Wednesday, July 21, 2021

NAK BERSAMA FIRAUN, QARUN, HAMAN DAN UBAY

 NAK BERSAMA FIRAUN, QARUN, HAMAN DAN UBAY BIN KHALAF DI AKHIRAT...?


Berat sungguh dosa orang yang tak solat. Semoga kita dan anak keturunan kita selamat daripada musibah yang disebut hadith ini:


 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ ذَكَرَ الصَّلَاةَ يَوْمًا فَقَالَ مَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا كَانَتْ لَهُ نُورًا وَبُرْهَانًا وَنَجَاةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَنْ لَمْ يُحَافِظْ عَلَيْهَا لَمْ يَكُنْ لَهُ نُورٌ وَلَا بُرْهَانٌ وَلَا نَجَاةٌ وَكَانَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ قَارُونَ وَفِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَأُبَيِّ بْنِ خَلَفٍ


Ertinya: Abdullah bin 'Amru menceritakan, pernah suatu hari Nabi SAW menyebut tentang solat. Baginda pun bersabda: "Sesiapa yang menjaga solat, ia akan menjadi cahaya, petunjuk dan (sebab) kejayaan (baginya) pada hari kiamat. Manakala sesiapa yang tidak menjaganya, (maka) tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan (dalam hidup dunia dan akhirat). Bahkan pada hari kiamat kelak dia akan DITEMPATKAN BERSAMA FIRAUN, QARUN, HAMAN DAN UBAY BIN KHALAF (Musuh Rasulullah SAW semasa di Mekah) (Musnad Ahmad, Sunan al-Darimi, Sahih Ibn Hibban).


Ketika menghuraikan hadith ini, para ulama' menyatakan sebab orang yang tidak solat bakal dibangkit bersama mereka berempat adalah mereka meninggalkan solat kerana HARTA, KUASA, PANGKAT DAN PERNIAGAANNYA (KERJAYA). Jika dia terlalu sibuk dengan harta sehingga meninggalkan solat  maka dia akan dibangkitkan bersama Qarun. Jika dia terlalu sibuk dengan kuasa sehingga meninggalkan solat maka dia akan dibangkitkan bersama Firaun. Jika dia terlalu sibuk dengan pangkat  sehingga meninggalkan solat maka dia akan dibangkitkan bersama Haman dan jika dia terlalu sibuk dengan perniagaan (kerja) sehingga meninggalkan solat maka dia akan dibangkitkan bersama Ubay bin Khalaf (peniaga kafir Mekah) (al-Kaba'ir oleh Imam al-Dhahabi dalam huraian DOSA BESAR MENINGGALKAN SOLAT).


Jagalah solat kerana ia tiang agama yang membezakan antara seorang beriman dan kufur.


Abdullah Bukhari 

21 Julai 2019

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...