Friday, May 8, 2020

TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 – FAHAMI CARA ALAM BERTASBIH

TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 – FAHAMI CARA ALAM BERTASBIH

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 15 sempena hari ke 15 Ramadhan adalah:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Ertinya: Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun (al-Isra’ 17:44).

Ayat ini menjelaskan semua makhluk di alam ini bertasbih kepada Allah dalam cara dan bahasa tersendiri. Zahirnya perkataan TASBIH adalah ucapan Subhanallah yang bermaksud Maha Suci Allah. Pun begitu, ia merujuk kepada ucapan kita menafikan sebarang kekurangan Allah atau persamaan-Nya dengan makhluk. Inilah sebabnya kita dapati al-Quran akan tutup sebarang ayat yang ada cubaan menggugat kuasa Allah dengan lafaz Tasbih. Apa tujuannya? Tidak lain bagi menafikan persamaan Allah dengan makhluk-Nya:

مَا اتَّخَذَ اللَّهُ مِنْ وَلَدٍ وَمَا كَانَ مَعَهُ مِنْ إِلَهٍ إِذًا لَذَهَبَ كُلُّ إِلَهٍ بِمَا خَلَقَ وَلَعَلَا بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ

Ertinya: Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah setiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. MAHA SUCI ALLAH DARIPADA APA YANG DIKATAKAN OLEH MEREKA (YANG MUSYRIK) ITU (al-Mu’minun 23:91).

Selain tasbih zahir dengan lafaz SUBHANALLAH oleh manusia dan jin, Tasbih juga membawa maksud kepatuhan semua makhluk seperti matahari, bulan, bintang, pokok dan sebagainya kepada sistem alam ciptaan Allah. Operasi mereka sesuai dengan fungsi mereka kepada alam inilah yang dimaksudkan BAHASA TASBIH MEREKA. Tinggal lagi kita yang tidak memahaminya kerana bahasa Tasbih mereka berbeza dengan bahasa Tasbih manusia. Walaupun tidak sama bahasa, jangan pula kita nafikan tasbih mereka. Contohnya, perkataan “DUDUK, SIT dan IJLIS” bunyinya berbeza tapi maknanya tetap satu.

Oleh itu, jangan hairan bila dikata bahawa rumput yang tumbuh menutup bumi sebenarnya sedang bertasbih dalam bahasa mereka. Angin yang bertiup sepanjang masa membawa awan, benih atau mengeringkan baju sebenarnya sedang bertasbih dalam bahasa mereka. Guruh yang berdentum di langit hasil pergeseran cas positif dan negatif eletrik juga sedang bertasbih (al-Ra’du 13:13). Burung yang terbang berbaris di langit juga sebenarnya sedang bertasbih kepada Allah:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ (41)

Ertinya: Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepada-Nya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memuji-Nya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan (al-Nur 24:41).

Beginilah caranya al-Quran mengajar kita agar patuh kepada Allah secara lebih holistik. Oleh itu, jangan lihat makhluk selain kita di alam ini secara kosong. Mereka sebenarnya sedang bertasbih dalam bahasa tersendiri mengakui keesaan dan keagungan Allah. Bahkan disebut, mereka pasti menunjukkan kejutan luar biasa DALAM BAHASA MEREKA TERSENDIRI kerana tindakan biadab sesetengah manusia mengatakan Allah ada anak atau sekutu:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا (88) لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا (89) تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا (90) أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا (91)

Ertinya: Dan mereka yang kafir berkata: "(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak."Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! Langit nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris runtuh ranap, Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak (Maryam 19:88-91).

Setelah faham betapa semua makhluk sentiasa bertasbih, ubahlah sudut pandang kita kepada alam. Dengar sahaja kicau burung, deruan angin, hentaman ombak, aliran air sungai, kokok ayam dan semuanya, maka ayuh kita sedar mereka sebenarnya sedang mengingatkan kita agar turut bertasbih bersama. Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!

Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

8 Mei 2020, Jumaat (15 Ramadhan 1441 H).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...