Sunday, October 9, 2016

PUASA SEMPENA HARI MATI FIRAUN?

PUASA SEMPENA HARI MATI FIRAUN?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Dalam solat Isyak malam ini (9 Oktober 2016) di Surau Nur al-Syura, saya sengaja memilih untuk membaca ayat 88 sehingga 92 surah Yunus. Mengapa? Tidak lain, ia bagi mengingatkan para Jemaah berkaitan “SUNNAH BERPUASA PADA 9 DAN 10 MUHARRAM IAITU ESOK DAN LUSA  (10 & 11 OKTOBER 2016).” Firman Allah:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آَمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آَمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ (90) آَلْآَنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ (91)

Ertinya: Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang yang melakukan kerosakan? (Yunus [10:90-91]).

Kematian musuh Allah bernama Fir’awn ini sangat besar impaknya kepada perjuangan nabi Musa AS dan Bani Isra’il. Berikutan itu, mereka meraikannya dengan ibadat puasa. Ketika mentafsirkan ayat ini para ulama Tafsir biasanya akan membawakan sebuah hadith:

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Ertinya: Daripada Abdullah ibn ‘Abbas RA menyebut ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram). Rasulullah SAW lalu bertanya: “Apakah (kelebihan) hari ini?” Orang Yahudi menjawab: “Ini adalah hari yang baik, kerana inilah hari Allah menyelamatkan Bani Isra’il daripada musuh mereka, maka nabi Musa AS berpuasa pada hari tersebut”. Rasulullah SAW lalu bersabda: “Aku (orang Islam) lebih berhak untuk menghargai Musa berbanding mereka (orang Yahudi).” Maka Rasulullah berpuasa pada hari tersebut dan baginda juga menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).

Dalam sebuah hadith lain disebut:

حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ertinya: Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ke 10 Muharram, para sahabat berkata: Wahai Rasulullah ia adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani! Baginda SAW bersabda: “Jika tiba tahun hadapan (dan aku masih hidup), dengan izin Allah kita akan bepruasa pada hari ke 9 juga (untuk bezakan amalan Muslim dan Ahli Kitab). Rasulullah SAW wafat sebelum tiba tahun berikutnya (Sahih Muslim).

Pengajaran utama bagi kita, “BERPUASALAH PADA KEDUA HARI ITU” kerana mengikut saranan dan Sunnah Rasulullah SAW. Raikan ia juga sebagai hari kemenangan yang benar mengatasi yang batil dan hari kematian insan jahat yang namanya membusuk sampai kiamat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...