Sunday, December 25, 2016

DATANGLAH SOLAT BERJEMAAH DAN JANGAN JADI KURANG CERDIK!

DATANGLAH SOLAT BERJEMAAH DAN JANGAN JADI KURANG CERDIK!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

"Sungguh manusia ni pelupa, pemalas dan tidak tahu bersyukur.  Masjid surau dekat sahaja dari rumah, badan pula sihat segar bugar tapi malas datang berjemaah. Apakah nak tunggu sakit terlentang tak mampu bergerak baru nak minta diusung untuk solat berjemaah?"

Keluhan bapa mentua saya tengahari  ini (24 Disember 2016) sangat benar. Semua maklum bahawa ganjaran solat jemaah 27 kali ganda mengatasi solat bersendirian, namun mengapa ia tetap menjadi tabiat segelintir orang sahaja? Sabda Rasulullah SAW:

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Ertinya: "Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda" (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Mudahnya saya katakan solat jemaah di surau masjid adalah tabiat "MANUSIA ELIT YANG BIJAK" sahaja. Kenapa elit dan bijak? Tidak lain kerana ia tabiat Rasulullah SAW dan para sahabat. Bijak pula kerana mereka tahu menilai mana yang lebih banyak antara 27 dan 1.

Jika ditukar nilai pahala kepada NILAI RINGGIT, manusia yang menolak RM 27 kerana mahu mengambil hanya RM 1 memang sangat TIDAK CERDIK. Sungguh malang orang sebegini, semoga kita dijauhkan Allah dari memiliki pemikiran kurang cerdik sebegini.

Apakah kita mahu tunggu kesihatan ditarik baru nak menitiskan air mata kerana MALAS BERJEMAAH ketika sihat?

Apakah kita mahu tunggu diancam bunuh seperti kisah Bani Isra'il baru mahu datang berjemaah? Walaupun gawat diburu Fir’awn, Allah tetap mengarahkan mereka solat secara berjemaah:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّآَ لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (87)

Ertinya: Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, DAN JADIKANLAH RUMAH KAMU TEMPAT SEMBAHYANG, SERTA DIRIKANLAH SEMBAHYANG (SECARA BERJEMAAH) DI DALAMNYA; DAN SAMPAIKANLAH BERITA GEMBIRA KEPADA ORANG YANG BERIMAN (BAHAWA MEREKA AKAN DISELAMATKAN DARI KEZALIMAN FIRAUN DAN KAUMNYA)" (Yunus [10:87]).

Menurut Abdullah Ibn ‘Abbas, setelah Bani Isra’il dihalang solat berjemaah secara terbuka dan diancam bunuh oleh Fir’awn, Allah tetap mengarahkan mereka solat berjemaah secara tertutup dalam rumah mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Bukan setakat itu, Rasulullah SAW dan para sahabatnya tetap diarahkan solat berjemaah ketika gawat berhadapan dengan pihak musuh:

وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِنْ وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ...

Ertinya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada bersama mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersamamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersamamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing…. (al-Nisa’ [4:102]).

Aduhai! Jika semasa gawat berhadapan musuh pun, Allah mengarahkan baginda solat berjemaah, maka bayangkan bagaimanakah hukum solat berjemaah ketika aman sentosa? Oleh kerana itu, sebahagian ulama mengatakan “SOLAT BERJEMAAH ITU WAJIB” berdasarkan arahan Allah dalam ayat ini.

Dalam sebuah hadith disebut permintaan seorang sahabat nabi yang buta agar tidak perlu ke masjid berjemaah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ فَرَخَّصَ لَهُ فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ فَقَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَأَجِبْ

Ertinya: Abu Hurayrah menceritakan seorang lelaki buta datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah SAW, tiada siapa yang boleh membawaku ke masjid (untuk solat berjemaah).”

Beliau kemudiannya meminta agar diberi kelonggaran untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Rasulullah SAW membenarkannya, namun setelah beliau berpaling mahu pulang Rasulullah memanggilnya dan bertanya: “Adakah kamu mendengar laungan azan?”

Beliau menjawab: “Ya!” Rasulullah kemudiannya berkata: “Maka hendaklah kamu menyahut seruan itu (dan datang solat berjemaah)” (Sahih Muslim).

Hadith ini dibincangkan oleh para ulama dengan kesimpulan orang uzur seperti si buta dalam hadith ini diberikan kelonggaran untuk tidak berjemaah di Masjid. Pun begitu, Rasulullah masih memintanya datang berjemaah. ALHAMDULILLAH! KITA BELUM BUTA! !!!.

Mari pula kita ikuti kisah seorang remaja yang buta dari United Kingdom. Namanya Mahomed Khatri. Walaupun buta, beliau tetap datang solat berjemaah di Masjid dengan ditemani anjingnya yang bernama Vargo.

Kesungguhannya datang solat berjemaah mendorong pihak masjid untuk menyediakan sangkar khusus untuk anjingnya. Kisahnya boleh ditonton di sini:

https://www.youtube.com/watch?v=GPX-74-KRdc

Subhanallah! Alangkah malunya sesetengah kita yang celik mata zahir, tapi rabun atau BUTA mata hati kerana malas datang solat berjemaah ke Masjid.

Solat berjemaah adalah syiar atau lambang kemuliaan Islam. Kalau bukan kita yang menegakkan syiar ini siapa lagi? Saya pasti negara kita belum berperang. Kita juga tidak diancam bunuh seperti Bani Isra’il. Kita juga belum buta mata sehingga perlu dipimpin si anjing ke Masjid.

Bagi bapa-bapa di luar sana, didiklah DIRI SENDIRI dan anak-anak anda solat berjemaah kerana ia adalah tunas sebuah keluarga yang soleh lagi bahagia di dunia dan akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...