Saturday, June 18, 2016

YANG LUAS MENJADI "SEMPIT"?

YANG LUAS MENJADI “SEMPIT” ?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (7 Oktober 2014) pada ayat 13 surah al-Furqan. Antara isunya adalah KESEMPITAN NERAKA BAGI AHLI NERAKA.

Istana jutawan itu sangat luas dan besar. Halaman rumahnya seluas padang bola. Tandasnya seluas ruang tamu sebuah pangsapuri murah. Jika dirobohkan istananya, boleh dibina pula 30 buah rumah teres berkeluasan 20 x 75 kaki. Si miskin yang lalu lalang di tepi rumah jutawan ini selalu menggigit jari dan membayangkan betapa luasnya jiwa si jutawan berikutan luasnya istana tersergam indah itu. Benarkah begitu? Rupanya si jutawan itu tidurnya tidak lena. Makannya tak kenyang. Mandinya tak basah. Istana seluas itu dirasakan bagai penjara dunia mencengkam jiwa kerana hutang dan musuhnya senantiasa mengintai peluang memberikan celaka.  Kisah ini sangat sesuai menggambarkan firman Allah:

وَإِذَا أُلْقُوا مِنْهَا مَكَانًا ضَيِّقًا مُقَرَّنِينَ دَعَوْا هُنَالِكَ ثُبُورًا

Ertinya: Dan apabila mereka dihumbankan KE TEMPAT YANG SEMPIT DALAM NERAKA ITU, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu) (al-Furqan [25:13]).

Dalam nass lain disebut neraka itu sangat luas sehingga sebuah batu yang dilempar dari atasnya memakan masa yang sangat lama untuk sampai ke dasar neraka:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ  كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ سَمِعَ وَجْبَةً فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَدْرُونَ مَا هَذَا قَالَ قُلْنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ هَذَا حَجَرٌ رُمِيَ بِهِ فِي النَّارِ مُنْذُ سَبْعِينَ خَرِيفًا فَهُوَ يَهْوِي فِي النَّارِ الْآنَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى قَعْرِهَا

Ertinya: Abu Hurayrah RA berkata pada suatu hari kami (para sahabat) duduk bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba terdengar bunyi sesuatu benda jatuh. Baginda bertanya: Tahukah kamu apa bunyi itu? Kami menjawab: Hanya Alah dan RasulNya mengetahui. Baginda menyambung: (Bunyi) itu adalah sebuah batu yang dilontar masuk ke dalam neraka sejak 70 tahun lalu. Ia jatuh ke dalam neraka sehingga sekarang (baru) mencecah dasarnya (Sahih Muslim).

Selain itu Allah menjelaskan bahawa neraka sangat ramai penghuninya. Ramai penghuni sudah pasti memerlukan ruang yang sangat luas. Firman Allah:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آَذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai (al-A’raf [7:179]).

Lalu bagaimana mahu difahami ISU SEMPITNYA NERAKA DALAM AYAT DI ATAS?

Jawabnya ayat di atas menceritakan KESEMPITAN JIWA yang melanda ahli neraka berikutan DAHSYATNYA AZAB YANG MENIMPA MEREKA. Orang Arab menggambarkan kesusahan serta kesempitan jiwa yang dilanda masalah dengan kesempitan ruang, manakala kesenangan dengan keluasan ruang dan jiwa. Lihat gambaran kisah penerimaan taubat 3 sahabat Rasulullah SAW yang dihukum dengan pemulauan setelah gagal menyertai perang Tabuk:

وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Ertinya: Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga APABILA BUMI YANG LUAS INI (TERASA) SEMPIT KEPADA MEREKA (KERANA MEREKA DIPULAUKAN), DAN HATI MEREKA PULA MENJADI SEMPIT (KERANA MENANGGUNG DUKACITA), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani (al-Tawbah [9:118]).

Juga kisah SEMPITNYA JIWA umat Islam yang diserang hendap dalam perang Hunayn:

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Ertinya: Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; DAN (SEMASA KAMU MERASA) BUMI YANG LUAS ITU MENJADI SEMPIT KEPADA KAMU; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri (al-Tawbah [9:25]).

Inilah buktinya ayat al-Quran perlu difahami dalam kerangka bahasa Arab bagi mencapai maksud sebenar yang mahu disampaikan Allah. Maha Suci Allah yang memilih Bahasa yang paling sempurna ini sebagai alat menyampaikan KALAMNYA.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...