Monday, January 28, 2019

MAAFKAN MEREKA SEPERTI YUSUF, MUHAMMAD DAN ABU BAKAR

MAAFKAN MEREKA SEPERTI YUSUF, MUHAMMAD DAN ABU BAKAR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

"Jangan maafkan dia! Biar pun dia datang menyembah, kamu perlu simpan dendam ini agar maruah dirimu dipandang tinggi manusia."

Ayat itu adalah suara cetusan syaitan dalam diri manudia ketika berhadapan dengan gelojak jiwa untuk memaafkan kesilapan orang.

Memaafkan kesilapan orang bunyinya mudah tapi sangat berat pada ego. Ego mendesak agar amarah dan dendam dilayan. Tambah parah apabila syaitan mengambil tempat membakar jiwa bersama nafsu. Apabila merasai sendiri perang dalam jiwa antara pasukan dendam dan  maaf, barulah kita tahu bahawa perkataan "MAAF" bukan mudah pada perbuatan walaupun lafaznya sangat pendek dan ringan pada makhraj.

Apakah perlu maaf atau biarkan dendam membara dalam jiwa? Dendam mampu merosakkan jiwa manusia dan menyukarkan laluan mereka ke syurga kerana syurga bukan tempat pendendam:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُتَقَابِلِينَ

Ertinya: Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadapan atas pelamin masing-masing (al-Hijr 15:47).

Sifat pemaaf adalah sifat manusia hebat. Simpanan atau stok dendam tak akan bawa manusia ke mana, tetapi sifat pemaaf menjulang tinggi nama manusia. Dalam sejarah ada banyak contoh manusia yang namanya harum mewangi sepanjang zaman kerana memiliki sifat ini. Lihat kisah Yusuf AS:

قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: Yusuf berkata (kepada saudaranya yang pernah menzaliminya dahulu): "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani  (Yusuf 12:92).

Subhanallah! Lafaz ayat di atas baginda ucapkan ketika berada di puncak kuasa. Baginda mampu melakukan apa sahaja. Walaupun begitu, kezaliman semua saudaranya yang menyebabkan hidupnya derita terbuang di negeri orang serta terpisah daripada ayah tercinta mampu baginda maafkan sekelip mata. Tindakan ini menjulang tinggi nama sehingga akhir zaman selagi surah ini dibaca.

Ketika berkuasa penuh menghukum orang Mekah yang sudah belasan tahun menzalimi baginda, Rasulullah SAW turut mengambil sikap sama. Pada hari pembukaan kota Mekah, orang Mekah tunduk malu lagi hina berdiri di hadapan baginda. Nasib dan takdir mereka seperti lembu yang terikat kemas menunggu torehan pisau tajam si penyembelih. Adakah baginda menghayun pisau menyembelih mereka? Tidak! Sebaliknya baginda mengucapkan:

" وأنا أقول كما قال أخي يوسف لا تثريب عليكم اليوم "

Ertinya: Aku ucapkan (kepada kalian wahai penduduk Mekah) sebagaimana kata-kata yang pernah diucapkan saudaraku Yusuf (ketika memaafkan semua saudaranya);  "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), (Tafsir al-Qurtubi, riwayat ini dinilai Lemah oleh ramai ulama hadith).

Begitu juga sikap Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq RA yang sedia tunduk patuh pada teguran Allah yang mahu beliau memaaf-lupa kesilapan sepupunya Mistah bin Uthathah RA yang tersilap memanjangkan cerita busuk orang Munafiq mengenai Aishah RA (Tafsir Ibn Kathir). Sifat pemaaf beliau direkodkan Allah:

وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَىٰ وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; DAN (SEBALIKNYA) HENDAKLAH MEREKA MEMAAFKAN SERTA MELUPAKAN KESALAHAN ORANG ITU; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (al-Nur 24:22).

Ayuh kita semua cuba berjihad melawan nafsu yang mahu agar dendam dipupuk subur. Percayalah dendam kesumat yang dibaja akan menjadi sakit kronik yang bahaya kepada jiwa dan jasad. Kalahkan nafsu dendam dengan sifat pemaaf.  Insya-Allah memaafkan kesilapan orang bakal menjadi ubat jiwa yang mujarab walaupun pahit pada awalnya. Sabarlah! Pahit itu ubat!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...