" (al-An’am[6:71]).

Ringkasnya, para penyembah berhala atau penganut agama lain seakan pengembara yang disesatkan jembalang padang pasir sedangkan temannya yang setia (yang sudah menemui hidayah Islam) memanggilnya ke jalan kebenaran. Akibat kebingungan tergoda dengan suara gemulah ayah atau datuk mereka yang dikhayalkan oleh si jembalang, mereka akhirnya tersesat jauh.  Begitulah juga perihalnya Musyrikin Qurasyh yang jauh tersesat dengan penyembahan berhala sedangkan Rasulullah SAW yang “MEMILIKI PETA DAN KOMPAS ISLAM” tidak putus memanggilnya ke jalan kebenaran.

Ya Allah! Selamatkan kami dari musibah kesesatan akibat mengabaikan al-Quran dan al-Sunnah sebagaimana tersesatnya para pengembara di hutan kerana mengabaikan peta dan kompas yang sudah sedia dimilikinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...