TADABBUR PILIHAN JUZUK 21 – LELAKI TIADA DUA JANTUNG?
Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 21 sempena hari ke 21 Ramadhan adalah:
مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ (4)
Ertinya: ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENJADIKAN SEORANG LELAKI MEMPUNYAI DUA JANTUNG DALAM RONGGA DADANYA; dan Dia tidak menjadikan isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Dia juga tidak menjadikan anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul (al-Ahzab 33:4).
Ayat ini petikan daripada surah al-Ahzab iaitu surah yang turun di Madinah. Dinamakan surah al-Ahzab (pasukan bersekutu) sempena kisah Madinah dikepung tentera bersekutu musuh pada tahun ke 5 Hijri. Perang ini juga dinamakan perang Khandaq (Parit), berikutan cara Nabi SAW mengadaptasi cadangan Salman al-Farisi agar parit digali pada bahagian tertentu Madinah sebagai langkah pertahanan daripada serangan musuh. Banyak isu disebut surah ini seperti hukum zihar, penamaan anak angkat, perang Khandaq, perang Yahudi Bani Qurayzah dan kisah rumah tangga serta perkahwinan Rasulullah SAW.
Ayat keempat di atas menyebut beberapa isu, tapi saya akan fokus hanya pada ISU LELAKI TIADA 2 JANTUNG. Ia diterangkan ulama' Tafsir dalam beberapa sudut:
1) Rasulullah perlu patuh dan taqwa hanya pada Allah, bukannya kepada orang kafir atau orang Munafiq. Ini arahan utama Allah pada ayat 1 dan 2 surah ini. Kepatuhan pula dijalankan oleh hati jantung manusia. Oleh itu hati jantung yang satu dalam rongga tubuh Baginda perlu difokuskan hanya pada Allah sahaja.
2) Penafian tentang wujudnya manusia berjantung dua kerana menurut budaya Arab, manusia yang terlalu bijak digambarkan memiliki 2 jantung. Menurut kepercayaan orang Mekah dahulu, di Mekah ada seorang lelaki yang terlalu bijak mengatasi kebijaksanaan Rasulullah SAW. Lelaki itu dikatakan bernama Abu Ma’mar Jamil bin Ma’mat al-Fihri. Allah lantas menafikan dakwaan itu dengan menurunkan ayat ini (Tafsir al-Tabari dan Aysar al-Tafasir).
3) Penafian terhadap kutukan orang Munafiq Madinah. Kisahnya pada suatu hari Rasulullah SAW terlupa sesuatu dalam solatnya. Berikutan itu, orang Munafiq yang solat bersama Baginda mengejek: “Cuba kalian perhatikan, dia (Muhammad) ni ada dua hati jantung! Satu bersama kalian (orang Munafiq) dan satu lagi bersama mereka (para sahabat)." Berikutan ejekan itu, Allah menurunkan ayat ini (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 3123 dan Musnad Ahmad, hadith no 2285).
Itu semua tafsiran yang wujud pada ayat ini. Pada suatu hari seorang kawan Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Marsufah binti Jalil menyapa saya sambil bertanya makna ayat ini. Selepas saya jelaskan maknanya beliau menjentik jantung hati saya dengan katanya:
“Memanglah lelaki tak akan ada dua jantung Ustaz, sebab lelaki TAK BOLEH MENGANDUNG! PEREMPUAN BOLEH! BILA PEREMPUAN MENGANDUNG JANTUNG DALAM RONGGA TUBUHNYA BOLEH JADI DUA, TIGA DAN EMPAT. ITU KALAU DIA MENGANDUNG KEMBARLAH!”
Saya tersentak mendengar sudut pandang itu. Lalu terpacul keluar dari mulut saya “Subhanallah! Hebatnya Tuhan. Mengapa saya tak nampak sudut ini pada ayat ini?”
Dalamilah al-Quran kerana ia sebuah kitab wahyu yang penuh ajaib dan ilmu.
Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
14 Mei 2020, Khamis (21 Ramadhan 1441 H).
No comments:
Post a Comment