DEMI UNTUNG KAMI SANGGUP LANGGAR APA SAHAJA
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud [11:86-91]) pada 25 November 2015. Antara isunya adalah jenayah ekonomi yang bersebati dengan penduduk Madyan.
"Berapa banyak projek kerajaan yang hilang nilainya kerana bahan binaannya tidak mencapai “standard selamat.” ADA SAHAJA NILAI SEBENAR PROJEK DITARIK KELUAR BAGI MENYUMBAT MULUT MANUSIA JAHAT YANG RAKUS BAK “DUBUK.” PROJEK MEMANG SIAP, TAPI PAHAT BERBUNYI. TAMBAH MALANG RAKYAT JUGA YANG PERLU MENGELUARKAN BIAYA MEMBELI PAHATNYA. Akhirnya rakyat cuma mendapat "TULANG, MANAKALA ISI IKANNYA DIBAHAM RAKUS KUCING HARAM" yang semakin buncit perutnya. Sungguh! Sikap rakus sebegini adalah genetik kaum Madyan."
Kaum Madyan sudah rosak dengan budaya menipu dalam perniagaan. Akhlak mereka ini bukan sakit rohani yang biasa tapi sudah mencapai tahap kronik. Pantang lepa, pasti akan ada pelanggan yang mengigit jari kerugian. Di tengah kerosakan akhlak sebegini Allah mengutus nabi Syu’ayb AS. Ikutilah nasihat baginda dalam ayat ini:
بَقِيَّةُ اللَّهِ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ وَمَا أَنَا عَلَيْكُمْ بِحَفِيظٍ
Ertinya: (1) LIMPAH KURNIA ALLAH KEPADA KAMU LEBIH BAIK BAGI KAMU (DARIPADA YANG KAMU AMBIL SECARA HARAM ITU), (2) JIKA BETUL KAMU ORANG YANG BERIMAN. Dan aku bukanlah orang yang menjaga dan mengawas perbuatan kamu" (Hud [11:86]).
Jika diperhatikan, dalam ayat ini Nabi Syu’aub AS menegaskan 2 isu penting:
1) Untung yang berbaki lagi halal dari sebarang perniagaan walaupun sedikit, jauh lebih baik berbanding yang banyak lagi haram. Manusia yang tamak hanya nampak angka yang besar berbanding berkat yang besar kerana mata hati mereka sudah berkarat dengan dosa. Hanya orang beriman yang bijaksana mampu melihat yang halal walaupun sedikit jauh lebih “besar berkatnya” dari yang banyak tetapi haram:
قُلْ لَا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya (al-Ma’idah [5:100]).
2) Iman kepada Allah menjadi tanggungjawab utama seorang manusia. Tanpa iman kepada Allah apalah guna hidup di dunia. Apa gunanya memiliki harta menimbun. Apa gunanya melakukan kebaikan menggunung kerana ia tiada nilai langsung pada Allah:
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآَيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105)
Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". Merekalah orang yang kufur ingkar akan ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak (al-Kahf [18:103-105]).
Dahsyat sekali kedegilan kaum Madyan. Seruan murni nabi Syu’ayb AS diejek dan dipandang hina. Mereka beranggapan baginda ada agenda tersembunyi iaitu mahu memonopoli aktiviti menipu dan pengambilan untung haram seorang diri. Sangka mereka nabi Syu’ayb itu busuk seperti mereka:
قَالُوا يَا شُعَيْبُ أَصَلَاتُكَ تَأْمُرُكَ أَنْ نَتْرُكَ مَا يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا أَوْ أَنْ نَفْعَلَ فِي أَمْوَالِنَا مَا نَشَاءُ إِنَّكَ لَأَنْتَ الْحَلِيمُ الرَّشِيدُ
Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami (meninggalkan) apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?" (Hud [11:87]).
Kemuncaknya mereka mengugut mahu mencederakan baginda kerana bosan dengan seruan itu:
قَالُوا يَا شُعَيْبُ مَا نَفْقَهُ كَثِيرًا مِمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَاكَ فِينَا ضَعِيفًا وَلَوْلَا رَهْطُكَ لَرَجَمْنَاكَ وَمَا أَنْتَ عَلَيْنَا بِعَزِيزٍ
Ertinya: Mereka berkata: "Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, “TENTULAH KAMI TELAH MELEMPARMU (DENGAN BATU HINGGA MATI).” Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!" (Hud [11:91]).
Dalam situasi lain baginda diberi kata 2, samada diusir keluar atau kembali murtad menjadi manusia bodoh menyembah berhala:
قَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا مِنْ قَوْمِهِ لَنُخْرِجَنَّكَ يَا شُعَيْبُ وَالَّذِينَ آَمَنُوا مَعَكَ مِنْ قَرْيَتِنَا أَوْ لَتَعُودُنَّ فِي مِلَّتِنَا قَالَ أَوَلَوْ كُنَّا كَارِهِينَ
Ertinya: Ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENGUSIRMU WAHAI SYUAIB DAN ORANG YANG BERIMAN YANG MENJADI PENGIKUTMU DARI NEGERI KAMI INI, ATAU KAMU BERPINDAH KEPADA UGAMA KAMI". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya? (al-A’raf [7:88]).
Jika itu kisah dosa orang Madyan dengan jenayah ekonomi mereka, bagaimana pula agaknya dengan orang moden pada zaman kita? Adakah kisah mereka hanya sekadar cerita sejarah dalam al-Quran tanpa ada impak dan pengajarannya untuk kita? Tidak begitu! Allah sebenarnya memberi amaran kepada agar tidak sama sekali mengulangi jenayah mereka.
Kisah mereka menunjukkan betapa menipu dalam perniagaan serta mencuri hak orang lain adalah “DOSA YANG SANGAT BESAR.” Jika tidak masakan mereka dimusnah dengan tragis oleh Allah. Dosa sebegini tidak mudah mencucinya dengan sekadar beristighfar selepas solat atau menjadi ahli kelab pencen iaitu “ahli masjid” selepas bersara dari jawatan yang pernah digunakan untuk mengumpulkan harta haram. Ia adalah dosa yang melibatkan hak manusia dan auditnya cuma akan lulus jika empunya badan yang kita zalimi melepaskannya.
Banyak sekali dosa kaum Madyan diulang praktik oleh orang moden dalam “periuk yang sama” walaupun berlainan dimensi. Curi tulang, tipu claim, makan wang atas angin, memberi dan menerima rasuah-siswa, makan wang khianat, salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi, salah guna kemudahan kerajaan untuk urusan peribadi dan banyak lagi. Jika tidak masakan kerajaan “terpaksa” menubuhkan SPRM atau Suruhanjaya Integriti bagi mengawasi rakyat Malaysia.
Cadang saya, kisah akhlak buruk kaum Madyan yang diulang sebut berkali-kali oleh Allah ini dimasukkan “SEBAGAI SUKATAN PELAJARAN WAJIB” semua peringkat di Malaysia. Biar kanak-kanak di Tadika, budak sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, pelajar kolej, pelajar universiti, kakitangan kerajaan serta swasta dan terutama sekali “AHLI POLITIK SEMUA PARTI” di Malaysia berasa jijik dengan dosa ini.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari
* Dapatkan buku penulis:
http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/
http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/
http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/
http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/
No comments:
Post a Comment