Tuesday, June 26, 2018

HUBUNGILAH DAKU! SILATURAHIM...

HUBUNGILAH DAKU! SILATURAHIM...

Insya-Allah sempena Majlis Sambutan 'Idul Fitri di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Khamis 28 Jun 2018, saya akan berkuliah Maghrib tentang KEPENTINGAN MENIAGA DAN MENYAMBUNG HUBUNGAN KELUARGA atau SILATURAHIM. Isi kuliah ini saya petik daripada beberapa bahan... antaranya daripada buku - صلة الأرحام في ضوء الكتاب والسنة -

Subhanallah! Apabila membaca ayat al-Quran dan Hadith berkaitan KEPENTINGAN MENYAMBUNG serta MENJAGA HUBUNGAN KELUARGA kita akan nampak betapa Islam adalah agama yang sangat MULIA!

Semakin tinggi ilmu serta amalan seorang Muslim, maka semakin tinggi akhlak serta usahanya menjaga Silaturahim kerana  pahala serta dosa MENJAGA atau MEMUTUSKAN HUBUNGAN KELUARGA sangat besar. Antara isi kuliah yang akan diulas adalah:

1) HUBUNGAN KELUARGA PERLU DIJAGA, walaupun kita bertepuk sebelah tangan...

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ

Abu Hurayrah bercerita pada suatu hari seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah! Aku miliki kaum kerabat (atau saudara) yang selalu aku sambung dan hubungi mereka, tapi mereka selalu sahaja memutuskan hubungan mereka denganku. Aku juga selalu berbuat baik pada mereka tetapi mereka membalasnya dengan buruk. Aku selalu berlemah lembut dengan mereka tetapi mereka selalu berkasar denganku.” Baginda menjawab: “Jika benar seperti apa yang kamu kata, kamu sebenarnya sedang menyuap mereka dengan pasir panas (yang biasa orang Arab guna untuk memasak roti dalam dapur, maksudnya sikap mereka menyebabkan mereka dipandang hina oleh Allah dan menambah dosa sendiri). Jika kamu berterusan dengan sikap baik sebegini, bantuan Allah (dan pahala-Nya) akan sentiasa bersamamu bagi mengatasi sikap buruk mereka itu (Sahih Muslim).

2) JAGA HUBUNGAN KELUARGA TERMASUK ANTARA MESEJ AWAL YANG DIBAWA RASULULLAH SAW SELEPAS HIJRAH...

عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلَامٍ قَالَ لَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ انْجَفَلَ النَّاسُ قِبَلَهُ وَقِيلَ قَدْ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ قَدْ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ ثَلَاثًا فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ فَلَمَّا تَبَيَّنْتُ وَجْهَهُ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهِ كَذَّابٍ فَكَانَ أَوَّلُ شَيْءٍ سَمِعْتُهُ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصِلُوا الْأَرْحَامَ وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Abdullah bin Salam RA berkata, Apabila nabi SAW tiba di madinah, orang ramai datang berkerumun kepadanya seraya berkata “Rasulullah SAW sudah sampai (sebanyak 3 kali).” Aku pun datang bersama manusia untuk melihat. Apabila jelas wajahnya (padaku), aku kenal wajahnya bukan wajah pendusta. Antara pesanan awal yang aku dengar daripadanya adalah sabdanya: “Wahai sekelian manusia, sebarkan (ucapan) salam, berilah makan (kepada yang memerlukan), SAMBUNGLAH HUBUNGAN PERSAUDARAAN, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan sejahtera (Sunan Ibn Majah).

3) PEMUTUSAN HUBUNGAN KELUARGA YANG BERLELUASA ADALAH TANDA KIAMAT SEMAKIN HAMPIR...

