Saturday, May 9, 2020

TADABBUR PILIHAN JUZUK 16 – TINGGAL SOLAT MUDAH LEMAS DA

TADABBUR PILIHAN JUZUK 16 – TINGGAL SOLAT MUDAH LEMAS DALAM NAFSU?

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 16 sempena hari ke 16 Ramadhan adalah:

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Ertinya: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang “MENCUAIKAN SEMBAHYANG SERTA MENURUT HAWA NAFSU (DENGAN MELAKUKAN MAKSIAT);” maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), (Maryam 19:59).

Ayat ini menjelaskan bahaya mengabaikan solat. Jika solat diabaikan manusia hilang Tuhan daripada diri mereka. Setelah Tuhan hilang, apa lagi yang akan bertapak dalam jiwa manusia selain nafsu dan syaitan?

Gabungan antara - MENCUAIKAN SEMBAHYANG SERTA MENURUT HAWA NAFSU – dalam ayat ini menunjukkan kesan akibat yang ketara. Tambahan pula Allah menjelaskan solat yang sebenar mampu mencegah perkara mungkar:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
 وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Ertinya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan “DIRIKANLAH SEMBAHYANG (DENGAN TEKUN); SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU MENCEGAH DARI PERBUATAN YANG KEJI DAN MUNGKAR;” dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut 29:45).

Perkataan – أقم الصلاة   atau إقامة الصلاة   - yang membawa maksud “MENEGAKKAN SOLAT” bermaksud penunaian solat secara sempurna rukun zahir dan batinnya seperti pembinaan sebuah rumah yang kukuh tapak dan binaannya. Solat yang tegak kukuh sebegini mampu melindungi empunya badan daripada rempuhan badai dosa dan maksiat.

Selain itu, orang yang tegak intipati solatnya juga mudah ditegur dan diberi peringatan kerana rasa bertuhan ada dalam diri mereka:

إِنَّمَا تُنْذِرُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَمَنْ تَزَكَّى فَإِنَّمَا يَتَزَكَّى لِنَفْسِهِ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ

Ertinya: …….. “SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) HANYALAH MEMBERI PERINGATAN KEPADA ORANG YANG TAKUT (MELANGGAR HUKUM) TUHAN SEMASA MEREKA TIDAK DILIHAT ORANG DAN SEMASA MEREKA TIDAK MELIHAT AZAB TUHAN, SERTA MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG.” Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali (Fatir  35:18).

Mengapa orang yang solat mampu menerima teguran dan sukar tunduk kepada nafsu? Tidak lain kerana mereka biasa membersihkan jiwa secara kerap dengan solatnya. Baca hadith ini:

أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ قَالُوا لَا يُبْقِي مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا قَالَ فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا

Ertinya: (Rasulullah bertanya) Apa pandangan kamu semua jika ada sebuah sungai di pintu rumah seorang manusia yang digunakan untuk mandi 5 kali sehari. Adakah kotoran pada dirinya masih ada? Para sahabat menjawab: (Pastinya) tiada lagi kotoran padanya. Rasulullah menyambung: Itulah perumpamaan solat 5 waktu yang menjadi sebab Allah menghapuskan segala dosa (manusia) (Sahih al-Bukhari, hadith no 497).

Manusia yang culas solat sukar menerima teguran kerana jiwanya tidak dilatih sujud patuh kepada Allah. Tambah parah lagi, manusia yang enggan bersujud kepada Allah mudah menjadi buas untuk mengikut nafsunya. Semoga Allah lindungi kita semua daripada bencana meninggalkan solat.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

9 Mei 2020, Sabtu (16 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...