Monday, June 13, 2016

RASULULLAH SAW KETAWA DENGAN KISAH PETANI AHLI SYURGA

RASULULLAH SAW KETAWA DENGAN KISAH PETANI AHLI SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Rasulullah SAW pernah ketawa! Ketawa baginda membuktikan Islam adalah agama manusiawi yang sangat sesuai dengan spesis manusia. Tekanan perasaan yang mendesak boleh dicuci seketika dengan ketawa yang terbit dari pancaran rasa gembira. Sangat tidak kena jika dikatakan Islam hanya meminta penganutnya berendam dalam air mata sepanjang masa. Ketawa yang sederhana serta kena pada tempatnya adalah fitrah manusia yang menjadi bukti kehebatan Allah:

وَأَنَّهُ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَى

Ertinya: Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (al-Najm [53:43]).

Dalam sebuah hadith disebut Rasulullah SAW pernah tertawa mendengar cakap seorang lelaki Badwi. Jika anda tidak tertawa setelah membaca hadith ini, jiwa anda mungkin sudah tergelincir dari landasan normal atau sensor ketawa anda sedang sakit atau anda memang kalis dengan perencah ketawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَوْمًا يُحَدِّثُ وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْبَادِيَةِ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اسْتَأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ فَقَالَ لَهُ أَلَسْتَ فِيمَا شِئْتَ قَالَ بَلَى وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ قَالَ فَبَذَرَ فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ فَكَانَ أَمْثَالَ الْجِبَالِ فَيَقُولُ اللَّهُ دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ فَإِنَّهُ لَا يُشْبِعُكَ شَيْءٌ فَقَالَ الْأَعْرَابِيُّ وَاللَّهِ لَا تَجِدُهُ إِلَّا قُرَشِيًّا أَوْ أَنْصَارِيًّا فَإِنَّهُمْ أَصْحَابُ زَرْعٍ وَأَمَّا نَحْنُ فَلَسْنَا بِأَصْحَابِ زَرْعٍ فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ertinya: Pada suatu hari Rasulullah bercerita tentang ni’mat syurga sedang bersebelahan baginda ada seorang lelaki badwi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ahli syurga meminta izin kepada Allah untuk bercucuk tanam dalam syurga.” Allah berfirman: “Bukankah semua keperluanmu sudah ada di sini?” Lelaki itu menjawab: “Aku mohon juga untuk bercucuk tanam.” Kemudiannya dia dibenarkan bercucuk tanam, lalu benih yang disemainya terus segera subur sehingga naik setinggi gunung. Allah lalu berfirman: “Petiklah hasilmu wahai Adam, kerana sesungguhnya tiada apa yang dapat mengenyangkan (memuaskan hati) kamu.” Lalu si Arab Badwi (yang duduk bersebelahan Rasulullah) mencelah: “DEMI ALLAH, SUDAH PASTI AHLI SYURGA ITU (YANG MAHU BERCUCUK TANAM) ADALAH ORANG QURAYSH ATAU ORANG ANSAR KERANA MEREKA ITU (SEMASA DI DUNIA) ADALAH AHLI PERTANIAN, ADAPUN KAMI (ORANG BADWI YANG TINGGAL DI KAWASAN PEDALAMAN) BUKANLAH AHLI PERTANIAN.” MENDENGAR CELAHAN LELAKI BADWI ITU RASULULLAH SAW LANTAS TERTAWA (SAHIH AL-BUKHARI).

Bukan hanya Rasulullah SAW, al-Quran turut merekodkan Nabi Sulayman pernah senyum sambil ketawa atas ni’mat Allah pada baginda. Pun begitu ketawa baginda bukan calang-calang ketawa sebaliknya “ketawa syukur” sebagaimana firman Allah:

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِنْ قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: MAKA TERSENYUMLAH NABI SULAIMAN SERAYA TERTAWA mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hambaMu yang soleh" (al-Naml [27:19]).

Walau bagaimanapun, janganlah pula terlebih ketawa. Bimbang nanti keghairahan mencari gelak tawa dalam semua urusan akan menjerumuskan kita ke dalam dosa yang tak diundang. Tegas sekali amaran Rasulullah SAW ini:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Ertinya: Celakalah sesiapa yang bercakap (atau berbuat) dan berbohong bagi tujuan orang bergelak ketawa, celakalah baginya (Sunan Abu Dawud).

Islam adalah agama yang sangat indah kerana mengiktiraf ketawa yang sedikit sebagai terapi jiwa. Lawak dan tawa seumpama perencah penyedap berkimia dalam masakan seperti MSG. Tanpa perencah itu, masakan kurang sedap tapi masih boleh dimakan. Jika berlebihan mengambil perencah berkimia, bahaya bakal mengundang sehingga boleh memudaratkan anggota badan yang lain.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...