Friday, June 16, 2017

BINALAH UNTUK DATOK YUSOF DAN ISTERI SEBUAH MAHLIGAI SYURGA YANG DINAMAKAN "MAHLIGAI PUJIAN"

BINALAH UNTUK DATOK YUSOF DAN ISTERI SEBUAH MAHLIGAI SYURGA YANG DINAMAKAN “MAHLIGAI PUJIAN”

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Malam tadi (15 Jun 2017) ketika sampai Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk solat terawih saya terima berita sedih pemergian Mejar Yazmi anak Datok Yusof (bekas Pengerusi Masjid Ibn Sina). Mejar Yazmi meninggal dunia setelah pesawat HAWK 108 yang dipandunya jatuh terhempas pagi semalam di sempadan negeri Terengganu.

Datok Yusof lama mengaji Tafsir al-Quran dengan saya di Masjid Ibn Sina. Orangnya sangat baik dan sopan.

Saya tak sempat kenal rapat dengan al-Marhum Yazmi tapi selalu dengar Datok Yusof bercerita tentang anaknya. Nampak beliau sangat bangga dengan al-Marhum.

Sebagai seorang ayah, saya sangat memahami kesedihan Datok Yusof. Semoga berkat kesabaran beliau akan membuahkan sebuah istana pujian dalam syurga sebagaimana disebut kisah ini:

عَنْ أَبِي سِنَانٍ قَالَ
دَفَنْتُ ابْنِي سِنَانًا وَأَبُو طَلْحَةَ الْخَوْلَانِيُّ جَالِسٌ عَلَى شَفِيرِ الْقَبْرِ فَلَمَّا أَرَدْتُ الْخُرُوجَ أَخَذَ بِيَدِي فَقَالَ أَلَا أُبَشِّرُكَ يَا أَبَا سِنَانٍ قُلْتُ بَلَى فَقَالَ حَدَّثَنِي الضَّحَّاكُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَرْزَبٍ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ وَلَدُ الْعَبْدِ قَالَ اللَّهُ لِمَلَائِكَتِهِ قَبَضْتُمْ وَلَدَ عَبْدِي فَيَقُولُونَ نَعَمْ فَيَقُولُ قَبَضْتُمْ ثَمَرَةَ فُؤَادِهِ فَيَقُولُونَ نَعَمْ فَيَقُولُ مَاذَا قَالَ عَبْدِي فَيَقُولُونَ حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ فَيَقُولُ اللَّهُ ابْنُوا لِعَبْدِي بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَسَمُّوهُ بَيْتَ الْحَمْدِ

Ertinya: Abu Sinan berkata: Abu mengkebumikan anakku (Sinan) sedang Abu Talhah al-Khawlani duduk di tepi kubur. Apabila aku mahu keluar dari liang kubur, beliau memegang tanganku seraya berkata: Mahukah aku khabarkan padamu berita gembira Wahai Abu Sinan? Aku menjawab: Ya! Abu Talhah kemudiannya berkata: al-Dhahhak … meriwayatkan bahawa Abu Musa al-‘Asy’ari berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila anak seorang hambaNya meninggal, Allah berkata kepada malaikatNya: Kamu telah mencabut nyawa anak hambaKu, Malaikat mejawab: Ya! Allah berkata lagi: Kamu mencabut nyawa buah hatinya. Malaikat menjawab: Ya! Allah bertanya: Apakah kata hambaKu? Malaikat menjawab: Dia tetap MEMUJIMU dan mengucapkan lafaz ISTIRJA’. Allah lalu berfirman: BINAKAN UNTUK HAMBAKU INI SEBUAH RUMAH DALAM SYURGA DAN NAMAKAN IA “RUMAH PUJIAN”. (Sunan al-Tirmidhi & Musnad Ahmad).

Hadith ini bukanlah menunjukkan malaikat yang berkuasa mencabut nyawa hamba Allah atau Allah tidak mengetahui perihal hambaNya, tetapi bermaksud mengketengahkan suatu isu yang besar iaitu kelebihan sabar. Gaya bahasa pertanyaan dalam hadith adalah antara beberapa cara pengajaran berkesan kerana perhatian manusia lebih terfokus kepada soalan yang diajukan.

Semoga kisah ini bakal meneguhkan jiwa mana-mana orang yang ditimpa musibah kehilangan anak atau ahli keluarga.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/06/15/najib-takziah/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...