Friday, August 17, 2018

SOLAT SUDAH WUJUD PADA ZAMAN LUQMAN?

SOLAT SUDAH WUJUD PADA ZAMAN LUQMAN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (Luqman [31:17]) pada 16 Ogos 2016. Antara isunya adalah nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya agar menjaga solat. Adakah ibadat solat sudah wujud pada zamannya?

“Bagaimana Luqman boleh berpesan kepada anaknya agar menjaga solat? Adakah solat sudah wujud semenjak zaman beliau. Bukankah zaman beliau jauh dari zaman Rasulullah SAW?”

Malam tadi ketika mengajar tafsir surah Luqman, timbul perbincangan mengenai pesanan Luqman kepada anaknya agar sentiasa menjaga solat:

يَابُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Ertinya: "WAHAI ANAK KESAYANGANKU, DIRIKANLAH SEMBAHYANG, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya (Luqman [31:17]).

Soalnya adakah solat sudah wujud pada zaman beliau sedangkan zamannya jauh sebelum zaman Rasulullah SAW. Ada yang berkata Luqman hidup sezaman dengan nabi Dawud AS dan ada juga yang menyatakan pendapat lain. Jika ditelurusi dalam al-Quran, kita dapati solat memang sudah disyariatkan kepada para nabi sebelum Rasulullah SAW. Mari kita ikuti ulasannya mengenai dalam beberapa ayat al-Quran:

1) Nabi Ibrahim dalam doanya selepas pembinaan Ka’abah:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Ertinya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang MENDIRIKAN SEMBAHYANG dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku(Ibrahim[14:40]).

2) Nabi Musa ketika kali pertama mendapat wahyu:

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Ertinya: (Allah berfirman kepada Musa ketika kali pertama menerima wahyu) "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, DAN DIRIKANLAH SEMBAHYANG untuk mengingati Daku (Taha[20:13]).

3) Nabi Isa ketika berbicara dalam buaian mempertahankan bondanya dari tohmahan kaumnya: 

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آَتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30)  وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ �وَأَوْصَانِي
 بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (31)

Ertinya: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, DAN DIPERINTAHKAN DAKU MENGERJAKAN SEMBAHYANG dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam[19:30-31]).

4) Nabi Zakariyya ketika diberi khabar gembira tentang kelahiran Yahya:

فَنَادَتْهُ الْمَلَائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي الْمِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقًا بِكَلِمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: Lalu dia diseru oleh malaikat SEDANG DIA BERDIRI SEMBAHYANG DI MIHRAB, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang yang soleh" (Ali ‘Imran[3:39]).

5) Maryam ketika dinobatkan sebagai wanita pilihan:

يَا مَرْيَمُ اقْنُتِي لِرَبِّكِ وَاسْجُدِي وَارْكَعِي مَعَ الرَّاكِعِينَ

Ertinya: "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, DAN SUJUDLAH SERTA RUKUKLAH (MENGERJAKAN SEMBAHYANG) BERSAMA ORANG YANG RUKUK (Ali ‘Imran[3:43]).

6) Nabi Syu’aib ketika berdakwah kepada kaumnya:

قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَنْ نَتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا أَوْ أَنْ نَفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنْتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ
Ertinya: Mereka berkata: "WAHAI SYUAIB! ADAKAH SEMBAHYANGMU (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" (Hud[11:87]).

7) Nabi Ismail:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا (54) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا (55)

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam Kitab (Al-Quran) ini `perihal Nabi Ismail; sesungguhnya dia adalah benar menepati janji dan adalah dia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. [19.55] Dan adalah DIA MENYURUH KELUARGANYA MENGERJAKAN SEMBAHYANG dan memberi zakat, dan dia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam[19:54]).


8) Nabi Muhammad SAW:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Ertinya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu MENGERJAKAN SEMBAHYANG, DAN HENDAKLAH ENGKAU TEKUN BERSABAR MENUNAIKANNYA. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha [20:132]).

Bukti lain menunjukkan solat adalah ibadat yang menyatukan semua nabi adalah peristiwa baginda Rasulullah SAW mengimamkan semua nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Sabda Rasulullah:

وَقَدْ رَأَيْتُنِي فِي جَمَاعَةٍ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ فَإِذَا مُوسَى قَائِمٌ يُصَلِّي فَإِذَا رَجُلٌ ضَرْبٌ جَعْدٌ كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ وَإِذَا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلَام قَائِمٌ يُصَلِّي أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ الثَّقَفِيُّ وَإِذَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام قَائِمٌ يُصَلِّي أَشْبَهُ النَّاسِ بِهِ صَاحِبُكُمْ يَعْنِي نَفْسَهُ فَحَانَتْ الصَّلَاةُ فَأَمَمْتُهُمْ فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنْ الصَّلَاةِ قَالَ قَائِلٌ يَا مُحَمَّدُ هَذَا مَالِكٌ صَاحِبُ النَّارِ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ فَالْتَفَتُّ إِلَيْهِ فَبَدَأَنِي بِالسَّلَامِ

Ertinya: "(Pada malam Israk dan Mikraj) Aku teringat pula ketika aku berada bersama para nabi. Ketika itu Nabi Musa AS. sedang solat. Dia adalah seorang lelaki yang gagah perkasa, berambut pendek, mirip kebanyakan lelaki Kabilah Syanu’ah. Begitu pula Isa Ibnu Maryam sedang solat. Dia kelihatan mirip dengan Urwah bin Mas'ud al-Thaqafi. Ibrahim AS juga solat. Dia lebih mirip dengan sahabatmu ini-iaitu diri baginda Nabi SAW sendiri. Ketika waktu solat tiba, akulah yang mengimami mereka. Setelah selesai solat, lantas ada yang berkata, "Ya, Muhammad! Ini adalah malaikat penjaga neraka. Ucapkanlah salam kepadanya." Aku menoleh kepadanya. Tetapi dia telah mendahului ku mengucapkan salam." (Sahih Muslim).

Solat 5 waktu muncul setelah baginda Rasulullah SAW menerimanya dari Allah pada malam Mikraj. Sebelum munculnya solat 5 waktu, umat Islam pada zaman awal Islam mendirikan solat awal pagi, lewat petang serta solat malam (Tafsir Ibn Kathir). Ia dapat dilihat dalam banyak firman Allah:

فَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ

Ertinya: Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji (SOLAT) Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam (Qaf [50:39]).

Subhanallah! Para nabi rupanya “KAKI SOLAT.” Solat adalah lambang TAWHID atau PENGESAAN ALLAH. Solat juga melambangkan kepatuhan mutlak hanya pada Allah. Oleh kerana ia adalah ibadat purba yang menjadi kemuliaan para nabi, maka marilah kita bersama mereka tunduk sujud kepada Allah seumur hidup kita. Semoga kita dikumpulkan bersama para nabi dan Luqman al-Hakim dalam syurga kelak. Amin!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...