SALAHKAN BOSS BILA MUKA HANGUS DIPANGGANG
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Ahzab [33:66-68]) pada 14 November 2014. Antara isunya adalah penyesalan ahli neraka kerana mengikut secara membuta tuli para ketua mereka dahulu di dunia.
Bayangkan bagaimana rasanya apabila wajah yang senantiasa dijaga rapi semasa di dunia semakin masak kemerahan akibat dibakar atas api yang kepanasan. Bagaimana gentar sekalipun, itulah hakikat yang bakal dihadapi oleh manusia bodoh yang sanggup menjadi “macai” kepada manusia zalim di akhirat kelak. Gerunilah ancaman Allah ini:
يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا (66) وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا (67) رَبَّنَا آَتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا (68)
Ertinya: PADA MASA MUKA MEREKA DIBALIK-BALIKKAN DALAM NERAKA (UMPAMA DIPANGGANG), mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. "Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!" (al-Ahzab[33:66-68]).
Muka atau wajah kacak memang selalu menjadi sasaran para malaikat neraka di akhirat kelak kerana manusia sanggup melanggar arahan Allah demi memuja wajahnya itu. Wajah itulah juga menjadi alat mempamerkan kesombongannya kepada golongan bawahan. Firman Allah:
يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ
Ertinya: Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka (al-Qamar [54:48]).
Dalam ayat lain, Allah mengulang secara lebih panjang situasi laknat-melaknat antara “macai” dan bossnya dalam neraka:
قَالَ ادْخُلُوا فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِكُمْ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ فِي النَّارِ كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَعَنَتْ أُخْتَهَا حَتَّى إِذَا ادَّارَكُوا فِيهَا جَمِيعًا قَالَتْ أُخْرَاهُمْ لِأُولَاهُمْ رَبَّنَا هَؤُلَاءِ أَضَلُّونَا فَآَتِهِمْ عَذَابًا ضِعْفًا مِنَ النَّارِ قَالَ لِكُلٍّ ضِعْفٌ وَلَكِنْ لَا تَعْلَمُونَ (38) وَقَالَتْ أُولَاهُمْ لِأُخْرَاهُمْ فَمَا كَانَ لَكُمْ عَلَيْنَا مِنْ فَضْلٍ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْسِبُونَ (39)
Ertinya: Allah berfirman: "Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka". Allah berfirman: "Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui". Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): "(Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami". (Allah berfirman): "Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan" (al-A’raf[7:38-39]).
Kiamat belum berlaku dan logiknya azab akhirat juga belum dimulakan, namun mengapa al-Quran sudah berulang menceritakan perihal ngeri azab neraka kepada kita dalam al-Quran? Jawabnya, Allah mahu mengingatkan kita agar tidak silap terjerumus dalam lubang neraka menjadi “macai” atau pengikut buta sang pemimpin zalim yang mahu kekal berkuasa di dunia.
No comments:
Post a Comment