Monday, June 6, 2016

NABI DALAM KALANGAN WANITA?

NABI DALAM KALANGAN WANITA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:109]) pada 1 Jun 2016. Antara isunya adalah kekeliruan sesetengah pihak tentang isu pangkat nabi yang turut diberikan pada sesetengah wanita pilihan.

Pangkat nabi atau rasul tidak boleh dilobi atau dibeli. Ia adalah suatu amanah yang berat lagi mencabar. Jawatan ini tidak sesuai untuk wanita sebagaimana sesetengah peranan tidak mampu dilakukan oleh kaum lelaki. Apabila prinsip ini difahami, tidak lagi timbul cemuhan bahawa Islam mendiskriminasi wanita apabila pangkat nabi dan rasul tidak diberikan pada mereka. Begitu juga kaum lelaki, jangan pula marahkan Allah jika fisiologi tubuh mereka “TIDAK ISTIMEWA” seperti kaum wanita yang dijenterakan untuk mengandung atau melahirkan anak. Usahlah kerana tiada keistimewaan seperti wanita maka kaum lelaki menubuhkan persatuan “BROTHERS IN ISLAM” yang cuba menuntut hak sama rata dengan wanita.

Sudah jelas lagi nyata pada kita, Allah hanya melantik para nabi dan rasul dalam kalangan lelaki manusia. Lelaki Jin atau manusia wanita tidak dipilih untuk menjadi nabi. Allah sangat sayangkan wanita kerana tugas dan tanggungjawab nabi atau rasul sangat mencabar minda dan fizikal. Pun begitu, jika kita telusuri ayat al-Quran kita akan dapati beberapa ayat yang menunjukan seolah-olah wanita juga mendapat wahyu atau didatangi Jibril AS. Jika sudah didatangi Jibril, pasti wanita istimewa itu seorang nabi! Perhatikan kisah Maryam:

وَإِذْ قَالَتِ الْمَلَائِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاكِ وَطَهَّرَكِ وَاصْطَفَاكِ عَلَى نِسَاءِ الْعَالَمِينَ

Ertinya: Dan (ingatlah wahai Muhammad) KETIKA MALAIKAT BERKATA: "WAHAI MARYAM! SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMILIHMU, DAN MENSUCIKANMU, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu) (Ali ‘Imran [3:42]).

Juga firman Allah:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا (16) فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا (17)

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka MAKA KAMI HANTARKAN KEPADANYA: ROH DARI KAMI (JIBRIL AS) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya (Maryam [19:16-17]).

Tambah ketara apabila Allah menggunakan perkataan   -  وأوحينا- LALU KAMI WAHYUKAN kepada ibu nabi Musa AS dalam ayat berikut:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ وَلَا تَخَافِي وَلَا تَحْزَنِي إِنَّا رَادُّوهُ إِلَيْكِ وَجَاعِلُوهُ مِنَ الْمُرْسَلِينَ

Ertinya: DAN KAMI WAHYUKAN (ILHAMKAN) kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari para rasul Kami (al-Qasas  [28:7]).

Diulang sebut lagi dalam firman lain:

وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَيْكَ مَرَّةً أُخْرَى (37) إِذْ أَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّكَ مَا يُوحَى (38) أَنِ اقْذِفِيهِ فِي التَّابُوتِ فَاقْذِفِيهِ فِي الْيَمِّ فَلْيُلْقِهِ الْيَمُّ بِالسَّاحِلِ يَأْخُذْهُ عَدُوٌّ لِي وَعَدُوٌّ لَهُ

Ertinya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini. "KETIKA KAMI WAHYUKAN (ILHAMKAN) KEPADA IBUMU, dengan memberitahu kepadanya:  "Letakkanlah anakmu dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; (Taha [20:37-39]).

