Friday, June 16, 2017

PERANG BADAR SIRI 4: PENGLIBATAN MALAIKAT DAN NASIB ABU JAHAL

PERANG BADAR SIRI 4: PENGLIBATAN MALAIKAT DAN NASIB ABU JAHAL

Soalan: Saya pernah terbaca, para malaikat terlibat secara fizikal membantu tentera Muslimin dalam perang Badar. Adakah perkara ini benar?

Jawapan: Banyak Nass dan dalil menunjukkan memang para malaikat terlibat secara terus dalam perang Badar. Ada beberapa dalil yang menjurus kepada perkara ini, antaranya:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (123) إِذْ تَقُولُ لِلْمُؤْمِنِينَ أَلَنْ يَكْفِيَكُمْ أَنْ يُمِدَّكُمْ رَبُّكُمْ بِثَلَاثَةِ آَلَافٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُنْزَلِينَ (124)

Ertinya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?," (Ali ‘Imran[3:123-124]).

Juga firman Allah:

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ (9) وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَى وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (10)

Ertinya: (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Anfal [8:9-10]).

Ia juga disebut dalam beberapa hadith, antaranya:

فَقَتَلْنَا مِنْهُمْ سَبْعِينَ وَأَسَرْنَا سَبْعِينَ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ قَصِيرٌ بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَسِيرًا فَقَالَ الْعَبَّاسُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَذَا وَاللَّهِ مَا أَسَرَنِي لَقَدْ أَسَرَنِي رَجُلٌ أَجْلَحُ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ وَجْهًا عَلَى فَرَسٍ أَبْلَقَ مَا أُرَاهُ فِي الْقَوْمِ فَقَالَ الْأَنْصَارِيُّ أَنَا أَسَرْتُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اسْكُتْ فَقَدْ أَيَّدَكَ اللَّهُ تَعَالَى بِمَلَكٍ كَرِيمٍ

Ertinya: (Seorang sahabat berkata: Dalam perang Badar) Kami membunuh seramai 70 musuh dan menawan 70 yang lain. Lalu datanglah seorang lelaki Ansar yang agak rendah (fizikalnya) dengan al-‘Abbas bin ‘Abdul Mutalib sebagai tawanannya. Lalu al-‘Abbas berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah! Bukan dia ini yang menawanku tetapi aku ditawan oleh seorang yang sedikit rambutnya dan agak kacak wajahnya. Dia pula menunggang kuda berbintik hitam dan putih”….Lelaki Ansar itu berkata: “Aku yang menawannya Wahai Rasulullah!” Rasulullah berkata: “Senyaplah kerana Allah telah membantumu dengan kehadiran malaikat yang mulia” (Musnad Ahmad).

Soalan: Bagaimanakah nasib Abu Jahal dalam perang ini. Difahamkan dia memang menunggu saat perang ini bagi memusnahkan Islam secara tuntas?

Jawapan: Benar, Abu Jahal adalah manusia paling angkuh dan sangat teruja mahu memusnahkan umat Islam dalam perang ini. Bahkan sebelum bermulanya perang dia mengangkat tangan berdoa kepada Allah agar kemenangan diberikan kepada pihak yang paling benar:

اللَّهُمَّ أَقْطَعَنَا الرَّحِمَ وَآتَانَا بِمَا لَا نَعْرِفُهُ فَأَحْنِهِ الْغَدَاةَ

Ertinya: Ya Allah! Musnahkan nanti kumpulan mana antara kami yang paling kuat memutuskan hubungan keluarga dan paling banyak membawa ajaran yang tidak diketahui asalnya (Musnad Ahmad).

Berikutan doanya itu, Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam dan kisah doanya direkodkan al-Quran:

إِنْ تَسْتَفْتِحُوا فَقَدْ جَاءَكُمُ الْفَتْحُ وَإِنْ تَنْتَهُوا فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَعُودُوا نَعُدْ وَلَنْ تُغْنِيَ عَنْكُمْ فِئَتُكُمْ شَيْئًا وَلَوْ كَثُرَتْ وَأَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Jika kamu (hai orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad, s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang yang beriman (al-Anfal [8:19]).

Tambah malang, keangkuhan Abu Jahal tersungkur hina dibunuh hanya oleh 2 orang remaja Ansar yang bernama Mu’adh ibn ‘Amru ibn al-Jamuh dan Mu’adh atau Mu’awwidh ibn ‘Afra’ (Sahih Muslim). Perancangan Allah menamatkan nyawa nama besar Quraysh ini pada tangan 2 remaja sebenarnya suatu penghinaan yang sangat dahsyat. Umpamanya pasukan bola sepak tersohor dunia seperti “Chelsea” kalah teruk pada sebuah pasukan bola sepak kampong.

Sebuah riwayat menyebut ketika bangkai Abu Jahal ditemui, terdapat lebam besar sebesar tapak kasut pada belakangnya. Rasulullah mengatakan ia adalah kesan pukulan malaikat (Tafsir al-Tabari).  Ia disebut Allah dalam kisah perang Badar dalam surah al-Anfal:

وَلَوْ تَرَى إِذْ يَتَوَفَّى الَّذِينَ كَفَرُوا الْمَلَائِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَارَهُمْ وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ

Ertinya: Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): "Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar" (al-Anfal[8:50]).

Rujukan: Sirah Ibn Ishaq, Sirah Ibn Hisyam, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Rahiq al-Makhtum, al-Sirah al-Nabawiyyah Li al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah Li Muhammad Abu Syahbah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...