Thursday, July 29, 2021

JANGAN BACA AL-QURAN DARI TELEFON?

 JANGAN BACA AL-QURAN DARI TELEFON?


Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.


“Dahulu saya kurang membaca al-Quran kerana jarang membawa mushaf fizikal bersama. Dengan ledakan teknologi telefon pintar, Alhamdulillah saya lebih kerap menelaah al-Quran samada secara bacaan atau tafsirnya. Setelah menonton video yang melarang membaca al-Quran daripada telefon pintar, saya berasa sangsi dan risau akan hilang rasa untuk mendekati al-Quran. Saya rasa Ustaz perlu segera ulas isu ini supaya orang awam seperti saya tidak hilang minat mendekati al-Quran.”


Baru-baru ini saya ditanya beberapa murid dewasa tentang video yang tular menyarankan agar al-Quran tidak dibaca melalui telefon pintar kerana kesan radiasinya boleh memudaratkan badan. Jika dilihat dari sudut kesihatan, saya sangat setuju dengan pandangan tersebut kerana teknologi moden punyai mudarat tertentu kepada tubuh badan manusia. Pun begitu, untuk lebih realistik kita tak dapat lari daripada terus menggunakan teknologi ini kerana ia adalah anugerah Allah kepada manusia. Apa yang boleh dilakukan adalah membataskan penggunaannya sesuai dengan keperluan manusia atau menyarankan penciptaan teknologi bantu yang boleh mengawal mudarat tersebut.


Cuma yang agak meresahkan apabila ramai orang awam menelan terus saranan daripada video itu “tanpa mengunyah dengan pertimbangan akal sihat.” Lalu ketika tiada mushaf fizikal di tangan, mereka beralasan tak mahu membaca al-Quran dalam telefon pintar. Kesannya, angka orang yang membaca al-Quran boleh menurun hanya kerana alasan kesihatan sedangkan pada masa lain mereka membuang masa dengan telefon pintar jauh lebih lama daripada masanya membuka aplikasi al-Quran.


Perkembangan teknologi moden yang bergerak seiring perkembangan ilmu sewajarnya diambil manafaat sepenuhnya oleh umat Islam. Jika dahulu, alasan tak membaca al-Quran dalam jumlah yang banyak disandarkan kepada ketiadaan mushaf fizikal, maka sekarang ia bukan lagi isu besar kerana teknologi moden anugerah Allah memudahkan urusan membaca dan mendengar al-Quran di mana sahaja kita berada. Segala teknologi ini boleh disifatkan antara Qalam (pena) ciptaan Allah yang disebut dalam ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW:


اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5)


Ertinya: Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq 96:3-5).


Terang lagi bersuluh definisi qalam yang Allah sebut dalam ayat ini “mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” Bukankah segala teknologi ini berfungsi mengajar manusia banyak perkara yang mereka tidak ketahui. Kalau dahulu al-Quran cuma boleh dibaca daripada hafazan, kemudian ia berkembang dalam lembaran mushaf, kemudian berkembang pula dalam paparan skrin segala gajet yang wujud pada hari ini. Ini semua adalah makna Qalam yang disebut ayat ini.


Bahkan perkembangan al-Quran daripada bentuk hafazan kepada lembaran mushaf sendiri pun termasuk teknologi yang diilhamkan Allah. Ayuh kita ikuti kisah para sahabat nabi ini. 


Pada awalnya Zayd bin Thabit RA gentar dan resah mendengar cadangan 2 sahabat agung itu. Dia tak berani melakukan sesuatu yang tidak dibuat Rasulullah SAW, namun setelah diyakinkan Abu Bakar dan Umar RA faedah serta kebaikan di sebalik usahanya itu, beliau mengorak langkah membuat pembaharuan yang memberi manafaat besar kepada umat Islam sehingga kiamat. Apa kisahnya? 


Pada zaman awal pemerintahan Abu Bakar RA, berlaku perang al-Yamamah iaitu perang melawan orang murtad. Dalam perang ini ramai para penghafaz al-Quran gugur syahid. Berikutan masalah ini ‘Umar RA mencadangkan kepada Abu Bakar RA agar al-Quran ditulis dan dikumpulkan secara teratur. Pada awalnya Abu Bakar tidak dapat menerima pandangan ini kerana ia tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW, namun selepas mendengar logik saranan Umar, beliau menerimanya dan pergi bertemu dengan seorang penulis wahyu pada zaman Rasulullah:


