Sunday, June 17, 2018

BERHARI RAYA DENGAN TABIAT BERIMAN

BERHARI RAYA DENGAN TABIAT  BERIMAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Selama sebulan Ramadhan perut kita dilatih berpada-pada dengan makanan. Ia adalah cuti wajib tahunan yang Allah berikan kepada perut orang Islam kerana Allah tahu perut punca segala penyakit.

Setelah Syawwal menjelma, kejutan perut diredakan pula dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawwal. Oleh itu, dalam keghairahan berhari raya kita perlu jaga perut kita dan bersederhana dalam makan. Praktikkan arahan Allah ini:

يَا بَنِي آَدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Ertinya: Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), “DAN MAKANLAH SERTA MINUMLAH, DAN JANGAN PULA KAMU MELAMPAU; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA AKAN ORANG YANG MELAMPAUI BATAS” (al-A’raf 7:31).

Makan berlebih turut dicela Allah dalam ayat lain;

إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

Ertinya: Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) ORANG YANG KAFIR MENIKMATI KESENANGAN DI DUNIA SERTA MEREKA MAKAN MINUM SEBAGAIMANA BINATANG TERNAK MAKAN MINUM, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka  (Muhammad 47:12).

Berlebihan dalam mengisi tembolok perut bukan sahaja mengundang penyakit tetapi bukan sifat orang beriman sebagaimana kisah hadith ini:

عَنْ نَافِعٍ قَالَ كَانَ ابْنُ عُمَرَ  لَا يَأْكُلُ حَتَّى يُؤْتَى بِمِسْكِينٍ يَأْكُلُ مَعَهُ فَأَدْخَلْتُ رَجُلًا يَأْكُلُ مَعَهُ فَأَكَلَ كَثِيرًا فَقَالَ يَا نَافِعُ لَا تُدْخِلْ هَذَا عَلَيَّ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ

Ertinya: Nafi’ menceritakan bahawa Abdullah ibn ‘Umar RA tidak akan makan melainkan jika ada seorang miskin yang boleh menjadi temannya makan. Pada suatu hari aku (Nafi’) menjemput seorang lelaki (miskin) masuk makan bersamanya (Abdullah bin ‘Umar) lalu lelaki tersebut makan dengan banyak sekali. Melihat (buruknya sifat) lelaki tersebut, Abdullah berkata: Wahai Nafi’ janganlah dijemput dia ini makan bersamaku lagi (pada kali yang lain) kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ORANG BERIMAN MAKAN DALAM SATU HIDANGAN, MANAKALA ORANG KAFIR PULA MAKAN DALAM 7 (BANYAK) HIDANGAN” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Hari raya adalah hari ibadah kegembiraan untuk orang Islam. Sambutlah ia dengan sifat orang beriman. Jangan rosakkan ia dengan tabiat makan seperti manusia kebulur.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...