Monday, December 26, 2016

PENGHAYATAN INTEGRITI MELALUI SUNNAH RASULULLAH SAW

PENGHAYATAN INTEGRITI MELALUI SUNNAH RASULULLAH SAW

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sedutan beberapa isi dalam ceramah bertajuk “PENGHAYATAN INTEGRITI MELALUI SUNNAH RASULULLAH SAW” bersempena sambutan minggu Integriti di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada Khamis, 22 Disember 2016.

“Bukan billion, bukan juta atau ribu nilainya! Ia sekadar sehelai kain kecil, namun ia menjadi sebab Mid'am (seorang hamba yang dihadiahkan kepada Rasulullah SAW) rentung di bakar dalam neraka.”

Kisahnya, selepas perang Khaybar, Rasulullah SAW menuju ke Wadi al-Qura untuk berhadapan sekumpulan Yahudi yang masih bersembunyi di situ. Mid’am yang berjalan di hadapan tunggangan Rasulullah SAW ditembak mati oleh sebatang anak panah sesat. Para sahabat yang melihat peristiwa itu menganggap Mid’am sungguh beruntung kerana gugur syahid pada jalan Allah. Baginda lantas menafikannya:

بَلْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ الَّتِي أَصَابَهَا يَوْمَ خَيْبَرَ مِنْ الْمَغَانِمِ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ نَارًا فَجَاءَ رَجُلٌ حِينَ سَمِعَ ذَلِكَ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِرَاكٍ أَوْ بِشِرَاكَيْنِ فَقَالَ هَذَا شَيْءٌ كُنْتُ أَصَبْتُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شِرَاكٌ أَوْ شِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ

Ertinya: Tidak sama sekali. Demi yang jiwaku berada pada tangan (KuasaNya), sesungguhnya KAIN SELIMUT YANG DIA GELAPKAN DARI PERANG KHAYBAR YANG BELUM DIMASUKKAN KE DALAM BAHAGIAN PEMBAHAGIAN (HARTA KHAYBAR) AKAN MENJADI (SEBAB) NYALAAN API (NERAKA TERHADAPNYA).  Setelah mendengar sabda Rasulullah itu, seorang lelaki datang membawa sebatang atau 2 batang kayu (penutup bahagian hadapan selipar) kepada Rasulullah SAW seraya mengaku: “Ini adalah bahagian (rampasan) yang aku perolehi (dari perang Khaybar dan aku tidak isytiharkannya).” Rasulullah SAW menyambung: “(Ini juga) sebatang atau 2 batang kayu (penutup bahagian hadapan selipar) dari neraka (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Perkataan integriti bunyinya ringan pada lidah tapi sangat berat pada tindakan dan penghayatan. Teguh atau runtuhnya perlaksanaan integriti berasal dari seketul daging dalam tubuh manusia sebagaimana kiasan Rasulullah SAW:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Ertinya: Ketahuilah bahawa dalam tubuh ada seketul daging, apabila ia elok maka eloklah keseluruhan tubuh. Jika ia rosak maka rosaklah keseluruhan tubuh. Ketahuilah ia adalah hati (jantung) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Walaupun hati jantung manusia melekat erat pada tubuhnya, ia adalah milik mutlak Allah. Dia tahu apa yang terbaik untuk manusia. Umpamanya seorang jurutera pencipta sebuah mesin pastinya paling tahu cara terbaik untuk menjaga mesin ciptaannya. Oleh itu, demi menjamin kesucian hati jantung itu, manusia wajib menurut kehendak Pemilik asal si hati jantung:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, SAHUT DAN SAMBUTLAH SERUAN ALLAH DAN SERUAN RASULNYA APABILA KEDUANYA MENYERU KAMU KEPADA PERKARA YANG MENJADIKAN KAMU HIDUP SEMPURNA; dan ketahuilah bahawa SESUNGGUHNYA ALLAH BERKUASA MENGUBAH ATAU MENYEKAT ANTARA SESEORANG ITU DENGAN (PEKERJAAN) HATINYA, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan (al-Anfal 8:24]).

