Thursday, May 31, 2018

TERAPI PESAKIT KOMA DALAM AL-QURAN?

TERAPI PESAKIT KOMA DALAM AL-QURAN?

Tadabbur ringkas juzuk 15 sempena hari ke 15 Ramadhan

Al-Quran bukan sebuah buku sains yang bertanggung jawab mengulas segala fakta saintifik. Ia adalah kitab panduan yang membimbing manusia untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah ayat al-Quran Allah menyentuh aspek saintifik secara tidak langsung dan halus bagi menyerlahkan kemukjizatannya sebagaimana isu rawatan pesakit koma dalam tulisan ini. Ketika menceritakan cara tidur 7 pemuda gua Allah berfirman:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Ertinya: Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami bolak-balikkan mereka (dalam tidur itu) ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri daripada mereka, dan tentulah engkau akan berasa sangat gerun takut kepada mereka (al-Kahf 18:18).

Pergerakan dan perubahan posisi dalam tidur adalah tindakan luar kawal manusia. Ia membantu melancarkan pergerakan darah dan mengekalkan kesihatan. Tidur statik tanpa pergerakan tidak baik untuk kesihatan. Ketika mengulas pergerakan tidur 7 pemuda tersebut,  Abdullah ibn ‘Abbas RA menjelaskan mereka digerakkan Allah secara semula jadi untuk memastikan tubuh mereka kekal selamat dan tidak dimakan oleh bumi (Tafsir al-Tabari).

Ketika mengajar ayat ini, seorang murid saya yang juga seorang Doktor perubatan Mej. Jen. Prof. Dato’ Dr. Zin bin Bidin (bekas dekan fakulti perubatan Universiti Pertahanan Nasional dan Vice-Chancellor Widad Kolej Universiti, Pahang) berkongsi maklumat tentang rawatan pesakit koma di hospital. Pesakit koma biasanya terdedah kepada berbagai komplikasi kesihatan yang menjejaskan fungsi tubuh badan mereka seperti pengecutan otot (atrophy), pengerasan sendi badan, jangkitan kudis pada bahagian belakang dan perjalanan darah yang tidak lancar. Sekiranya komplikasi ini tidak ditangani sewajarnya, para pesakit koma boleh mengalami lumpuh atau mati.

Bagi mengelakkan semua komplikasi tersebut, pihak Hospital biasanya akan membantu para pesakit koma dengan melakukan aktiviti pergerakan secara berskala setiap hari. Pihak hospital biasanya menggunakan mesin penggerak khusus yang dinamakan sebagai “passive movement machine”. Mesin ini datang dalam bentuk katil berenjin yang dikawal oleh computer. Tilam berangin atau “ripple mattress” juga digunakan untuk meransang gerakan pada tubuh pesakit koma. Rawatan ini sedikit sebanyak membantu para pesakit koma untuk mengekalkan tahap kesihatan fizikal mereka kerana mungkin pada suatu hari nanti mereka akan kembali sedar seperti orang normal yang lain.

Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Agung.

-Abdullah Bukhari @31 Mei 2018 -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...