Orang awam yang tidak mahir dengan seni Bahasa Arab, Tafsir al-Quran atau rahsia agama pasti keliru dengan ayat yang disebut. Oleh itu, isu ini wajib dirungkai supaya jangan ada wanita pelik di luar sana membuat sidang akhbar mendakwa baru mendapat “WATIKAH WAHYU atau DIDATANGI JIBRIL AS” kerana melihat ayat tersebut dari teropong nafsu yang ditunggang syaitan. Secara tuntas, prinsip kerasulan seseorang manusia dinyatakan jelas oleh Allah dalam ayat ini. HANYA LELAKI DARI PENDUDUK BANDAR DILANTIK SEBAGAI NABI ATAU RASUL:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَدَارُ الْآَخِرَةِ خَيْرٌ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Ertinya:  Dan Kami tidak mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) MELAINKAN LELAKI DARI PENDUDUK BANDAR, YANG KAMI WAHYUKAN KEPADA MEREKA. Maka mengapa orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya? (Yusuf [12:109]).

Apabila al-Quran berbicara tentang kedatangan Jibril AS kepada wanita maka ia bukan merujuk kepada pangkat kenabian sebaliknya kedudukan mereka yang mulia. Buktinya Rasulullah SAW mengukuhkan kisah kunjungan Jibril AS dengan sabda yang menobatkan kedudukan tinggi Maryam di seluruh alam:

كَمَلَ مِنْ الرِّجَالِ كَثِيرٌ وَلَمْ يَكْمُلْ مِنْ النِّسَاءِ غَيْرُ مَرْيَمَ بِنْتِ عِمْرَانَ وَآسِيَةَ امْرَأَةِ فِرْعَوْنَ وَإِنَّ فَضْلَ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ الطَّعَامِ

Ertinya: Ramai lelaki mencapai tahap sempurna (dalam kerohanian tanpa pangkat kenabian atau kerasulan), akan tetapi tidak (ramai) mencapai tahap sempurna (dalam kerohanian) selain Maryam binti ‘Imran dan Asiyah isteri Fir’awn. Dan sesungguhnya kelebihan Aisyah berbanding sekelian wanita seperti daging yang terbaik berbanding semua jenis makanan (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam kerohanian, wanita memang tidak dapat mencapai pangkat nabi tetapi mereka boleh mencapai pakai WALI ALLAH dan SIDDIQAH (WANITA YANG BENAR IMANNYA). Maryam dinobatkan pangkat tertinggi ini oleh Allah dalam firmanNya:

مَا الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ وَأُمُّهُ صِدِّيقَةٌ كَانَا يَأْكُلَانِ الطَّعَامَ انْظُرْ كَيْفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ الْآَيَاتِ ثُمَّ انْظُرْ أَنَّى يُؤْفَكُونَ

Ertinya: Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, “DAN IBUNYA SEORANG PEREMPUAN YANG AMAT BENAR”, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu) (al-Ma’idah [5:75]).

Dalam kes ibu nabi Musa AS pula, perkataan KAMI WAHYUKAN itu lebih tepat diterjemahkan sebagai “KAMI ILHAMKAN.” Jika masih ada yang degil mahu mengatakan ia adalah hakiki WAHYU dan bukannya ILHAM, maka sudah pasti “lebah dan bumi” juga selayaknya menjadi nabi kerana Allah turut menggunakan perkataan “WAHYU” kepada keduanya:

وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ

Ertinya: DAN TUHANMU MEMBERI WAHYU (ILHAM) KEPADA LEBAH: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang, di pokok kayu, dan juga di bangunan yang didirikan oleh manusia (al-Nahl [16:68]).

Lihat juga firman Allah pada bumi ketika ia bergegar di saat kiamat berlaku:

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا (1) وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا (2) وَقَالَ الْإِنْسَانُ مَا لَهَا (3) يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا (4) بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَى لَهَا (5)

Ertinya: Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: BAHAWA TUHANMU TELAH MEWAHYUKAN PADANYA (MEMERINTAHNYA (BERLAKU DEMIKIAN) (al-Zalzalah [99:1-5]).

Mudahnya apabila al-Quran menggunakan perkataan WAHYU dalam bicaranya kepada makhluk selain para nabi, maka ia membawa maksud ilham atau fitrah yang dicipta pada makhluk itu. Marilah kita dalami al-Quran menurut laluannya yang betul bagi mengelakkan sebarang pemesongan dari maksud sebenar yang mahu disampaikan Allah. Ya Allah! Berikan kami semua ketepatan dalam memahami  KALAM-MU!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...