Sunday, February 19, 2017

TABOO AGAMA BERKAITAN DERMA ORGAN?

TABOO AGAMA BERKAITAN DERMA ORGAN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Pagi ini (Sabtu, 18 Ferbuari 2017) berpeluang menjadi panelis dalam Forum Antara Agama sempena Program “ORGAN FOR LIFE” anjuran University of Malaya Medical Society dan Pusat Transplan Nasional Bertempat di Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Forum ini bertujuan merungkai pandangan agama yang berbeza berkaitan hukum Derma Organ. Saya mewakili agama Islam bersama 3 lagi wakil agama lain iaitu, Kristian, Hindu dn Budha.

Beberapa soalan wajib yang diajukan kepada setiap panelis adalah:

1) Religious point of view on organ donation

2) Religious taboo regarding organ donation

3) Inter-religious organ donation

4) Is donating organ is good deeds, whereby it affects your after-life?

5) What’s your message to the audience regarding organ donation?

Soalan yang sangat menarik perhatian adalah RELIGIOUS TABOO REGARDING ORGAN DONATION. TIADA! Itu jawapan saya. Banyak orang Islam yang tidak mengetahui kemuliaan derma organ bertanya ADAKAH PENDERMA ORGAN AKAN MENANGGUNG DOSA PENERIMA selepas dia kembali sihat. Berikut adalah beberapa isi jawapan saya:

Kita tidak menanggung dosa orang lain. Ini dalilnya:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Ertinya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain (al-An’am[6:164], al-Isra’[17:15] dan Fatir[35:18]).

Juga sebuah hadith:

قَالَ رَجُلٌ لَأَتَصَدَّقَنَّ اللَّيْلَةَ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ زَانِيَةٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى غَنِيٍّ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ وَعَلَى سَارِقٍ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ فَقَدْ قُبِلَتْ أَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا تَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ زِنَاهَا وَلَعَلَّ الْغَنِيَّ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ وَلَعَلَّ السَّارِقَ يَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ سَرِقَتِهِ

Ertinya: Seorang lelaki (dari Bani Isra’il) berkata, “Malam ini aku akan bersedekah.'' Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang penzina. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang penzina. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina. Lelaki tersebut berkata lagi: “Malam ini aku akan bersedekah lagi.''

Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang kaya. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang kaya. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang kaya. Lelaki tersebut berkata lagi: “Malam ini aku akan bersedekah lagi.''

Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang pencuri. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang pencuri. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina, seorang kaya dan seorang pencuri. Kemudiannya, seseorang datang kepadanya (dalam mimpinya) dan berkata, “SEMUA SEDEKAH YANG ENGKAU BERIKAN SUDAH DITERIMA (ALLAH). BERKENAAN SI PENZINA, SEDEKAHMU ITU MUNGKIN BAKAL MENGHALANGNYA DARI TERUS BERZINA. BERKENAAN SI KAYA, SEDEKAHMU ITU MUNGKIN BAKAL MENYEDARKANNYA SERTA MENDORONGNYA AGAR MEMBELANJAKAN HARTANYA PADA JALAN ALLAH. BERKENAAN SI PENCURI, SEDEKAHMU ITU MUNGKIN BAKAL MENGHALANGNYA DARI TERUS MENCURI (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).

Pada akhir forum, apabila moderator bertanya apakah pesanan anda kepada orang awam berkaitan derma organ, ini jawapan saya:

“SUDAH SAMPAI MASANYA KITA MELUASKAN SKOP DERMA DAN SEDEKAH. Ia tidak sepatutnya dibataskan kepada derma wang ringgit atau barangan sahaja. Organ pada tubuh yang paling disayangi seseorang individu sepatutnya dimasukkan dalam senarai BARANGAN DERMA yang boleh dikempen sebagai alat sedekah yang berkesan dan mampu memberikan kehidupan atau nyawa kepada orang lain. Anggota badan atau organ adalah harta yang paling kita sayangi. Menderma organ sangat menjiwai firman Allah ini:

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (Ali ‘Imran[3:92]).

Semoga penglibatan orang agama dalam program sebegini mampu memberikan impak positif kepada keindahan Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...