Monday, November 19, 2018

TAKUT HANTU ATAU TAKUT DOSA?

TAKUT HANTU ATAU TAKUT DOSA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sesetengah orang takut benar dengan “makhluk kabur” bergelar hantu. Makhluk khayalan ini sering dikhayalkan dengan wajah buruk lagi mengerikan. Jika terserempak dengan makhluk ini,  kita mungkin kaku terkejut seketika. Kejutan itu mungkin melajukan pacuan degup jantung tetapi ia tidak mampu menjerumuskan kita ke dalam kancah dosa yang dimurkai Allah. Situasinya sangat berbeza dengan hasutan syaitan dalam diri. Bisikannya jauh lebih bahaya sehingga mampu mengundang murka Allah seperti dosa rasuah, zina, dusta, bunuh dan sebagainya.

Oleh itu, silap faham antara “TAKUT HANTU atau TAKUT DOSA” ketika berinteraksi dengan musuh azali manusia ini perlu diperbetulkan agar tiada lagi Muslim yang tersalah menyangka tingkap sebagai pintu. Bahkan “lambakan spesis serta cerita hantu” juga antara produk syaitan yang mahu kita lebih takutkan makhluk berbanding takutkan Khaliq (Tuhan Yang Maha Pencipta).

Bagi menyedarkan para pembaca agar lebih risaukan jerangkap samar dosa yang dipasang syaitan, berikut beberapa panduan yang diberi al-Quran:

1) Perangkap halal dan haram dalam makanan;

يَاأَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (168) إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ (169)

Ertinya: Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, DAN JANGANLAH KAMU IKUT JEJAK LANGKAH SYAITAN; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Dia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya) (al-Baqarah 2:168-169).

Awasilah aspek makan dan minum agar tidak terjerumus dalam rasa “kalis haram” walaupun sekecil nilai 10 sen atau masa sependek 5 minit. Ingat! Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Haram yang sedikit boleh jadi haram yang banyak jika tidak dibendung.

2) Perangkap menerima Islam secara berjuzuk sahaja;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan JANGANLAH KAMU IKUT JEJAK LANGKAH SYAITAN. SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH YANG NYATA BAGIMU. (al-Baqarah 2:208).

Terimalah Islam secara total dan bukan selektif bersesuaian dengan nafsu kita. Islam seumpama antibiotik yang perlu disempurnakan dosnya demi memberi kesan positif yang menyeluruh kepada hidup.

3) Perangkap mengubah ciptaan Allah

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ وَمَنْ يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُبِينًا

Ertinya: "Dan demi sesungguhnya, aku akan sesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata (al-Nisa’ 4:119).

Perbincangan ayat ini sangat panjang, ringkasnya ia merujuk kepada sebarang usaha mengubah ciptaan Allah merangkumi ubah agama, syariat dan bentuk fizikal manusia kerana mahu cantik bergaya.

4) Perangkap mencipta berbagai bid’ah dalam agama

وَمِنَ الْأَنْعَامِ حَمُولَةً وَفَرْشًا كُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Ertinya: Dan di antara binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata (al-An’am 6:142).

Ayat ini berkait dengan isu ciptaan bid’ah beberapa haiwan ternakan yang diharamkan tanpa dalil agama oleh orang Arab Jahiliah. Boleh rujuk ayat 103 surah al-Ma’idah dan ayat 138-139 surah al-An’am.

5) Perangkap hasad dengki dalam keluarga;

قَالَ يَابُنَيَّ لَا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Ertinya: Bapanya (nabi Ya’qub AS) berkata:" Wahai anakku (Yusuf AS) ! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia (Yusuf 12:5).

Telahan firasat nabi Ya’qub AS tentang “tangan jahat syaitan” ternyata benar sebagaimana pengakuan Yusuf di akhir kisah mereka (Yusuf 12 :100).

6) Perangkap permusuhan yang dicetuskan penggunaan bahasa kasar;

وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا

Ertinya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia (al-Isra’ 17:53).


7) Perangkap penyebaran berita palsu;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَى مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, JANGANLAH KAMU MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN; DAN SESIAPA YANG MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN, MAKA SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU SENTIASA MENYURUH (PENGIKUTNYA) MELAKUKAN PERKARA YANG KEJI DAN PERBUATAN YANG MUNGKAR. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui (al-Nur 24:21).

Ayat ini diturunkan menegur sebahagian Muslimin Madinah yang terlibat memanjangkan fitnah tajaan orang Munafik Madinah terhadap isteri nabi, Aishah RA. Seakan Allah mahu ingatkan kita betapa kaki fitnah sebenarnya tentera bertauliah lantikan syaitan.

8) Perangkap memesongkan manusia daripada iman kepada hari kiamat;

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِلسَّاعَةِ فَلَا تَمْتَرُنَّ بِهَا وَاتَّبِعُونِ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (61) وَلَا يَصُدَّنَّكُمُ الشَّيْطَانُ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (62)

Ertinya: Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjuk-Ku); inilah jalan yang lurus. DAN JANGANLAH SYAITAN MENGHALANG KAMU (DARIPADA MENURUT JALAN YANG BENAR); SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH YANG NYATA BAGI KAMU (al-Zukhruf 43:61-62).

Iman kepada hari kiamat boleh mengukuhkan integriti seorang Muslim. Pendosa atau penjenayah mungkin boleh meloloskan diri daripada hukuman dunia tetapi hukuman akhirat tidak mungkin dilepasi.

Inilah kelebihan mendalami al-Quran. Allah selaku Pencipta syaitan memberi kita jalan dan lorong mengenal helah syaitan. Setelah tahu helah mereka, kita mudah menyelamatkan diri daripada tipu daya mereka.

Semoga rencana ini menyedarkan kita agar lebih risau dan takut terjerumus dalam hasutan syaitan berbanding takutkan hantu. Hantu adalah khayalan manusia yang dicipta syaitan, manakala syaitan adalah makhluk benar yang sudah lama diwartakan Allah sebagai musuh. Jangan tersalah membidik musuh!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...