Sunday, August 28, 2016

AKU KAYA KERANA AKU PANDAI

AKU KAYA KERANA AKU PANDAI
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Zumar [39:49-50]) pada 26 Ogos 2016. Antara isunya adalah kesombongan manusia yang menyangka kelebihan yang mereka miliki kerana kepandaian mereka dan bukan pinjaman ujian dari Allah.

Dasar makhluk tak sedar diri! Itulah ungkapan paling sesuai yang patut dilastik tepat ke batang hidung manusia sombong yang berasa segala kelebihan yang diperolehinya berpunca dari kepandaian diri sendiri. Kisah manusia yang terlebih yakin dengan kemampuan diri sehingga lupa ianya barang pinjaman Allah disentap keras dalam firman Allah:

فَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (49) قَدْ قَالَهَا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَمَا أَغْنَى عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (50)

Ertinya: Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu ni’mat (sebagai kurnia) dari Kami, dia berkata (dengan sombongnya): "AKU DIBERIKAN NIKMAT INI HANYALAH KERANA PENGETAHUAN DAN KEPANDAIAN YANG ADA PADAKU". (TIDAKLAH BENAR APA YANG DIKATAKANNYA ITU) BAHKAN PEMBERIAN NIKMAT YANG TERSEBUT ADALAH UJIAN (ADAKAH DIA BERSYUKUR ATAU SEBALIKNYA), AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT ITU). Sebenarnya orang yang terdahulu sebelum mereka pernah mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah) (al-Zumar [39:49-50]).

Hakikat kesenangan dan kemewahan adalah suatu ujian dari Allah sukar dilihat oleh manusia sombong. Siapa agaknya orang terdahulu yang pernah berlagak sombong mengatakan “aku hebat dan kaya kerana aku pandai?” Antara manusia yang Allah maksudkan adalah Qarun. Lihat ayatnya dalam ayat ini, sama dengan “frasa perasan” dalam ayat terdahulu:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِنْدِي أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِنْ قَبْلِهِ مِنَ الْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا وَلَا يُسْأَلُ عَنْ ذُنُوبِهِمُ الْمُجْرِمُونَ

Ertinya: (Walaupun dinasihati) Qarun menjawab (dengan sombong): "AKU DIBERIKAN HARTA KEKAYAAN INI HANYALAH DISEBABKAN PENGETAHUAN DAN KEPANDAIAN YANG ADA PADAKU". (KALAULAH QARUN BIJAK PANDAI) TIDAKKAH DIA MENGETAHUI DAN PANDAI MEMAHAMI, BAHAWA ALLAH TELAH MEMBINASAKAN SEBELUMNYA, DARI UMAT YANG TELAH LALU, ORANG YANG LEBIH KUAT DARIPADANYA DAN LEBIH BANYAK MENGUMPULKAN HARTA KEKAYAAN? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya) (al-Qasas [28:78]).

Pengajaran untuk kita, jangan mendabik dada dengan sedikit kepandaian yang Allah pinjamkan. Jika Allah mahu, boleh sahaja pinjamanNya itu ditarik dengan berbagai cara. Lihat sepanjang sejarah, berapa banyak orang kaya yang akhirnya jatuh tersungkur menjadi papa kedana. Berapa banyak manusia berpangkat yang ketika pangkat melekat di badan dimuliakan mengalahkan nabi, tapi setelah ia tercabut meraka dipandang hina bak kucing kurap. Berapa banyak manusia perkasa lagi samseng ketika muda akhirnya jatuh cacat dek penyakit misteri yang tidak ketahuan puncanya.

Selepas ini, jika kagum dengan kelebihan serta kehebatan diri segera ingat lafaz keramat yang pernah disarankan hamba Allah yang soleh dalam surah al-Kahfi:

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Ertinya: Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (SEMUANYA IALAH BARANG YANG DIKEHENDAKI ALLAH)! (TIADA DAYA DAN UPAYA MELAINKAN DENGAN PERTOLONGAN ALLAH) (al-Kahfi [18:39]).

Ya Allah! Hindarkan kami dari perasaan “PERASAN BAGUS” sebagaimana yang pernah Engkau uji manusia sombong sebelum kami. Tanpa bimbinganMu, pasti kami turut akan terjerumus ke dalam lubang “PERASAN” yang sama.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...