قَالَ أَبُو بَكْرٍ إِنَّكَ رَجُلٌ شَابٌّ عَاقِلٌ لَا نَتَّهِمُكَ وَقَدْ كُنْتَ تَكْتُبُ الْوَحْيَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَتَبَّعْ الْقُرْآنَ فَاجْمَعْهُ فَوَاللَّهِ لَوْ كَلَّفُونِي نَقْلَ جَبَلٍ مِنْ الْجِبَالِ مَا كَانَ أَثْقَلَ عَلَيَّ مِمَّا أَمَرَنِي بِهِ مِنْ جَمْعِ الْقُرْآنِ قُلْتُ كَيْفَ تَفْعَلُونَ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ هُوَ وَاللَّهِ خَيْرٌ فَلَمْ يَزَلْ أَبُو بَكْرٍ يُرَاجِعُنِي حَتَّى شَرَحَ اللَّهُ صَدْرِي لِلَّذِي شَرَحَ لَهُ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فَتَتَبَّعْتُ الْقُرْآنَ أَجْمَعُهُ مِنْ الْعُسُبِ وَاللِّخَافِ وَصُدُورِ الرِّجَالِ حَتَّى وَجَدْتُ آخِرَ سُورَةِ التَّوْبَةِ مَعَ أَبِي خُزَيْمَةَ الْأَنْصَارِيِّ لَمْ أَجِدْهَا مَعَ أَحَدٍ غَيْرِهِ { لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ }حَتَّى خَاتِمَةِ بَرَاءَةَ فَكَانَتْ الصُّحُفُ عِنْدَ أَبِي بَكْرٍ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ عِنْدَ عُمَرَ حَيَاتَهُ ثُمَّ عِنْدَ حَفْصَةَ بِنْتِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ


Ertinya: Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya engkau (Wahai Zayd bin Thabit) adalah pemuda bijak. Kami juga tak perlu ragui keupayaanmu, tambahan pula engkau pun sudah sedia menulis wahyu untuk Rasulullah SAW. Maka carilah al-Quran dan kumpulkannya.” Zayd menjawab: “Demi Allah, jika engkau arah untuk aku alih sebuah bukit, ia jauh lebih mudah berbanding tugasan ini. Mana mungkin kamu berdua (Abu Bakar & Umar) mencadangkan sesuatu yang tidak pernah diarahkan Rasulullah SAW?” Abu Bakar meyakinkanku ia adalah suatu tindakan yang baik...Aku kemudiannya mencari ayat al-Quran dari berbagai tempat seperti pelepah kurma, kulit, batu, hafazan sahabat....Kemudiannya mushaf pertama yang mengumpulkan sebuah al-Quran dipegang Abu Bakar sehingga beliau wafat. Kemudiannya ia bertukar tangan kepada Umar sehingga beliau wafat dan akhirnya ia berada dalam jagaan Hafsah binti Umar (Sahih al-Bukhari).


Ternyata pilihan Abu Bakar yang digerakkan Zayd bin Thabit itu memberikan impak besar kepada perkembangan al-Quran. Ia juga menjadi contoh betapa “teknologi” adalah anugerah Allah kepada manusia yang tak patut dimusuhi tetapi perlu didampingi secara bijak. Bayangkan apa akan jadi jika al-Quran hanya kekal dalam bentuk lisan yang dihafaz oleh manusia. Apa akan jadi jika Allah tidak gerakkan manusia untuk berfikir lalu muncul berbagai cabang ilmu berkaitan al-Quran seperti ilmu Fawasil (ilmu yang memperincikan jumlah bilangan ayat), ilmu Dabt al-Quran (Ilmu yang memperincikan tanda baris dan titik al-Quran), ilmu Rasm al-Mushaf (Ilmu yang memperincikan cara penulisan al-Quran seiring dengan persepakatan para sahabat), ilmu Tajwid (Ilmu yang memperincikan cara baca dan sebutan huruf al-Quran seiring cara bacaan Jibril kepada Rasulullah SAW) dan banyak lagi cabang ilmu al-Quran yang disemarak-ilhamnya oleh Allah. 


Sebenarnya perkembangan semua ilmu ini adalah satu manisfestasi kepada kebenaran firman Allah yang menyatakan betapa al-Quran dijamin sendiri oleh Allah penjagaannya. Antara cara penjagaannya adalah lahirnya berbagai ilmu alat yang mengukuhkan pengekalannya. Firman Allah:


إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ


Ertinya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya (al-Hijr 15:9).


Kesimpulannya dalam apa sahaja isu dan topik, kita perlu ada timbang tara yang adil. Pastinya terlebih antara dua ekstrem tetap tidak bagus. Terlebih mengabaikan teknologi tidak bagus kerana akan meninggalkan kita jauh ke belakang dalam arus kemodenan. Terlebih menggunakan teknologi dalam interaksi dengan al-Quran pun tidak bagus untuk kesihatan. Tambahan pula “sensitiviti adab interaksi” dengan al-Quran melalui telefon pintar pun mungkin berkurang, lalu jadilah al-Quran sekadar bacaan biasa yang kurang suci. Bersederhanalah! Ada masa kita pegang mushaf dan ada masanya ketika ruang dan peluang terbatas bacalah al-Quran daripada telefon pintar. Apa yang lebih penting bukannya memberi alasan tetapi sentiasa berdamping dengan al-Quran sama ada melalui helaian mushaf atau paparan teknolgi moden.


Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim 

Presiden 

Multaqa Asatizah dan Du'at Malaysia MURSHID

29 Julai 2019

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...