Rasulullah SAW adalah lambang integriti sebenar. Baginda SAW diutus dengan tujuan menyucikan manusia dari kerosakan jiwa dan akidah. Inilah intisari utama perjuangan sebuah gagasan integriti:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Ertinya: Dia lah yang mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang buta huruf, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), DAN MEMBERSIHKAN MEREKA (DARI AKHLAK DAN IKTIQAD YANG SESAT), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata (al-Jumu’ah[62:2]).

Sebelum manusia moden berbicara tentang kepentingan integriti, Rasulullah SAW sudah lama menanam aspek integriti sebagai roh dalam jiwa orang beriman. Ayuh kita perhatikan beberapa contoh integriti yang dijiwai Rasulullah:

- LARANGAN MENGGUNAKAN KEDUDUKAN UNTUK MENGAUT UNTUNG PERIBADI

عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ اسْتَعْمَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا مِنْ الْأَزْدِ عَلَى صَدَقَاتِ بَنِي سُلَيْمٍ يُدْعَى ابْنَ الْأُتْبِيَّةِ فَلَمَّا جَاءَ حَاسَبَهُ قَالَ هَذَا مَالُكُمْ وَهَذَا هَدِيَّةٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَهَلَّا جَلَسْتَ فِي بَيْتِ أَبِيكَ وَأُمِّكَ حَتَّى تَأْتِيَكَ هَدِيَّتُكَ إِنْ كُنْتَ صَادِقًا ثُمَّ خَطَبَنَا فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنِّي أَسْتَعْمِلُ الرَّجُلَ مِنْكُمْ عَلَى الْعَمَلِ مِمَّا وَلَّانِي اللَّهُ فَيَأْتِي فَيَقُولُ هَذَا مَالُكُمْ وَهَذَا هَدِيَّةٌ أُهْدِيَتْ لِي أَفَلَا جَلَسَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ وَأُمِّهِ حَتَّى تَأْتِيَهُ هَدِيَّتُهُ إِنْ كَانَ صَادِقًا وَاللَّهِ لَا يَأْخُذُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ إِلَّا لَقِيَ اللَّهَ تَعَالَى يَحْمِلُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya: Dari Abu Humayd As Sa'idi RA: Rasulullah SAW melantik seorang lelaki bernama Ibn al-Utbiyyah untuk mengutip zakat Bani Sulaym. Ketika mengumpulkan zakat yang dipungutnya, dia berkata kepada Rasulullah SAW: "INI ZAKAT UNTUK KAMU DAN INI PULA HADIAH (PEMBERIAN) ORANG KEPADAKU." Rasulullah menempelaknya:
“MENGAPA ENGKAU TIDAK DUDUK SAJA DI RUMAH IBU BAPAMU MENUNGGU ORANG MENGHANTARKAN HADIAH PADAMU, JIKA KAMU BENAR (DIBERI HADIAH)?
Sesudah itu Rasulullah SAW berpidato. (Selepas memuji Allah, baginda bersabda): "Ada seorang petugas yang aku tugaskan memungut zakat, lalu dia berkata, "INI ZAKAT UNTUK KAMU, DAN INI PEMBERIAN ORANG KEPADAKU. MENGAPA DIA TIDAK DUDUK SAJA DI RUMAH IBU BAPANYA MENUNGGU ORANG MENGANTARKAN HADIAH KEPADANYA? DEMI ALLAH! TIADA SEORANG PUN ANTARA KALIAN YANG MENGAMBIL SECARA TIDAK SAH SESUATU HARTA, MELAINKAN AKAN MEMIKUL DOSANYA PADA HARI KIAMAT KELAK (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

- TELITI HAK ORANG SEBELUM MENGAMBIL

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنِّي لَأَنْقَلِبُ إِلَى أَهْلِي فَأَجِدُ التَّمْرَةَ سَاقِطَةً عَلَى فِرَاشِي فَأَرْفَعُهَا لِآكُلَهَا ثُمَّ أَخْشَى أَنْ تَكُونَ صَدَقَةً فَأُلْقِيهَا

Ertinya: Abu Hurayrah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “(Pada suatu hari) aku pulang ke rumah keluargaku, lalu aku dapati sebiji buah kurma jatuh atas tempat tidurku. Aku mahu makan, kemudian aku takut ianya adalah kurma sedekah (hak awam, tambahan baginda haram menerima sedekah) maka segera aku buangnya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

- LARANGAN MENGAMBIL WANG KHIANAT

مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

Ertinya: Sesiapa yang kami amanahkan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, lalu kami upahnya dengan sejenis upah (bayaran atau gaji), maka apa sahaja yang diambilnya selepas (pekerjaan bergaji) itu adalah wang khianat (Sunan Abu Dawud).

