Tuesday, July 3, 2018

DOSA DIPANDANG MUDAH

DOSA DIPANDANG MUDAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Ustaz! Ada teman sepejabat saya, baru kematian suami. Eddahnya belum habis tapi beraya sakan. Cara pakainya penuh ranggi, cat mukanya mengalahkan opera cina. Apa yang patut saya buat?”

Saya terkejut apabila menerima soalan ini. Ini adalah kesilapan kritikal yang berlaku dalam masyarakat kerana terlalu ghairah menyambut hari raya. Perlu diingat Islam sangat menjaga kehormatan wanita. Wanita yang masih berada eddah kematian suami wajib menjaga diri sebagaimana arahan Allah ini:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنْفُسِهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Ertinya: Orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber'iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis 'iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat (al-Baqarah 2:234).

Wanita yang berada dalam eddah kematian suami tidak boleh keluar rumah kecuali untuk keperluan mendesak seperti mencari rezeki. Mereka juga tak boleh berhias atau melakukan tindakan yang boleh mengundang pinangan baru sebelum berakhirnya eddah. Antara sebab larangan ini adalah bagi memastikan rahim mereka benar-benar bersih daripada zuriat suami yang baru meninggal dunia. Selain itu, ia juga bagi mengelakkan prasangka buruk masyarakat tentang kematian suaminya. Jika isteri terlalu galak keluar dan bersuka ria, mata awam boleh berprasangka dengan berbagai andaian. Ini secara tak langsung akan mencemar maruah wanita.

Islam bukanlah agama yang pasif dan membunuh naluri manusia untuk bergembira pada hari raya, tetapi syariat Islam mempunyai hikmah tertentu yang kadangkala tidak difahami oleh manusia.

Dua hari raya yang diwartakan Islam adalah hari kebesaran agama dan bukannya perayaan budaya atau bangsa. Islam adalah agama Allah dan Allah pula Tuhan semua bangsa dunia, bukan Tuhan orang Arab atau orang Melayu sahaja. Salah benar jika ada yang beranggapan ‘Idul fitri adalah hari raya bangsa Melayu. Apatah lagi jika ‘Idul Fitri cuba diinstitusikan dengan menu orang Melayu seperti ketupat dan lemang.

Jika Islam tidak diutus melalui Rasulullah SAW, dua hari raya Islam tidak mungkin kita sambut dengan meriah. Perhatikan kisah sejarah awal sambutan hari raya  dalam hadith ini:

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Ertinya: Anas menceritakan ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduknya memiliki 2 hari raya yang mereka bergembira padanya. Rasulullah bertanya: “2 hari apa ini?” Mereka menjawab: “2 hari yang kami biasa bergembira padanya ketika Jahiliyah.” Rasulullah SAW pun bersabda: “SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH GANTI KEDUA HARI TERSEBUT DENGAN 2 HARI YANG LEBIH BAIK, IDUL ADHA DAN IDUL FITRI.” (Sunan Abu Dawud).

Apabila difaham bahawa ‘Idul Fitri adalah anugerah Allah kepada umat Islam, maka sangat malang dan tidak cocok jika sambutannya disulami perbuatan melanggar suruhan Allah. Setakat pemerhatian penulis, banyak kesilapan yang dilakukan oleh ramai Muslim ketika menyambut hari raya, antaranya:

- Sibuk berhari raya sehingga mengabaikan solat sunat hari raya dan solat Fardhu.

- Berhabis harta, bergolok gadai kerana tak mahu kalah dalam sambutan hari raya.

- Pergaulan tanpa kawal antara saudara mara yang sah nikah atas alasan sambutan hari raya. Pergaulan ini melibatkan banyak isu seperti bersalaman secara bebas, mendedahkan aurat dan sebagainya.

- Mengunjungi kubur dalam keadaan melanggar adab ziarah kubur seperti tidak berusaha mengingati mati, melakukan perkara haram seperti merokok dan memijak kubur orang lain.

Walau bagaimanapun, antara DUA dosa yang selalu dipandang remeh walaupun memberi impak besar kepada setiap Muslim adalah;

PERTAMA: Meneruskan dosa yang ditangguh seketika kerana bulan Ramadhan. Ramai Muslim menangguhkan dosa kerana menghormati bulan Ramadhan. Setelah Ramadhan berlalu, mereka kembali kepada dosa lama seperti manusia “gian dosa.” Kaki tak solat kembali lupa jalan ke surau masjid atau berapa jumlah rakaat solat 5 waktu kerana sibuk dengan rutin harian. Kaki dedah aurat mulai hilang tudung atau baju sopan di celah timbunan baju dalam almari. Kaki umpat kembali mengaktifkan akaun facebook atau what’s app group yang dijadikan medium kutuk umpat setelah bercuti seketika dalam bulan Ramadhan. Kaki gaduh kembali mencari isu untuk “dinyalakan” dalam kandang “politik” atau pergaduhan keluarga yang padam seketika dalam bulan Ramadhan.

