Friday, May 8, 2020

TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 – GERAKAN TIDUR DAN KISAH ANJING GUA

TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 – GERAKAN TIDUR DAN KISAH ANJING GUA

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 15 sempena hari ke 15 Ramadhan adalah:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا (18)

Ertinya: Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua (al-Kahf  18:18).

Ayat ini menceritakan keadaan ajaib pemuda yang ditidurkan Allah selama 300 tahun dalam Surah al-Kahfi. Ada 2 isu penting yang perlu kita faham daripada ayat ini ialah fakta unik tentang gerakan mereka dalam tidur dan kepentingan menjiwai Tawhid:

1) Cara pergerakan tidur mereka yang unik tetapi sangat tabi’i. Pergerakan ketika tidur adalah sesuatu fitrah luar kawal, namun ia termasuk dalam rahmat Allah yang sangat hebat kepada manusia. Bayangkan apa akan jadi jika kita statik dalam tidur tanpa pergerakan untuk satu tempoh masa yang lama? Tubuh akan kaku dan lesu. Lihat sahaja keadaan pesakit koma, tubuh mereka jadi kaku dan belakang mereka berisiko untuk berkudis dek luka kerana tarikan graviti. Oleh itu pesakit koma perlu dijaga secara rapi menggunakan berbagai teknologi perubatan moden seperti tilam angin “ripple matress,” atau katil khas yang mengatur pergerakan mereka secara berkala yang dipanggil “passive movement machine” dan sebagainya. Kami pernah lalui pengalaman sukar menjaga bonda yang koma selama 4 tahun di Kota Bharu. Ketika mengulas hikmah ayat ini, kebanyakan ulama’ tafsir mengatakan, tujuan Allah gerakkan jasad mereka ke kanan dan ke kiri sepanjang waktu tidur itu adalah untuk menjaga jasad mereka supaya tidak dimakan bumi (Tafsir Ibn Kathir).

2) Peranan anjing penjaga yang berkhidmat kepada mereka. Perlu diingat, anjing ini turut dijaga Allah tidak mati atau reput selama 300 tahun BUKAN kerana kehebatannya, TETAPI KERANA BERKAT KHIDMATNYA KEPADA 7 PEMUDA SOLEH INI (Tafsir al-Munir). Oleh itu, janganlah kita cemari kisah ini dengan kepercayaan kononnya nama si anjing boleh menjaga kita daripada mara bahaya. Saya pernah dengar kisah seorang wanita yang percaya kuasa si anjing pemuda gua yang dikatakan bernama QITMIR. Dalam sebuah sekatan jalan raya, cukai jalan kereta si wanita sudah mati. Risau disaman, dia mengulang nama QITMIR berkali-kali dengan kepercayaan si anjing akan menjaganya. Sebagai ujian akidah untuknya, pada hari itu dia dilepaskan pihak polis. Berikutan itu dia menempah kalung terukir nama QITMIR dan memakainya sepanjang masa sebagai TANGKAL PELINDUNG. Astaghfirullah! Ini contoh mudah syaitan memesongkan manusia. Oleh itu, perlu ditegaskan si anjing tidak punyai apa kuasa. Ia hanya menumpang tuah orang soleh yang bertujuh. Mereka bertujuh pula dijaga Allah kerana TAWHID yang dijiwai mereka sehingga sanggup meninggalkan negeri yang bergelumang syirik. Janganlah kita terpesong fokus ketika memahami ayat ini.

Tambahan pula al-Quran tidak pernah nyatakan apa jenis dan nama anjing pemuda gua itu, walaupun nama yang masyhur dikait dengannya adalah QITMIR. Tambah mengejutkan kita nanti, QITMIR dalam bahasa Arab bermaksud selaput putih pada biji kurma. Perhatikan ayat ini:

يولِجُ الَّيلَ فِى النَّهارِ وَيولِجُ النَّهارَ فِى الَّيلِ وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ كُلٌّ يَجرى لِأَجَلٍ مُسَمًّى ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم لَهُ المُلكُ ۚ وَالَّذينَ تَدعونَ مِن دونِهِ ما يَملِكونَ مِن قِطميرٍ

Ertinya: Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti) dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; setiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, hanya bagi-Nya kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah (yang selain Allah) tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma (Fatir 35:13).

Fahamilah al-Quran dengan betul dan jangan kita sesat meraba dalam cahaya yang terang benderang dek kesilapan melihat ayat al-Quran. Semoga Allah bimbing kita semua dengan suluhan al-Quran mengikut kehendak pantulan cahaya hidayah dari Allah.

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

8 Mei 2020, Jumaat (15 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...