Tuesday, July 5, 2016

SAYA SUAMI AWAK -BALIK RAYA RUMAH SAYA DULU

SAYA SUAMI AWAK - BALIK RAYA RUMAH SAYA DULU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim


“Ustaz! Saya biasa bertegang urat dengan suami setiap kali tiba hari lebaran. Asyik dia sahaja nak menang. Hari raya pertama mesti disambut di rumah dia. Jika kami bergaduh dia akan memberikan kata putus yang pedih pada hati saya. Awak wajib taat suami, syurga awak letak pada saya dan saya mahu hari raya pertama di rumah ibu bapa saya. Soalnya Ustaz! Siapa yang wajib saya utamakan suami atau ibu bapa?


Pulang beraya adalah ni’mat yang sangat manis bagi orang Malaysia. Ni’mat ini sudah lama Allah limpahkan kepada kita berikutan keadaan Malaysia yang aman dan stabil. Bagi umat Islam yang tinggal dalam negara bergolak pula, usahkan pulang beraya bertemu mata dengan keluarga, kampong halaman dan saudara mara sudah habis ditelan api perang yang tak kunjung padam. Pernah saya berbual dengan teman yang berasal dari Kemboja, sebut sahaja soal keluarga, beliau terus menitiskan air mata. Apa tidaknya, keluarganya yang besar habis dibunuh rejim Pol Pot. 10 beradik cuma tinggal dua. Tidak kurang juga bekas murid saya yang berasal dari negeri kecil dalam negara bekas kesatuan Soviet. Usahkan balik beraya, kematian ibunya belasan tahun dulu pun hanya diterima dalam sebak dari jauh. Sungguh! Ni’mat balik kampung menziarahi sanak saudara adalah ni’mat yang sangat hebat. Hargailah ia selagi Allah belum menariknya.

Kewajipan setiap isteri adalah mentaati semua iaitu suami dan ibu bapa. Taat kepada mereka bukanlah seperti memilih calon pilihanraya yang mewajibkan hanya satu perlu dipilih. Walaupun begitu, apabila bertembung antara keduanya banyak nass agama menyuruh isteri mentaati suami selagi ia tidak melanggar hukum agama. Sabda Rasulullah SAW:

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Ertinya: Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya ada (bersama) kecuali setelah mendpaat izinnya (suami). Wanita itu juga tidak boleh membenarkan sesiapa masuk ke rumahnya kecuali setelah mendapat izin suaminya (Sahih al-Bukhari).

Juga sebuah hadith lain:

إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Ertinya: Apabila seorang wanita cukup solat 5 waktunya, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya (kehormatannya) dan mentaati suaminya, dikatakan padanya “Masuklah syurga dari mana-mana sahaja pintunya jika kamu mahu (Musnad Ahmad).

Pada masa yang sama, pihak suami juga perlu sedar bahawa akad yang mengikat hubungan suami isteri “bukanlah akad antara hamba dan tuan, atau akad antara banduan dan warden penjara.” Ia adalah akad penyatuan 2 keluarga atas dasar kasih sayang dan cinta. Jika kasih sayang menjadi teras penyatuan 2 insan dari 2 keluarga berbeza, maka tolak ansur wajib menjadi rukun utama kehidupan berumahtangga. Inilah roh sebenar sebuah rumah tangga Islam. Ia disinggung secara mudah oleh Allah dalam banyak ayat al-Quran, antaranya:

وَأَنْ تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَلَا تَنْسَوُا الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Ertinya: Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan (al-Baqarah [2:237]).

Juga firman Allah:

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

Ertinya: Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlaku zalim (al-Syura [42:40]).

Pulang beraya memang sangat besar ni’mat dan manisnya, namun begitu usahlah ia menjadi punca keretakan hubungan antara suami isteri. Jika ia menjadi manifestasi berbuat baik kepada ibu bapa di kampong halaman, 364 hari yang lain sentiasa terbuka luas untuk kita menabur bakti. Usah bermusim berbuat baik kepada ibu bapa. Jangan bermatian bergaduh mengenai hak giliran balik beraya tetapi cinta dan jasa kepada ibu bapanya hanya ditumpahkan pada hari raya YANG SEHARI ITU.

Aturlah pengurusan hidup dengan baik. Jaga hubungan keluarga. Jangan nanti hilang sebuah mahligai indah hanya kerana berebut sebuah pasu bunga penghias halaman. Jika tak mampu pulang bertemu ibu bapa atau menziarahi pusara mereka sekalipun, litar doa untuk ibu bapa yang masih hidup atau sudah pulang bertemu Allah tetap terbuka luas. Ia dilakukan oleh ramai para, antaranya nabi Nuh:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

Ertinya: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, DAN BAGI KEDUA IBU BAPAKU, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang yang zalim melainkan kebinasaan!" (Nuh [71:28]).

Juga doa nabi Ibrahim AS:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ertinya: "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan BAGI KEDUA IBU BAPAKU serta bagi orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan" (Ibrahim [14:41]).

Rasulullah SAW turut mengajar cara bakti kepada ibu bapa. Sabda baginda:

عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ
بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا قَالَ نَعَمْ الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Ertinya: Abu Usayd Malik bin Rabi’ah al-Sa’idiy menceritakan, pada suatu hari ketika kami bersama Rasulullah SAW seorang lelaki Bani Salamah bertanya baginda: Wahai Rasulullah adakah masih ada peluang untukku berbuat baik kepada kedua ibu bapaku selepas kematian mereka berdua? Baginda SAW menjawab: Ya! Dengan berdoa kepada mereka, memohon pengampunan untuk mereka, menyempurnakan segala janji mereka selepas kematian mereka, menghubung silaturahim yang tidak mungkin dihubung melainkan dengan kewujudan mereka (saudara mara yang agak jauh) dan memuliakan kawan mereka berdua (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).

Niat pulang ke kampong halaman yang dipasak ikhlas demi bakti kepada kedua ibu bapa sendiri atau ibu bapa pasangan anda pasti akan diganjari Allah. Jagalah hubungan keluarga kerana ia adalah ni’mat yang sangat besar. Bayangkan berapa ramai manusia tidak bernasib baik di luar sana yang sanggup membayar mungkin jutaan ringgit demi mendapat secebis ni’mat bahagia berkeluarga yang anda miliki.  Bertolak ansurlah secara adil dan saksama dalam urusan balik raya kerana pasangan anda adalah nyawa dan badan anda sendiri. Melukakan hati dan jiwa pasangan anda sebenarnya turut melukakan diri sendiri. Berusahalah sedaya mampu untuk bersama mereka di dunia dalam keluarga bahagia dan juga di akhirat dalam syurga. Realisasikan firman Allah ini:

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ


Ertinya: Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka; setiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur[52:21]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...