Sebenarnya dalam bulan Ramadhan dahulu pun sudah ada kaki dosa yang cuma mengawal dosa pada siang Ramadhan sahaja. Sebaik  sahaja azan Maghrib dikumandang, mereka “TERUS” berbuka puasa dengan dosa asap rokok, dosa tidak solat dan dosa-dosa lain.

Mungkin mereka ingat Allah hanya wujud pada siang Ramadhan sahaja. Atau mungkin mereka tak tahu bahawa Allah Tuhan kepada semua 12 bulan dan bukan hanya Tuhan yang mencipta Ramadhan.


Sikap ini sangat bahaya kerana mereka seakan mempersenda makna taubat. Mereka tidak menjiwai makna taubat yang merangkumi sesalan dan azam sepenuh hati tidak akan mengulangi dosa lampau sebagaimana firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan (manusia yang berhak mendapat syurga adalah) orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya) (Ali ‘Imran 3:135).

Jika taubat sebelum Ramadhan tidak digerakkan oleh niat yang ikhlas, apa agaknya penerimaan Allah terhadap amalan puasa mereka? Saya sangat bimbang setelah membaca sabda Rasulullah SAW ini:

عن كعب بن عجرة ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « احضروا المنبر » فحضرنا فلما ارتقى درجة قال : « آمين » ، فلما ارتقى الدرجة الثانية قال : « آمين » فلما ارتقى الدرجة الثالثة قال : « آمين » ، فلما نزل قلنا : يا رسول الله لقد سمعنا منك اليوم شيئا ما كنا نسمعه قال : « إن جبريل عليه الصلاة والسلام عرض لي فقال : بعدا لمن أدرك رمضان فلم يغفر له قلت : آمين ، فلما رقيت الثانية قال : بعدا لمن ذكرت عنده فلم يصل عليك قلت : آمين ، فلما رقيت الثالثة قال : بعدا لمن أدرك أبواه الكبر عنده أو أحدهما فلم يدخلاه الجنة قلت : آمين

Ertinya: Ka’ab bin ‘Ujrah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bawa datang mimbar itu.” Kami pun membawa mimbar yang dipinta, apabila baginda menaiki satu anak tangga baginda berkata:”AMIN!” Apabila baginda menaiki tangga kedua, diucapnya lagi: “AMIN!” Apabila baginda menaiki tangga ketika, diucapnya lagi: “AMIN!” Para sahabat bertanya mengenainya, baginda bersabda: “JIBRIL DATANG MENEMUIKU DAN BERKATA “SIA-SIALAH (HIDUP) ORANG YANG MASUK KE BULAN RAMADHAN TETAPI TIDAK DIAMPUNKAN DOSANYA (SELEPAS HABIS RAMADHAN). OLEH ITU AKU UCAPKAN AMIN. Apabila aku menaiki tangga kedua, Jibril berkata Sia-sialah (hidup) orang yang disebut namamu di sisinya tetapi dia (diam) tidak berselawat. Aku pun ucapkan Amin. Apabila aku menaiki tangga ketiga, Jibril berkata lagi sia-sialah (hidup) seseorang yang sempat bersama seorang atau kedua ibu bapanya yang tua tetapi usaha menjaga keduanya tidak membawanya ke syurga. Oleh itu, aku ucapkan Amin!” (Mustadrak al-Hakim).

KEDUA. Dosa mengambil hak orang lain semasa majlis sambutan hari raya. Ada sesetengah pengunjung majlis sambutan ‘Idul Fitri bersikap pelik apabila sanggup membungkus atau “tapau makanan” yang disediakan penganjur walaupun majlis belum habis berlangsung. Tapau mereka pula dilakukan senyap-senyap tanpa pengetahuan apatah lagi izin pihak penganjur. Apa agaknya istilah terbaik bagi tindakan ambil barang orang tanpa pemiliknya tahu atau izin? Ia sangat mirip dengan makna curi, dan curi adalah jenayah yang sangat dimurkai Allah. Semua Muslim wajib tahu, yang haram itu bukan hanya “babi,” ambil hak orang lain tanpa izin juga dosa yang ada hukuman dunia dan akhiratnya.

Tindakan si pelaku yang “tapau makanan” tanpa izin telah menzalimi 2 pihak iaitu pihak penganjur yang berhasrat agar “semua jemputan yang dijemput” dapat meni’mati hidangan dan juga menzalimi tetamu yang tiba lewat.

Sempena ‘Idul Fitri yang mulia ini, marilah sama-sama kita sambut PERAYAAN AGAMA kita ini dalam kehendak Allah. Jangan kerana galak berhari raya menyebabkan kita menjentik kemurkaan Allah.Teruskan momentum ibadah Ramadhan bersama kegembiraan Syawwal, mudah-mudahan hidup kita diberkati dan amalan kita diterima Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...