Monday, December 3, 2018

KALIAN LEBIH TAHU LOKASI POKOK ITU BERBANDING PARA SAHABAT?

KALIAN LEBIH TAHU LOKASI POKOK ITU BERBANDING PARA SAHABAT?

Antara peristiwa penting dalam sejarah Rasulullah SAW adalah peristiwa Hudaybiyah. Apa kisahnya?

Ringkasnya, peristiwa itu berlaku pada bulan Zhu al-Qa’dah tahun ke 6 Hijri. Rasulullah SAW keluar bersama kira-kira 1500 para sahabat menuju Mekah untuk menunaikan umrah. Kedatangan Rasulullah SAW bersama rombongan Madinah menimbulkan keresahan Musyrikin Mekah. Bagi mengelakkan pertumpahan darah, baginda menghantar ‘Uthman bin ‘Affan RA ke Mekah untuk berunding dan menyatakan hasrat sebenar umat Islam.

Selepas itu tersebar khabar angin mengatakan ‘Uthman RA telah dibunuh oleh Musyrikin Mekah. Berikutan itu, Rasulullah SAW dan para sahabat “BERJANJI TAAT SETIA DI BAWAH SEBUAH POKOK DI HUDAYBIYAH” untuk menuntut bela atas kematian ‘Uthman dan tidak akan lari dari medan juang walaupun terpaksa menggadai nyawa. Selepas khabar janji taat setia umat Islam itu diketahui Musyrikin Mekah, mereka berasa gentar dan melepaskan ‘Uthman. Kemudiannya termeterailah perjanjian Hudaybiah antara Rasulullah SAW dan Musyrikin Mekah.

Kisah Bai’ah al-Ridhwan atau Janji Taat setia itu direkodkan al-Quran:

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Ertinya: Demi sesungguhnya! Allah redha dengan orang beriman, ketika mereka memberikan janji taat setia kepadamu (wahai Muhammad) DI BAWAH NAUNGAN POKOK (YANG TERMAKLUM DI HUDAIBIYAH); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia turunkan ketenangan kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya; (al-Fath 48:18).

Bai’ah ini juga dikenali sebagai perjanjian taat setia di bawah pokok berdasarkan ayat ini. Soalannya, DI MANAKAH LOKASI POKOK TERSEBUT? Adakah pokok bersejarah itu punyai keberkatan tersendiri? Rupanya lokasi pokok ini ada ceritanya tersendiri dalam sebuah riwayat:

عَنْ طَارِقِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ قَالَ انْطَلَقْتُ حَاجًّا فَمَرَرْتُ بِقَوْمٍ يُصَلُّونَ قُلْتُ مَا هَذَا الْمَسْجِدُ قَالُوا هَذِهِ الشَّجَرَةُ حَيْثُ بَايَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْعَةَ الرِّضْوَانِ فَأَتَيْتُ سَعِيدَ بْنَ الْمُسَيَّبِ فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ سَعِيدٌ حَدَّثَنِي أَبِي أَنَّهُ كَانَ فِيمَنْ بَايَعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ قَالَ فَلَمَّا خَرَجْنَا مِنْ الْعَامِ الْمُقْبِلِ نَسِينَاهَا فَلَمْ نَقْدِرْ عَلَيْهَا فَقَالَ سَعِيدٌ إِنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَعْلَمُوهَا وَعَلِمْتُمُوهَا أَنْتُمْ فَأَنْتُمْ أَعْلَمُ

Ertinya: Tariq bin Abdul Rahman menceritakan; (pada suatu hari) Aku bertolak ke Mekah untuk menunaikan haji. Aku kemudiannya melewati sekumpulan manusia yang sedang solat di sebuah tempat. Aku bertanya apa (signifikan) tempat mereka solat itu. Mereka menjawab bahawa itu adalah pokok di mana Rasulullah SAW melakukan Bai’ah al-Ridhwan (dalam persitiwa perjanjian Hudaybiyah). Selepas itu aku berjumpa Sa’id bin al-Musayyab (seorang murid  sahabat nabi) dan menceritakan kepadanya perihal pokok tersebut.

Sa’id lantas menjawab: Ayahku (seorang sahabat nabi) yang terlibat secara langsung dalam peristiwa Bai’ah itu  pernah memberitahuku, “APABILA KAMI KELUAR UNTUK MENUNAIKAN UMRAH GANTI PADA TAHUN BERIKUTNYA (tahun ke tujuh Hijri sebagaimana disepakati bersama dalam perjanjian Hudaybiyah), KAMI LUPA LOKASI POKOK ITU DAN TAK MAMPU MENCARINYA.” Sa’id lantas berkata lagi: Para sahabat Muhammad SAW tak pasti di mana lokasinya (pokok itu), tapi kalian pula yang  tahu lokasinya. Tak kanlah  kamu lebih tahu (daripada para sahabat yang terlibat sendiri dalam perisitwa itu)? (Sahih al-Bukhari).

Ketika menghuraikan riwayat yang sama Imam al-Nawawi menulis:

قَالَ الْعُلَمَاء : سَبَب خَفَائِهَا أَلَّا يُفْتَتَن النَّاس بِهَا لِمَا جَرَى تَحْتهَا مِنْ الْخَيْر وَنُزُول الرِّضْوَان وَالسَّكِينَة ، وَغَيْر ذَلِكَ ، فَلَوْ بَقِيَتْ ظَاهِرَة مَعْلُومَة لَخِيفَ تَعْظِيم الْأَعْرَاب وَالْجُهَّال إِيَّاهَا وَعِبَادَتهمْ لَهَا ، فَكَانَ خَفَاؤُهَا رَحْمَة مِنْ اللَّه تَعَالَى .

Ertinya: Para ulama berkata; sebab tersembunyinya lokasi pokok itu adalah supaya manusia tidak terfitnah (terpesong akidah) dengan pokok itu, kerana (akan ada kepercayaan jika) berjalan di bawah pokok itu adalah suatu kebaikan (berpahala) dan akan beroleh keredhaan (Allah) serta ketenangan dan berbagai lagi. Jika pokok itu kekal wujud dan diketahui (secara tepat) lokasinya, dibimbangi orang Arab Badwi dan orang jahil akan mengagung serta beribadat kepadanya. Oleh itu, penyembunyian lokasi pokok itu menjadi rahmat dari Allah Ta’alah (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Aduhai! Cukuplah sindiran  Sa’id ibn al-Mussayab dan ulasan Imam al-Nawawi ini menjadi teguran kepada kita semua agar tidak lebih memandai daripada para sahabat Rasulullah dalam urusan agama.

- Abdullah Bukhari  @ 2 December 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...