Saturday, May 9, 2020

TADABBUR PILIHAN JUZUK 16 – PELAJARI SENI DOA NABI ZAKARIYYA

TADABBUR PILIHAN JUZUK 16 – PELAJARI SENI DOA NABI ZAKARIYYA

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 16 sempena hari ke 16 Ramadhan adalah:

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا (2) إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا (3) قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (4) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (5) يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا (6)

Ertinya: (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hamba-Nya Zakaria.  (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Dia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu. Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai" (Maryam 19:2-6).

Ayat ini menceritakan doa Nabi Zakariyya AS pada usia Baginda yang sudah lanjut agar dikurniai anak. Baris ayat ini sarat dengan hikmah dan kaedah doa. Ayuh kita lihat:

1) Berdoa secara perlahan kerana ia menunjukkan sikap rendah diri, bahkan ia disukai Allah sebagaimana disebut beberapa ayat (al-A’raf 7:55 & 205). Selain itu, doa perlahan Baginda bagi mengelakkan salah faham atau kutukan orang kerana sangat pelik bagi seorang tua berdoa untuk mendapat anak (Tafsir Ibn Kathir). Baginda nak selamatkan orang lain daripada mendapat dosa bersangka buruk atau mengutuk kepelikan permintaannya.

2) Baginda menyatakan kelemahan diri dan memuji kebaikan Allah. Ini sikap terpuji yang memudahkan penerimaan doa. Ini banyak kita lihat dalam doa para Nabi (al-Anbiya’ 21:83 & 87, al-Qasas 28:24).

3) Baginda meletakkan keutamaan pada hak Allah bukan dirinya, iaitu risau kecuaian hidup beragama keluarganya selepas kewafatan Baginda. Oleh itu, Baginda mengharap agar dikurniai anak yang akan dididik sendiri menjadi pelapis menjaga agama keluarganya. Pendek kata, Baginda risaukan agama Allah berbanding mahukan anak. Anaknya sekadar perantara untuk melaksanakan hak Allah! Ini antara rahsia utama penerimaan doa Baginda. Kaedah sama pernah dipraktik Nabi Ibrahim AS ketika meninggalkan Isma’il AS dan Hajar dua beranak di Mekah:


رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ
فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku tempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. “WAHAI TUHAN KAMI, (MEREKA DITEMPATKAN DI SITU) SUPAYA MEREKA MENDIRIKAN SEMBAHYANG (DAN MEMAKMURKANNYA DENGAN IBADAT).” Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur (Ibrahim 14:37).

Jika kita berada dalam kasut Nabi Ibrahim AS, pasti doa kita lain bunyinya – “Ya Allah! Bagaimana agaknya nasib anak isteriku di sini. Selamatkanlah mereka!” Fokus kita cuma keselamatan anak isteri, tetapi lain sekali dengan doa Baginda: “Ya Allah! Aku tinggalkan mereka di sini SUPAYA MEREKA BOLEH BERIBADAT PADA-MU!” Jelas Baginda meletakkan hak Allah sebelum kepentingan dirinya.

Selepas ini, jika mahu berdoa, susunlah bahasanya elok-elok agar hak Allah diutamakan. Jika mahu anak cemerlang dalam peperiksaannya, usah hanya berdoa “Ya Allah, berikan kejayaan cemerlang untuk anakku” sebaliknya sulamilah ia dengan mengutamakan Allah seperti “Ya Allah berikan kejayaan cemerlang untuk anakku agar dia menjadi hamba-Mu yang bersyukur dan mampu menegakkan agama-Mu di bumi ini.”

Jika mahu keselamatan perjalanan ke kampong ketika cuti, sulamilah dengan indah “Ya Allah berikan keselamatan perjalananku ini kerana aku pulang demi menggembirakan ibu bapaku dan menghubung silaturahim yang Engkau sarankan.”

Semoga praktik seni doa ini akan tambah menjadikan kita semua hamba Allah yang sebenar.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

9 Mei 2020, Sabtu (16 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...