Tuesday, June 12, 2018

4 PANDANGAN TENTANG MALAM AL-QADAR

4 PANDANGAN TENTANG MALAM AL-QADAR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim (12 Jun 2018).

Pagi ini saya ingin berkongsi berkaitan Malam al-Qadar. Ini antara isi ceramah saya semalam (11 Jun 2018) di Dewan Sheikh Daud Fatoni, Masjid Besi Putrajaya.

1) Malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan. Ini berdasarkan sebuah hadith:

 تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Ertinya: Carilah Malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam terakhir bulan Ramadhan (Sahih al-Bukhari)

2) Qiyam sepanjang tahun. Ini berdasarkan pendapat Abdullah Ibn Mas’ud; sesiapa yang mendirikan malam (solat malam) selama setahun akan menemuinya (Sunan Abu Dawud). Pendapat ini sebenarnya ingin mendidik umat Islam agar beribadat secara konsisten bukan bermusim. Sekiranya beliau mengesahkan malam tertentu sudah pasti umat Islam akan meninggalkan ibadat pada malam lain. Tindakan ini akan menampakkan ketidak ikhlasan sesetengah manusia.

3) Malam ke 27 Ramadhan. Berdasarkan hadith:

زِرَّ بْنَ حُبَيْشٍ يَقُولُ سَأَلْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَخَاكَ ابْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ مَنْ يَقُمْ الْحَوْلَ يُصِبْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فَقَالَ رَحِمَهُ اللَّهُ أَرَادَ أَنْ لَا يَتَّكِلَ النَّاسُ أَمَا إِنَّهُ قَدْ عَلِمَ أَنَّهَا فِي رَمَضَانَ وَأَنَّهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وَأَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ ثُمَّ حَلَفَ لَا يَسْتَثْنِي أَنَّهَا لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ فَقُلْتُ بِأَيِّ شَيْءٍ تَقُولُ ذَلِكَ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ قَالَ بِالْعَلَامَةِ أَوْ بِالْآيَةِ الَّتِي أَخْبَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا تَطْلُعُ يَوْمَئِذٍ لَا شُعَاعَ لَهَا

Ertinya: Zirr bin Hubaisy berkata: Aku pernah tanya sesuatu kepada Ubay bin Ka’ab RA, “Sesungguhnya saudaramu Ibn Mas’ud berkata, sesiapa yang mendirikan (solat malam) selama setahun, pasti akan menemui Malam al-Qadr.” Ubay bin Ka’b berkata: “Semoga Allah merahmatinya, beliau bermaksud agar orang ramai tidak bersandar (pada malam tertentu untuk mendapatkan Malam al-Qadr) walaupun beliau tahu bahawa malam (al-Qadr) itu berlaku dalam bulan Ramadhan, pada 10 malam terakhir, (iaitu) pada malam yang ke 27”. Kemudian Ubay bin Ka’ab bersumpah tanpa menggunakan lafaz Insya-Allah bahawa malam itu adalah malam yang ke 27. Aku (Zirr) bertanya lagi: “Mengapa kamu sanggup berkata demikian, wahai Abu Al-Mundzir? (gelaran Ubay). Beliau menjawab: “Dengan petanda yang pernah Rasulullah beritahu kepada kami, aitu (matahari) terbit (pada pagi harinya) tanpa sinar (yang terik)” (Sahih Muslim).

Pandangan ini (27 Ramadhan) diteorikan secara lebih unik oleh sesetengah  ulama’ dengan pengiraan jumlah huruf pada perkataan (ليلة القدر: ل-ي- ل- ة – ا – ل – ق – د – ر). Perkataan itu terdiri daripada 9 huruf Arab. Dalam surah al-Qadar pula perkataan itu diulang sebut sebanyak 3 kali. Formulanya :9 (huruf bagi perkataan itu)  X 3 (ulangan dalam surah al-Qadar) = 27. Secara teorinya malam al-Qadar jatuh pada malam ke 27 Ramadhan setiap tahun(Tafsir al-Razi).

4) Cuma berlaku SEKALI SAHAJA dalam sejarah dunia (Tafsir al-Razi), iaitu ketika al-Quran diturunkan secara sekaligus dari langit ke 7 ke langit dunia sebelum baginda Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul di Gua Hira’.

Berdasarkan pendapat ini: Saranan nabi SAW supaya kita mencari malam al-Qadr pada 10 malam terakhir Ramadhan setiap tahun adalah sekadar untuk mengenang peristiwa turunnya al-Quran & menyatakan kesyukuran kita dengan pengutusan al-Quran.

HAMKA pernah menyebut pandangan ini ketika mentafsirkan surah al-Qadar:

"Heran dan kagumlah saya dengan orang tua saya, Syaikh Yusuf Amrullah yang wafat pada 11 Ramadhan 1392 (19 Oktober 1972), dalam usia 86 tahun, seketika saya menziarahi beliau pada 10 April 1972. Beliau menyatakan pendapatnya yang sesuai dengan pendapat Ulama yang disalinkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar tadi, bahwa Lailatul-Qadr yang sebenamya hanya sekali, yaitu ketika mula-mula al-Quran diturunkan. Yang kita perkuat berbuat ibadat di dalam bulan puasa menunggu Lailatul-Qadr itu ialah memperingati dan memuliakan malam Quran pertama turun itu. Kita kenangkan tiap tahun, agar kita bertambah teguh memegang segala yang dituntunkan Tuhan di dalam al-Quran" (Tafsir al-Azhar, tafsiran pada surah al-Qadr).

Walau apa pun pendapat para ulama tentang "TARIKH" malam al-Qadar, PANDANGAN PERTAMA paling kuat dan menenangkan jiwa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...