Wednesday, May 16, 2018

KEBAHAGIAAN BERSAMA ORANG SURAU MASJID

KEBAHAGIAAN BERSAMA ORANG SURAU MASJID

Tenang dan bahagia sekali melihat orang surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B bersembang sesama mereka tentang ruang tambahan surau yang baru siap dibina. Ada yang mengukur jumlah jemaah bagi setiap saf. Ada pula berbincang tentang ruang kasut dan sebagainya.

Ruang ini bernilai 60K dan dibiayai dana surau dan waqaf per-kaki para jemaah. Insyaallah ruang ini akan digunakan dalam Ramadhan tahun ini. Saya pernah pesan kepada para murid saya tentang kelebihan orang surau:

"Bila anda berpindah ke tempat baharu, mula-mula sekali carilah surau atau masjid kerana para pengunjungnya adalah orang beriman. Bila teman dan jiran anda orang beriman, Insyaallah hidup anda di tempat itu diberkati Allah!"

Benar! Jemaah surau dan masjid adalah makhluk pilihan Allah. Bukan saya kata, tapi ia janji Allah dan Rasulullah SAW. Hayatilah hadith ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً يَطُوفُونَ فِي الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَنَادَوْا هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ قَالَ فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا قَالَ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ مِنْهُمْ مَا يَقُولُ عِبَادِي قَالُوا يَقُولُونَ يُسَبِّحُونَكَ وَيُكَبِّرُونَكَ وَيَحْمَدُونَكَ وَيُمَجِّدُونَكَ قَالَ فَيَقُولُ هَلْ رَأَوْنِي قَالَ فَيَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ مَا رَأَوْكَ قَالَ فَيَقُولُ وَكَيْفَ لَوْ رَأَوْنِي قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْكَ كَانُوا أَشَدَّ لَكَ عِبَادَةً وَأَشَدَّ لَكَ تَمْجِيدًا وَتَحْمِيدًا وَأَكْثَرَ لَكَ تَسْبِيحًا قَالَ يَقُولُ فَمَا يَسْأَلُونِي قَالَ يَسْأَلُونَكَ الْجَنَّةَ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ عَلَيْهَا حِرْصًا وَأَشَدَّ لَهَا طَلَبًا وَأَعْظَمَ فِيهَا رَغْبَةً قَالَ فَمِمَّ يَتَعَوَّذُونَ قَالَ يَقُولُونَ مِنْ النَّارِ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ مِنْهَا فِرَارًا وَأَشَدَّ لَهَا مَخَافَةً قَالَ فَيَقُولُ فَأُشْهِدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ قَالَ يَقُولُ مَلَكٌ مِنْ الْمَلَائِكَةِ فِيهِمْ فُلَانٌ لَيْسَ مِنْهُمْ إِنَّمَا جَاءَ لِحَاجَةٍ قَالَ هُمْ الْجُلَسَاءُ لَا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ

Abu Hurayrah RA berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: Allah mempunyai para malaikat yang tugasnya mengelilingi dunia mencari ahli zikir (orang yang menghadiri majlis ilmu, zikir dan sebagainya). Apabila menemuinya, para malaikat memanggil malaikat yang lain seraya berkata “Ayuhlah kamu semua memenuhi hajat kamu – menyertai majlis zikir.” Para malaikat itu kemudiannya berkerumun mengelilingi orang yang sedang berzikir itu dengan sayap mereka sehingga memenuhi antara mereka dan langit dunia (terdekat).

Allah kemudiannya bertanya kepada mereka, sedangkan Allah Maha Tahu perbuatan mereka - "Apa yang diminta oleh hamba-Ku (dalam majlis zikir tersebut?).”Para malaikat menjawab: “Mereka bertasbih, bertakbir, memuji dan mengangungkan-Mu.” Allah bertanya lagi: “Adakah mereka (mampu) melihat-Ku?” Para malaikat menjawab: “Demi Allah! Mereka tidak dapat melihat-Mu.” Allah bertanya: “Apa akan jadi jika mereka mampu melihat-Ku?” Para malaikat menjawab: “Sudah pasti mereka akan tambah banyak beribadat pada-Mu, mengagungkan-Mu, memuji-Mu dan bertasbih pada-Mu.”

Allah bertanya lagi: "Apa yang mereka mohon pada-Ku?" Malaikat menjawab: "Mereka memohon syurga." Allah bertanya: "Adakah mereka pernah melihat syurga-Ku?" Malaikat menjawab: "Tidak pernah.” Allah bertanya: "Apa akan jadi jika mereka dapat melihat syurga!" Malaikat menjawab: "Sudah pasti mereka akan bertambah keinginan mencapainya.”

Allah bertanya: “Apa yang mereka mohon perlindungan (dari-Ku)?” Malaikat menjawab: “Mereka memohon perlindungan-Mu dari azab neraka.” Allah bertanya: "Adakah mereka pernah melihat neraka?" Malaikat menjawab: "Tidak pernah.'" Allah bertanya: "Apa akan jadi jika mereka dapat melihat neraka!" Malaikat menjawab: "Sudah pasti mereka akan lari jauh daripadanya dalam ketakutan.”

Allah berfirman: “Aku jadikan kamu semua sebagai saksi bahawa Aku sudah ampunkan (dosa) mereka.” Satu malaikat berkata: “Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang datang bukan kerana niat berzikir, tetapi masuk bersama mereka kerana suatu tujuan lain.”  Allah berfirman:  “Mereka semua (Aku ampunkan) kerana orang yang duduk bersama mereka tidak akan ditimpa celaka (Sahih al-Bukhari).

Semua kita maklum bahawa masjlis zikir atau majlis ilmu biasanya berlangsung dalam surau atau masjid. Rupanya dalam diam, para malaikat turut berdamping dengan kaki surau dan masjid sebagaimana sabda Rasulullah SAW ini:

إن للمساجد أوتادا هم أوتادها ، لهم جلساء من الملائكة ، فإن غابوا سألوا عنهم ، وإن كانوا مرضى عادوهم ، وإن كانوا في حاجة أعانوهم .

Ertinya: Sesungguhnya bagi masjid itu ada "tiang serinya", mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (se-masjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka (Mustadrak al-Hakim).

Ayuh kita sertai kelab elit orang beriman ini. Semoga kita sentiasa dalam rahmat Allah.

- Abdullah Bukhari @ 15 Mei 2018  -

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...