Saturday, June 4, 2016

MULUT BERAROMA PETAI DAN NAJIS ROKOK MENGHADAP YANG DIPERTUAN AGUNG

MULUT BERAROMA PETAI DAN NAJIS ROKOK MENGHADAP YANG DIPERTUAN AGUNG.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-A’raf[7:31]) pada  30 Mei 2015. Antara isunya adalah adab berpakaian ketika Tawaf dan solat.

Anda sungguh beruntung kerana terpilih dalam jutaan rakyat Malaysia untuk hadir ke istana Negara menerima pingat kebesaran. Dalam surat jemputan dinyatakan waktu majlis dan jenis pakaian yang sepatutnya dipakai. Teruja dengan jemputan itu, anda keluar rumah seawal jam 6 pagi “SEHINGGA TAK SEMPAT MANDI.”

Dalam perjalanan anda singgah di sebuah restoran berhampiran rumah untuk mengisi perut. Lauk nasi lemak pagi itu adalah sambal “PETAI.” Setelah kenyang, anda meneruskan perjalanan ke Istana Negara. Sepanjang perjalanan, bagi menghilangkan rasa resah dan gementar anda telah menghisap “15 BATANG NAJIS ROKOK.” Sampai sahaja ke Istana Negara, peluh jantan mula menitis kerana rasa gentar dan takut. Bagi menyejukkan badan anda “MENYINSING LENGAN BAJU KE PARAS KETIAK” dan masuk ke dalam barisan penerima pingat. Aroma bau badan, petai dan rokok juga mulai menusuk hidung para hadirin. Pada ketika itu, pegawai protokol Istana Negara akan segera menghampiri dan “SESUATU PASTI AKAN BERLAKU.”

Itu baru sebuah majlis yang dihadiri seorang manusia yang dihormati sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia. Sedikit pelanggaran protokol sudah menghilangkan peluang menerima pingat. Bayangkan apa pula akan terjadi jika PELANGGARAN PROTOKOL ITU DILAKUKAN TERHADAP ALLAH SWT TUHAN SEMESTA ALAM? Firman Allah:

يَا بَنِي آَدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Ertinya: WAHAI ANAK-ANAK ADAM! PAKAILAH PAKAIAN KAMU YANG INDAH BERHIAS PADA TIAP-TIAP KALI KAMU KE TEMPAT IBADAT (ATAU MENGERJAKAN SEMBAHYANG), “dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas” (al-a’raf [7:31]).

Ayat ini diturunkan menegur kegilaan Arab Jahiliah bertawaf di sekeliling Ka’abah sebelum kedatangan Islam. Yang lelaki tawaf berbogel pada waktu siang, manakala yang wanita tawaf berbogel pada waktu malam. Alasannya, pakaian kami ini penuh karat dosa yang kami bawa dari tempat asal kami. Kami hanya layak tawaf dengan pakaian kurniaan orang Mekah (Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’I & Tafsir Ibn Kathir).

Menjaga ketrampilan ketika duduk menghadap Allah sebagai hamba jauh lebih penting. Disebabkan itu, Rasulullah SAW menegaskan adabnya:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ وَالشَّعَرَ

Ertinya:  Aku diperintahkan bersujud dengan 7 anggota badan: (1) Dahi (termasuk juga hidung, beliau mengisyaratkan dengan tangannya), (2,3) tapak tangan kanan dan kiri, (4,5) lutut kanan dan kiri, dan (6,7) hujung kaki kanan dan kiri. DAN KAMI DILARANG (MAKRUH) MENYINSING (LENGAN) PAKAIAN DAN (MENGIKAT) RAMBUT ” (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Bayangkan apa gambarannya jika kita bertemu orang besar dengan menyinsing lengan "ala samseng" atau keluar ke tempat kerja tanpa baju? Bila ditanya di mana baju anda, sanggupkah dijawab: “Saya sengaja tak berbaju kerana ingin mempamerkan perut gendut sebagai tanda syukur atas rezeki Allah.” Rasulullah SAW turut menegaskan:

لَا يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ شَيْءٌ

Ertinya: Janganlah sesiapa dari kamu mengerjakan solat dengan SATU PAKAIAN SAHAJA, TIDAK ADA ATAS BAHUNYA SATU PAKAIAN PUN” (Sahih al-Bukhari).

Selain itu, Rasulullah SAW juga menggalakkan pakaian putih kerana ia menggambarkan kesucian:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمْ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Ertinya: Pakailah pakaian putih kerana ia adalah pakaianmu yang terbaik dan kafankan orang yang mati dengannya (Sunan Abu Dawud & al-Tirmidhi).

Orang soleh dari generasi awal Islam memperuntukkan pakaian khusus yang dibeli dengan harga yang mahal untuk pergi bersolat ke masjid pada hari kebesaran Islam seperti hari jumaat dan hari raya. Pun begitu, ayat ini khusus kepada kaum lelaki sahaja tidak untuk kaum wanita kerana kaum wanita terlalu istimewa untuk dipamerkan kepada umum.

Selepas ini, sebelum solat perhatikan pakaian anda dan hidulah aroma mulut anda kerana anda bukan hanya berhadapan Yang Dipertuan Agong Malaysia, tetapi TUHAN, MAHARAJA DAN YANG DIPERTUAN AGONG SEMESTA ALAM.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...