Sunday, September 3, 2017

BAHAGI 3 DAGINGNYA

BAHAGI 3 DAGINGNYA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Insya-Allah pagi ini (2 Spetember 2017) pihak Surau Nur al-Syura, Bandar Baru Selayang akan mengadakan gotong royong korban. Ini adalah tahun pertama saya ikut sama gotong royong ini kerana tidak pulang ke kampong. Apabila berbicara tentang ibadah haji dan korban, antara rujukan paling lengkap berkaitannya adalah surah al-Hajj (surah ke 22). Jika kita tadabbur surah ini kita akan nampak secara umum hikmah dan hukum berkaitan Haji dan Korban. Antara intisari ringkas yang mampu kita ambil manafaat daripada surah ini adalah:

1) Daging korban perlu dibahagi kepada 3 kumpulan iaitu untuk dimakan sendiri, diberi kepada faqir miskin dan diberi kepada sesiapa yang kita mahu.

Makan sendiri dan berikan kepada faqir miskin;

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya: (Adanya ibadah haji dan korban) "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari yang tertentu, kerana kurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian MAKANLAH KAMU DARI (DAGING) BINATANG KORBAN ITU DAN BERILAH MAKAN KEPADA ORANG YANG SUSAH, YANG FAKIR MISKIN (al-Hajj [22:28]).

Makan sendiri dan berikan kepada orang yang meminta dan tidak meminta (tidak termasuk dalam golongan faqir miskin):

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Ertinya: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), MAKANLAH SEBAHAGIAN DARIPADANYA, DAN BERILAH (BAHAGIAN YANG LAIN) KEPADA ORANG YANG TIDAK MEMINTA DAN YANG MEMINTA. Demikianlah kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur (al-Hajj[22:36]).

Dalam kedua ayat di atas apa hikmahnya Allah seakan mengarahkan kita “TURUT MAKAN DARIPADA DAGING” yang kita korbankan? Menurut para ulama Tafsir ia bagi membezakan ibadah korban umat Islam dengan ibadah korban orang jahiliah yang mengharamkan empunya daging makan daripada korbannya.

2) Keikhlasan sangat penting dalam ibadah korban kerana taqwa yang sampai kepada Allah dan bukan dagingnya:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya: DAGING DAN DARAH BINATANG KORBAN ATAU HADIAH ITU TIDAK SEKALI-KALI AKAN SAMPAI KEPADA ALLAH, TETAPI YANG SAMPAI KEPADANYA IALAH AMAL YANG IKHLAS YANG BERDASARKAN TAQWA DARI KAMU. Demikianlah Dia memudahkan binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya (al-Hajj [22:37]).

Islam adalah agama yang sesuai dengan manusia. Ibadahnya diperolehi tuan sendiri di dunia dan di akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu dan perkongsian berkaitan Tadabbur al-Quran di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

https://www.facebook.com/Tadabbur-Centre-432946623753927/

Dapatkan buku penulis:

http://www.telagabiru.com.my/produk/buku/fail-sulit-mimpi

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...