Setelah diteliti dari kebanyakan masalah integriti, saya dapati kegilaan melampau kepada dunia menjadi sebab manusia sanggup menelan yang haram. Dunia ini cuma satu persinggahan dan bukan matlamat hidup. Jadikan kisah Rasulullah SAW ini sebagai pedoman:

نَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حَصِيرٍ فَقَامَ وَقَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ اتَّخَذْنَا لَكَ وِطَاءً فَقَالَ مَا لِي وَمَا لِلدُّنْيَا مَا أَنَا فِي الدُّنْيَا إِلَّا كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا

Ertinya: Pada suatu hari Rasulullah SAW tidur atas tikar. Baginda bangun dengan kesan tikar melekat pada rusuk baginda. Setelah itu kami (para sahabat) berkata: “Jika kamu mahu kami boleh berikan kamu alas tidur yang lebih baik.” Baginda lalu berkata: “Tiadalah (bandingan) aku dengan kehidupan di dunia ini melainkan seperti seorang penunggang kuda (dalam sebuah musafir) yang berhenti berteduh seketika di bawah pokok. (Selepas beberapa ketika) penunggang itu berlalu pergi dan meninggalkannya (Sunan al-Tirmidhi).

Selain itu, masalah integriti juga berkait rapat dengan kepimpinan. Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik. Jika ayah kencing berdiri maka anak akan kencing berlari. Bagi menangani masalah berantai dalam isu integriti, marilah kita hayati kisah Khalifah ‘Umar bin al-Khattab dengan Sayydina ‘Ali bn Abi Talib RA ini:

أن عمر لما نظر إلى ذلك قال إن قوما أدوا هذا لامناء ,فقال له علي بن أبي طالب: إنك عففت فعفت رعيتك، ولو رتعت لرتعت.

Ertinya: Setelah Khalifah ‘Umar melihat harta rampasan perang Kisra Farsi (yang dibawa pulang oleh tentera Muslimin berada dalam jumlah yang banyak tanpa hilang walau sedikit pun) beliau berkata “Sesungguhnya kaum yang membawa harta ini sangat amanah.” Ali pun menjawab: “SESUNGGUHNYA ENGKAU WAHAI AMIR AL-MU’MININ ADALAH SEORANG YANG MENJAGA AMANAH, MAKA RAKYATMU TURUT AMANAH. JIKA ENGKAU ROSAK (TIDAK AMANAH) MAKA RAKYATMU JUGA PASTI TURUT ROSAK” (Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Sungguh! Penghayatan integriti adalah tindakan manusia cerdik. Cerdiknya menembus sampai alam akhirat. Apa gunanya “BUNCIT MEMBUSUNG” makan harta haram di dunia jika jiwa tidak tenteram mengintai pihak berkuasa yang mungkin datang menggari. Sudahlah resah di dunia, derita pula di akhirat. Sebagai amaran dan motivasi akhir nota Tafsir ini, hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ

Ertinya: Pada hari kiamat, dibawakan orang kafir yang paling hebat ni’matnya di dunia (kaya) lalu dicelupnya dalam dengan celupan neraka sahaja, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat satu kebaikan dan merasa kesenangan (segala kemewahanmu di dunia dahulu)? Lalu si kafir menjawab: Tidak sama sekali wahai Tuhanku. Kemudiannya dibawakan pula ahli syurga yang paling susah hidupnya di dunia dahulu, lalu dicelupkan padanya satu celupan (sahaja) ke dalam ni’mat syurga, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat kesusahan dan adakah kamu merasakan kepayahan (kerana mematuhi arahan Allah semasa di dunia dahulu)? Lalu dijawabnya: Demi Allah wahai Tuhanku, tidak pernah aku rasakan kesusahan atau kepayahan sama sekali (Sahih Muslim & Musnad Ahmad).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...