Friday, June 3, 2016

JANGAN SOMBONG SEPERTI UNTA YANG SAKIT LEHER

JANGAN SOMBONG SEPERTI UNTA YANG SAKIT LEHER

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Sedih dan terhina! Itu ungkapan seorang kawan saya melaporkan nasib yang menimpanya. Beliau berkerja di sebuah organisasi besar. Ketua organisasinya seorang yang berpangkat. Jika mahu disenarai pangkatnya pasti berjela meleret ke lantai. Dalam sebuah majlis anjuran jabatannya, sang ketua dijemput hadir bersama. Rapi sekali segala persiapan menyambutnya. Selera dan rasa sang ketua sungguh tinggi sesuai dengan jelaan pangkatnya. Pada pagi sebelum majlis bermula, kawan saya turun awal untuk santapan pagi. Hatinya teruja melihat sang ketua sedang duduk bersama para pegawai yang lain di sebuah meja. Tanpa berfikir, dia menuju ke meja sang ketua lantas menyapa dengan sopan dan mesra. “SANG KETUA SEKADAR MENDONGAK KE ARAH KAWAN SAYA TANPA REAKSI, KEMUDIAN KEMBALI TUNDUK MEMANDANG TELEFON BIMBITNYA.”

Bagai disambar petir, hati kawan saya berkata:

“Aduh! Hina sangatkah aku? Mengapa salamku tidak berjawab? Kalau berat mulut sekalipun menjawab, apa salahnya membalas sapaan dengan senyuman? Bukan mahal pun sebuah senyuman yang hanya bermodalkan 2 lapis bibir. Tak kanlah dia risau pangkatnya akan terhakis jika menjawab sapaanku?”

Sudahnya kawan saya ini berlalu pergi dengan rasa malu terbuku di hati. Mujur tak ramai orang menyaksikan peristiwa itu. Setelah mendengar ceritanya, saya teringat kisah para sahabat Rasulullah SAW pada zaman Khalifah ‘Umar al-Khattab. Pada suatu hari ramai sekali orang Islam bersama bangsawan Quraysh berkumpul di pintu rumah Khalifah ‘Umar menunggu izin beliau. Ketika semua hadirin menunggu giliran untuk dijemput masuk, Umar keluar dan menjemput Bilal bin Rabah dan Suhayb al-Rumi masuk.

Tindakan ‘Umar mengutamakan 2 sahabat Rasulullah SAW yang miskin itu meresahkan Abu Sufyan. Suhayl bin ‘Amru yang mengesan perasaan Abu Sufyan itu berkata:

“Mereka (para sahabat yang miskin dan bekas hamba) dan kita (golongan bangsawan Qurasyh) sama-sama diseru untuk menerima Islam. Mereka bersegera menerima Islam tetapi kita pula lambat. Hari ini kita baru berebut memasuki pintu ‘Umar (di dunia) dan bukannya di akhirat.  Jika kamu semua berasa cemburu kepada mereka hanya kerana (keutamaan mereka pada) pintu rumah ‘Umar, kelebihan mereka (berbanding kita) dalam syurga kelak pastinya lebih banyak (Tafsir al-Kasysyaf).” Kisah tersebut disebut oleh Imam al-Zamakhsyari ketika menghurai ayat berikut:

انْظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَلَلْآَخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا

Ertinya: Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan kelebihannya (al-Isra’[17:21]).

Usahlah sombong dengan sedikit pangkat pinjaman Allah. Luqman al-Hakim mengingatkan anaknya teknik komunikasi berkesan ketika berbicara dengan orang. Pandang muka kerana itu tanda sebuah penghormatan:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Ertinya: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (Luqman[31:18]).

Perkataan - الصعر  - dalam ayat ini bermaksud sejenis penyakit yang menimpa unta. Leher unta yang terkena sakit ini akan senantiasa terpaling ke sisi. Ia suatu gambaran buruknya si unta yang sakit. “MANUSIA SOMBONG YANG TIDAK MEMANDANG WAJAH ORANG SEBENARNYA TIDAK HEBAT TETAPI SEDANG MENGHIDAP SAKIT PELIK SEPERTI SANG UNTA.” Jangan ingat kesombongan menjadikan anda semakin hebat. Kesombongan itu kelak akan menjadi lubang berduri yang bakal menjerumuskan anda setelah hilang kuasa atau pangkat. Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّه

Ertinya: Sebarang sedekah tidak akan mengurangkan harta. Allah akan menambahkan kemuliaan hamba yang pemaaf. Sesiapa yang merendah diri kerana Allah akan diangkat kemuliaannya (Sahih Muslim).

Ya Allah! Anugerahkan kami sifat RENDAH DIRI!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...