عَنْ زَاذَانَ أَبِي عُمَرَ عَنْ عُلَيْمٍ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عَلَى سَطْحٍ مَعَنَا رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَزِيدُ لَا أَعْلَمُهُ إِلَّا عَبْسًا الْغِفَارِيَّ وَالنَّاسُ يَخُوضُونَ فِي الطَّاعُونِ فَقَالَ عَبَسٌ يَا طَاعُونُ خُذْنِي ثَلَاثًا يَقُولُهَا فَقَالَ لَهُ عُلَيْمٌ لِمَ تَقُولُ هَذَا أَلَمْ يَقُلْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ فَإِنَّهُ عِنْدَ انْقِطَاعِ عَمَلِهِ لَا يُرَدُّ فَيُسْتَعْتَبَ فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ بَادِرُوا بِالْمَوْتِ سِتًّا إِمْرَةَ السُّفَهَاءِ وَكَثْرَةَ الشَّرْطِ وَبَيْعَ الْحُكْمِ وَاسْتِخْفَافًا بِالدَّمِ وَقَطِيعَةَ الرَّحِمِ وَنَشْئًا يَتَّخِذُونَ الْقُرْآنَ مَزَامِيرَ يُقَدِّمُونَهُ يُغَنِّيهِمْ وَإِنْ كَانَ أَقَلَّ مِنْهُمْ فِقْهًا
 
 Zadan Abi Umar meriwayatkan daripada ‘Ulaym, Pada suatu hari kami duduk di atas bumbung sebuah rumah berbincang berkenaan penyakit taun. Bersama kami pada waktu itu seorang sahabat nabi bernama ‘Abas al-Ghifari. Pada waktu itu Abas berdoa “Wahai Taun, ambillah nyawaku (sebanyak 3 kali). ‘Ulaym lalu berkata “Mengapa anda berdoa demikian, sedangkan Rasulullah SAW berpesan agar jangan sesekelai kalian meminta mati....Abas lalu berkata: “Aku pernah dengar baginda bersabda “Bersegeralah minta mati apabila muncul 6 petanda ini iaitu; (1) perlantikan si bodoh (orang jahil yang langsung tidak layak) sebagai ketua, (2) ramainya para penguatkuasa undang-undang (polis yang membantu kezaliman pemimpin yang jahat), (3) para hakim (pemimpin) yang senang dibeli (dengan rasuah), (4) darah manusia (yang lemah) menjadi ringan (murah serta senang ditindas dan dibunuh), (5) PEMUTUSAN HUBUNGAN SILATURAHIM, (6) sekumpulan manusia menjadikan al-Quran sebagai nyanyian. Mereka mengutamakan orang yang bersuara sedap membaca al-Quran kepada mereka walau si pembaca itu kurang ilmunya berbanding yang lain (celaan kepada orang yang lebih mementingkan lagu al-Quran berbanding memahami, menghayati dan mengamalkan isinya) (Musnad Ahmad).

4) SUKA MEMUTUSKAN HUBUNGAN KELUARGA MENJADI SEBAB DOA TIDAK DIMAKBUL....

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ قَالَ يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ

Abu Hurayrah RA berkata Nabi SAW bersabda: “Doa seorang hamba akan diperkenan SELAGI DIA TIDAK BERDOA UNTUK SESUATU DOSA ATAU MEMUTUSKAN HUBUNGAN PERSAUDARAAN, (juga) selagi dia tidak minta doanya disegerakan.” Para sahabat bertanya: “Apa yang dimaksudkan dengan minta disegerakan?” Baginda menyambung: “(Apabila) seseorang itu berkata – Aku sudah (lama) berdoa tetapi aku rasa ia tidak diperkenankan untukku, lalu dia berputus asa (berhenti berdoa) dan meninggalkan (amalan) berdoa (Sahih Muslim).

5) SIKAP SUKA MEMUTUSKAN HUBUNGAN KELUARGA DIANCAM CEPATNYA AZAB DUNIA DAN AKHIRAT..

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِثْلُ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ

Abi Bakrah berkata Rasulullah SAW bersabda: “Tiada dosa YANG SELAYAKNYA DISEGERAKAN ALLAH HUKUMAN KEPADA PELAKUNYA DI DUNIA BERSAMA AZAB yang turut disediakan untuknya di akhirat azab, seperti dosa menceroboh (hak orang lain) dan MEMUTUSKAN HUBUNGAN PERSAUDARAAN” (Sunan Abu Dawud).

Ini cuma secebis kecil isi kuliah yang akan dibincangkan. Jumpa di sana untuk isi kuliah yang penuh...

- Abdullah Bukhari @ 26 Jun 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...