Wednesday, January 11, 2017

BUAT BAIK PADA ANJING JIRAN

BUAT BAIK PADA ANJING JIRAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ustaz! Patut pun saya lihat Browny tak salak Ustaz! Rupanya Ustaz beri dia makan!”

Jiran India saya Venie menyatakan rasa hairannya berikutan anjingnya bersikap baik pada saya sekeluarga. Kisahnya, anjing bernama Browny itu dibeli oleh Gunalan (suami Venie) sebagai hadiah hari jadi anaknya Jishnu. Anjing mereka bertambat kemas dan dijaga rapi dalam pagar rumah mereka. Ketika mula sampai, anak anjing ini agak agresif menyalak semua yang asing termasuk kami sekeluarga. Lalu pada suatu hari saya menghulurkan beberapa keping keropok lekor padanya melalui pagar rumahnya. Selepas itu, Browny seakan mengiktiraf status jiran antara kami. Saya juga selalu ingat kepada Browny apabila membeli keropok lekor dari gerai depan surau kami.

Rupanya sikap terbuka dengan anjingnya menjadikan hubungan kejiranan antara saya dan keluarga India sebelah rumah saya ini semakin baik. Sungguh! Anjing adalah teknologi Allah yang sangat unik. Kehadirannya menjadikan rumah kami lebih selamat. Apa kata al-Quran dan Hadith tentang isu anjing? Mudahnya, Allah tidak mencipta sesuatu tanpa sebab musabab. Semuanya ada manafaat untuk manusia sebagai khalifah di bumi.

1) Dalam kisah 7 pemuda yang tidur dalam gua selama 3 kurun, Allah menyebut fungsi anjing penjaga mereka yang setia berjaga di pintu gua:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ

Ertinya: Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; SEDANG ANJING MEREKA menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua (al-Kahf[18:18]).

2) Al-Quran juga mengiktiraf kegunaan anjing sebagai binatang buruan asal sahaja ia dilatih secukupnya:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Ertinya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya" (al-Ma’idah[5:4]).

3) Seorang wanita pelacur diampun Allah kerana berbuat baik kepada anjing:

بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ

Ertinya: (Pada suatu hari) seekor anjing terjelir lidahnya kerana kehausan yang hampir membunuhnya. (Kelakuan si anjing diperhatikan) seorang pelacur Bani Isra’il. Pelacur itu pun menanggalkan kasutnya lalu menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Sahih al-Bukhari).

Alhamdulillah! Kami sekeluarga mempunyai hubungan baik dengan jiran India kami ini. Saya cuba meluaskan skop berbuat baik kepada jiran dengan menjadikan anjing peliharaan mereka sebagai jiran saya yang berhak mendapat belas kasihan dan penghormatan seorang Muslim. Semoga sikap ini menjadikan Islam semakin indah pada mata jiran saya ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...