Friday, November 9, 2018

BAGAIMANA AL-QURAN DIBAHAGI-BACA OLEH PARA SAHABAT?

BAGAIMANA AL-QURAN DIBAHAGI-BACA OLEH PARA SAHABAT?

Manusia perlu makan. Makanan terbaik sudah pasti makanan berzat, cukup nutrisi serta sihat untuk tubuh. Bagaimana pula makanan rohani? Pastinya makanan terbaik untuk rohani adalah zikir kepada Allah. Dalam senarai zikir kepada Allah, bacaan al-Quran adalah zikir terbaik kerana ia adalah mesej utama Allah yang disampaikan kepada manusia. Bahkan ia adalah mukjizat terhebat Rasulullah SAW.

Bagaimana para sahabat membahagikan al-Quran sebagai bacaan harian atau makanan rohani mereka? Ayuh kita ikuti riwayat ini:

قَالَ أَوْسٌ سَأَلْتُ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ يُحَزِّبُونَ الْقُرْآنَ قَالُوا ثَلَاثٌ وَخَمْسٌ وَسَبْعٌ وَتِسْعٌ وَإِحْدَى عَشْرَةَ وَثَلَاثَ عَشْرَةَ وَحِزْبُ الْمُفَصَّلِ وَحْدَهُ

Ertinya: Aws bin Hudhayfah bertanya kepada para sahabat Rasulullah, bagaimana kalian membahagikan bacaan al-Quran? Lalu para sahabat menjawab, kami membahagikannya kepada 3 (surah), 5 surah, 7 surah, 9 surah, 11 surah, 13 surah dan Mufassal (surah terpisah) yang berasingan (Sunan Abu Dawud & Sunan Ibn Majah).

Pembahagian ini sangat unik dan terpisah kepada 7 bahagian yang boleh dilakukan selama 7 hari. Maksudnya para sahabat melakukan rutin ini setiap hari sehingga mereka khatam bacaan al-Quran setiap minggu. Berikut perincian maksud angka tersebut;

1) 3 surah pertama; al-Baqarah (surah no 2), Ali ‘Imran (surah no 3) dan al-Nisa’ (4).

2) 5 surah berikutnya; al-Ma’idah (5), al-An’am (6), al-A’raf (7), al-Anfal (8) dan al-Tawbah (9).

3) 7 surah berikutnya; Yunus (10), Hud (11), Yusuf (12), al-Ra’du (13), Ibrahim (14), al-Hijr (15) dan al-Nahl (16).

4) 9 surah berikutnya; al-Isra’ (17), al-Kahfi (18), Maryam (19), Taha (20), al-Anbiya’ (21), al-Hajj (22), al-Mu’minun (23), al-Nur (24) dan al-Furqan (25).

5) 11 surah berikutnya; al-Syu’ara’ (26), al-Naml (27), al-Qasas (28), al-‘Ankabut (29), al-Rum (30), Luqman (31), al-Sajdah (32), al-Ahzab (33), Saba’ (34), Fatir (35) dan Yasin (36).

6) 13 surah berikutnya; al-Saffat (37), Sad (38), al-Zumar (39), Ghafir (40), Fussilat (41), al-Syura (42), al-Zukhruf (43), al-Dukhan (44), al-Jathiyah (45), al-Ahqaf (46), Muhammad (47), al-Fath (48) dan al-Hujurat (49).

7) Mufassal (surah terpisah) yang ayatnya pendek bermula daripada surah Qaf (50) sehingga al-Nas (114).

Sistem pembahagian ini menjadi amalan para sahabat dalam mengkhatamkan al-Quran. Selain itu, susun atur surah yang disebut dalam disiplin para sahabat itu juga secara tidak langsung membuktikan bahawa susun atur ini sudah diterima pakai semenjak zaman sahabat lagi. Semoga panduan ini membantu kita mengkhatamkan al-Quran secara mingguan. Insya-Allah!

- Abdullah Bukhari @ 8 November 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...